SEJAK bermula pemberian vaksin demam campak di Malaysia pada 1982, masyarakat tidak lagi takut dan bimbang kemungkinan jangkitan penyakit itu melonjak tinggi.
Penyakit yang bersifat endemik itu juga berjaya dikurangkan daripada 65 kes bagi setiap 100,000 orang dapat dikurangkan pada 198 kepada enam kes bagi setiap sejuta orang pada 2013. Ini bukti keberkesanan vaksin dalam mengurangkan penyakit demam campak yang tidak boleh ditutup sebelah mata.
Justeru, jangan ambil mudah terutama ibu bapa mendapatkan vaksin untuk anak. Imuniti kelompok memainkan peranan besar bagi melawan penyakit berjangkit seperti demam campak.
Pegawai Perubatan Sektor Penyakit Cegahan Vaksin/Penyakit Bawaan Makanan dan Air Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mohd Faiz Nazim Baidilleh, berkata demam campak adalah jangkitan akut yang biasanya berlaku pada kanak-kanak disebabkan virus measles.
Katanya, penyakit ini tersebar melalui cecair pernafasan (batuk atau bersin) atau sentuhan permukaan yang dicemari, contohnya alat permainan.
"Kebiasaannya, selepas dua minggu terdedah kepada virus, baru gejala akan timbul pada pesakit. Antara gejala awal ialah demam, batuk, selesema, mata berair dan sensitif pada cahaya.
"Selepas empat hari gejala awal bermula, ruam akan mula timbul pada muka sebelum merebak ke seluruh badan. Empat hari sebelum dan selepas ruam timbul dijangkakan paling tinggi kadar jangkitan pesakit terhadap orang di sekitarnya.
"Jika pesakit mempunyai gejala itu, mereka perlu segera ke klinik bagi mendapatkan penilaian selanjutnya oleh doktor," katanya.
Andai kata disahkan mempunyai demam campak, tempoh pengasingan sekurang-kurangnya empat hari bermula selepas timbul ruam bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Komplikasi demam campak
Penyakit demam campak tidak mempunyai penawar, namun hasil program vaksin membuatkan kesan jangkitan demam campak tidak seteruk berbanding zaman sebelumnya.
Kebanyakan pesakit mendapat penyakit ini, hanya mengalami gejala ringan dan tidak mendapat komplikasi teruk.
Namun, ada beberapa orang mungkin mendapat komplikasi teruk sekiranya dijangkiti terutama kanak-kanak di bawah umur lima tahun, orang dewasa berusia lebih 20 tahun, wanita mengandung dan yang kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised).
Antara komplikasi teruk itu ialah jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan otak (encephalitis), komplikasi semasa mengandung seperti keguguran atau kelahiran pramatang.
"Kematian walaupun jarang, tetapi masih boleh berlaku. Jika berlaku, besar kemungkinan berpunca daripada jangkitan yang sudah merebak kepada paru-paru atau otak," jelasnya.
Rawatan demam campak
Dr Mohd Faiz Nazim berkata, tiada ubat khusus merawat demam campak kerana adalah jangkitan virus dan antibiotik tidak memainkan peranan dalam melawan jangkitan itu.
Rawatan yang mampu diberikan bersifat simptomatik, iaitu untuk mengurangkan gejala dihadapi pesakit seperti ubat demam, contohnya paracetamol bertujuan mengurangkan suhu badan.
Menurutnya, pesakit perlu banyak berehat dan minum air bagi meningkatkan daya tahan badan semasa dalam tempoh jangkitan.
Kebiasaan orang Melayu guna semambu atau 'neem' dalam pelbagai penyakit jangkitan virus yang lain di India.
"Sejauh mana keberkesanan amalan tradisi ini bagi merawat demam campak tidak dapat dipastikan tanpa wujudnya kajian klinikal. Namun, seperti kebanyakan penyakit demam campak bersifat self limiting (sembuh secara sendiri) sebelum akhirnya memberikan imunisasi natural yang dapat mencegah mereka daripada mendapat penyakit untuk kali kedua," katanya.
Langkah pencegahan
Bagi ibu bapa yang baharu menimang cahaya mata, pastikan bayi menerima vaksin demam campak mengikut jadual imunisasi kebangsaan yang ditetapkan.
"Pepatah Melayu ada mengatakan, 'mencegah lebih baik daripada merawat'.
"Vaksin bagi demam campak diberikan sebagai tiga serangkai yang lebih dikenali sebagai vaksin MMR merangkumi pencegahan bagi tiga penyakit iaitu demam campak (measles), beguk (mumps) dan rubela.
"Dos pertama vaksin diberikan pada umur sembilan bulan, dos kedua ketika mencapai umur setahun," katanya.
Keberkesanannya adalah sehingga 97 peratus. Ada sebilangan kecil (tiga kes bagi setiap 100 orang yang mendapat vaksin lengkap) berkemungkinan dijangkiti penyakit demam campak, selalunya dengan gejala lebih ringan dan tanpa komplikasi.
Vaksin lain tidak semua orang layak menerima vaksin demam campak.
Dalam kes itu dan golongan rentan, langkah pencegahan perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.
Amalan norma baharu bagi menghadapi penyakit COVID-19, boleh dijadikan panduan kerana mekanisme penyebaran kedua-dua penyakit ini serupa.
"Sentiasa amalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dan elakkan dekati mereka yang bergejala sama ada bersalaman atau berkongsi alatan, selain dijangkiti demam campak perlu asingkan diri," katanya.
Melalui cara ini golongan rentan dan mereka yang tidak boleh mengambil vaksin akan terselamat daripada bahaya yang dibawa penyakit itu.
"Segala bukti wajar dibaca dan diteliti oleh semua terutama yang tidak meyakini keberkesanan vaksin. Segala-galanya di hujung jari, segala macam kajian klinikal yang sistematik ada dimuat naik b`agi tatapan umum untuk mereka kaji," katanya.
Bak kata pepatah Melayu, 'dayung sudah di tangan, perahu sudah di air", maka bacalah dengan hati terbuka supaya sejarah seperti di Kepulauan Fiji yang hampir suku penduduknya maut pada 1875 kerana demam campak tidak berulang semula.