Isnin, 4 Julai 2022 | 9:40am
Pusat Darah Negara perlukan antara 15,000 hingga 17,000 beg darah.- Gambar hiasan
Pusat Darah Negara perlukan antara 15,000 hingga 17,000 beg darah.- Gambar hiasan

Setiap 43 saat, perlu satu beg darah untuk selamatkan nyawa

SETIAP 43 saat, satu beg darah diperlukan bagi menampung keperluan pesakit di Malaysia.

Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan sebanyak 15,000 hingga 17,000 beg darah sebulan bagi menampung keperluan bekalan darah bagi merawat pesakit yang memerlukan.

Justeru, menderma darah boleh membantu menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan, iaitu satu beg darah boleh digunakan untuk tiga pesakit lain.

Menderma darah secara berkala baik untuk kesihatan penderma, iaitu mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, mengurangkan kalori dalam badan serta memberikan kecergasan apabila sel darah baharu dijana selepas menderma darah.

Antara kriteria penderma darah berat sekurang-kurangnya badan 45 kilogram (kg); kepekatan darah di paras 12.5 g/dL bagi wanita dan 13.5 g/dL bagi lelaki serta tidak mempunyai masalah kesihatan.

Bagaimanapun, tidak semua orang boleh menderma, contohnya wanita hamil, mereka yang pengambilan ubat-ubatan, baharu sahaja melakukan rawatan kosmetik dan banyak lagi.

Menurut Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara (PDN), Dr P.J Shashminie, bagi wanita hamil dan menyusu bayi tidak boleh menderma darah sepanjang tempoh kehamilan serta enam bulan selepas melahirkan.

Katanya, wanita hamil dan menyusu bayi memerlukan zat besi yang tinggi untuk memastikan perkembangan janin sihat dan mengelakkan kekurangan susu badan.

"Selain zat besi, kekurangan asid folik dan vitamin B12 juga boleh menyebabkan anemia, iaitu kepekatan darah kurang daripada 12.5 g/dL yang sekali gus tidak membolehkan mereka menjadi penderma darah," katanya pada forum Hari Bersama Doktor membincangkan bertajuk 'Wanita dan Pendermaan Darah' secara maya, baru-baru ini.

Wanita yang mengalami haid, disarankan menderma pada hari keempat, kadar kepekatan darah akan diketahui selepas saringan kesihatan dilakukan sebelum menderma darah.

Jika kepekatan darah penderma wanita di bawah 12.5 g/dL, proses derma darah tidak dilakukan kerana berisiko mengalami anemia. Justeru, wanita digalakkan menderma darah sebelum haid.

"Bagi penderma wanita menjalankan suntikan kosmetik seperti menjalankan rawatan botox, vitamin C dan kolagen, mereka tidak boleh menderma darah enam bulan selepas menerima rawatan kosmetik itu.

"Tempoh sama juga ditetapkan bagi penderma yang membuat sulaman kening dan tatu," katanya.

Boleh derma darah selepas 3 bulan

Pegawai Perubatan PDN, Dr Nur Sabrina Mohamad, berkata ubat-ubatan yang berkaitan dengan pendermaan darah antaranya beberapa jenis ubat-ubatan untuk jerawat, tradisional seperti jamu, ubat kurus, kolagen, herba dan hormon.

Bagi pengguna ubat jerawat jenis Etretinate (Tigasone), mereka tidak boleh menderma selamanya kerana risiko kecacatan pada janin yang menerima darah itu.

"Pengguna Isotretinoin (Roaccutane), juga tidak boleh menderma darah selepas 28 hari dos terakhir manakala pengguna Acitretin (Neotigason) boleh menderma tiga tahun selepas dos terakhir dan pengguna Retin A Cream boleh menderma seperti biasa.

"Pengguna ubat tradisional tidak boleh menderma selama dua minggu manakala wanita yang mengambil ubat hormon untuk rawatan simptom menopaus, pencegahan osteoporosis atau rawatan kesuburan boleh menderma," katanya.

Dr Nur Sabrina berkata, individu ingin menderma darah secara berkala digalakkan selepas tiga bulan daripada tarikh pendermaan sebelumnya kerana secara normal, badan manusia akan mengambil masa sehingga 120 hari atau tiga bulan untuk membina semula sel darah merah.

Jika menderma darah kurang daripada tempoh itu, penderma terutama wanita dikhuatiri mengalami anemia kerana kepekatan darah tidak mencukupi ditambah mereka mengalami haid secara bulanan.

Jumlah darah diambil antara 350 hingga 450 mililiter (ml) mengikut berat badan serta tekanan darah penderma dan kebiasaannya, tidak banyak darah yang diambil kerana mereka boleh mengalami gejala pening, pitam dan lain-lain.

Berita Harian X