Ahad, 3 Julai 2022 | 10:25am
Psoriasis boleh menyebabkan kemurungan, rendah diri dan kesakitan pada sendi. - Gambar hiasan
Psoriasis boleh menyebabkan kemurungan, rendah diri dan kesakitan pada sendi. - Gambar hiasan

Geli! kulit bersisik dan bertompok merah

BERSISIK, bertompok merah dan kegatalan antara simptom umum yang biasanya dihidapi oleh pesakit psoriasis.

Situasi itu biasanya mengganggu keyakinan pesakit yang mendapat penyakit kronik ini kerana ia membabit fizikal badan dan kesannya mampu dilihat secara mata kasar oleh orang sekeliling yang mendatang geli melihatnya.

Banyak implikasi akibat keadaan itu, rasa rendah diri dan malu berhadapan dengan orang ramai, psoriasis juga boleh menyebabkan kesakitan pada sendi-sendi yang biasanya tidak disedari oleh penderita.

Mereka menganggap sakit pada bahagian sendi hanya biasa dan bukan berpunca daripada psoriasis, padahal ia berkait rapat dengan penyakit kulit itu.

Psoriatic Arthritis (PsA) adalah penyakit radang sendi ada kaitan dengan penyakit kulit psoriasis dan kira-kira 30 pesakit psoriasis yang dikesan menghidapi PsA.

Sakit belakang ada kaitan dengan sendi

Pakar Dematologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Nazirin Ariffin, berkata pesakit biasanya tidak sedar sakit belakang atau sendi dialami ada kaitan dengan psoriasis menyebabkan rawatan lambat dilakukan.

Katanya, bagi penghidap lama mendapat penyakit ini timbul keadaan mereka akan sakit belakang, sakit pada sendi-sendi di sekitar kaki dan tangan.

Dr Nazirin (kiri) dan moderator, Datin Seri Fadilah Hani Harun di Bicara BH, platform Facebook BH, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.
Dr Nazirin (kiri) dan moderator, Datin Seri Fadilah Hani Harun di Bicara BH, platform Facebook BH, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

"Apabila rawatan dilakukan, ada di antara tidak memberitahu pakar dematologi sebaliknya menganggap ia sakit belakang atau lenguh-lenguh biasa.

"Sebenarnya simptom akan terjadi kepada pesakit psoriasis dan perlu dirawat segera. Kita bimbang apabila sakit lambat dirawat akan berlaku kerosakan secara kekal pada bahagian itu termasuk tulang pada bahagian terbabit.

"Jadi amat penting mereka memberitahu pakar kesihatan yang merawatnya. Mungkin sakit itu disebabkan perkara lain seperti angkat barangan berat, tetapi penting berkongsi untuk pemeriksaan lebih lanjut," kata beliau dalam Bicara BH bertajuk 'Ancaman Psoriasis Simptom Dan Rawatan Awal', secara maya di platform Facebook BH, baru-baru ini.

Jika rawatan lewat boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sendi.
Jika rawatan lewat boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sendi.

Jenis penyakit kulit, psoriasis ini mengganggu keyakinan seseorang perlu rawatan segera.
Jenis penyakit kulit, psoriasis ini mengganggu keyakinan seseorang perlu rawatan segera.

Hidap kemurungan

Dr Nazirin berkata, sekiranya sakit sendi didiagnos mempunyai kaitan dengan psoriasis, pesakit akan diberikan beberapa rawatan bersesuaian khususnya bagi membantu mengawal penyakit kronik itu.

"Pakar dematologi tidak merawat sakit berkaitan sendi, sebaliknya pesakit akan dirujuk pakar sendi dilihat rawatan bersesuaian tertakluk kepada penyakit dihidapi.

"Pakar sendi akan melihat tahap kesakitan dialami pesakit untuk dirawat dengan bersesuaian," katanya.

Beliau meminta semua pesakit psoriasis peka tahap kesihatan termasuk interaksi tubuh dan memberitahu pakar kesihatan yang merawat mereka.

Mengenai kesihatan mental, beliau berkata hampir 50 peratus mereka menghidap penyakit itu berdepan dengan kemurungan.

"Psoriasis penyakit auto imun menyebabkan masalah kulit dan apabila berlaku sudah tentu menjejaskan tahap keyakinan khususnya apabila kulit tidak cantik.

"Ia mengganggu 'self esteem' pesakit disebabkan gangguan pada kulit dan pergerakan mereka," katanya.

Selain kemurungan pesakit juga akan berdepan dengan anxiety disorder (keresahan).

Katanya, adalah penting pesakit psoriasis menjaga tahap kesihatan mental mereka kerana ada kajian menunjukkan penyakit itu semakin teruk jika mereka mengalami tekanan tinggi.

Pantang larang dalam pemakanan

Dr Nazirin menjelaskan, disebabkan penyakit itu masih belum diketahui puncak, aspek pemakanan tertentu belum boleh dilihat sebagai punca terjadinya psoriasis.

Justeru, beliau menolak mencadangkan diet tertentu dalam menjaga serta mengawal penyakit auto imun berkenaan.

"Pada pandangan saya, tidak perlu diet atau pantang tertentu, tetapi jika ada bertujuan untuk mengawal berat badan berlebihan.

"Pesakit psoriasis sentiasa dicadangkan untuk mengurangkan berat badan, pengambilan gula atau karbohidrat memastikan rawatan dilakukan lebih berkesan.

"Setakat ini, tiada kajian menunjukkan pesakit mengelak makanan tertentu akan bertambah baik daripada penyakit ini," jelasnya.

Jika pesakit mengalami luka dan digaru, makanan boleh mengakibatkan alergi.

"Ada elak ayam, telur atau makanan laut untuk menghentikan gatal dan elak luka," katanya.

Mengenai rawatan berasaskan steroid, Dr Nazirin menjelaskan pakar kesihatan biasanya tidak mencadangkan digunakan secara berterusan.

"Memang ada ubat steroid dalam rawatan iaitu biasanya penggunaan krim secara 'kecil-kecilan' tetapi jika digunakan banyak mungkin kulit akan menipis.

"Malah, kita tidak cadangkan rawatan ubat steroid yang boleh dimakan kerana dalam kajian ada pesakit apabila menghentikan rawatan itu, psoriasis akan menjadi lebih teruk," katanya.

Berita Harian X