Isnin, 27 Jun 2022 | 10:50am
Pesakit sawan boleh dipulihkan kurang lima minit.- Gambar hiasan
Pesakit sawan boleh dipulihkan kurang lima minit.- Gambar hiasan

Tiba-tiba diserang sawan

APABILA seseorang tiba-tiba diserang sawan, ada orang di sekelilingnya memberikan kain atau sudu untuk digigit pesakit supaya tidak tambah teruk atau mengelak kancing gigi.

 

Namun tanpa disedari, perbuatan lebih memudaratkan berikutan air liur terkumpul atau lidah pesakit tertolak ke kerongkong hingga menjejaskannya bernafas. 

Sawan atau epilepsi boleh berlaku kepada sesiapa saja dan dianggarkan 50 hingga 70 juta orang di seluruh dunia menghidapinya, manakala di Malaysia kira-kira satu peratus menderita sakit yang sama. Sawan lebih cenderung dideritai oleh kanak-kanak dan golongan berusia. 

Ketua Unit Neurologi Jabatan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Tan Hui Jan, berkata ahli keluarga atau orang ramai sepatutnya tidak memasukkan objek ke dalam mulut pesakit kerana ia boleh mencederakannya.

"Epilepsi ialah keadaan disebabkan oleh sawan berulang berikutan cetusan aktiviti elektrik mendadak berlaku di dalam otak. Ada sesetengah sawan kelihatan agak berbeza seperti merenung kosong atau pergerakan anggota kaki dan tangan berulang kali.

"Doktor mungkin mendiagnosis seseorang dengan epilepsi berdasarkan deskripsi daripada kejadian berlaku ke atas mereka dan melalui siri ujian membabitkan gelombang otak serta imbasan otak, tetapi epilepsi boleh dikesan seawal peringkat kanak-kanak," katanya.

 

Jenis sawan

Dr Tan yang juga Pakar Perunding Kanan Neurologi dan Perubatan Dalaman, berkata ada beberapa jenis epilepsi yang mempunyai simptom serangan berbeza dan boleh terjadi kepada semua peringkat umur terutama kanak-kanak serta golongan berusia. 

"Sawan berlaku kepada golongan tua kerana mereka lebih cenderung menghidap strok; ketumbuhan kanser otak dan insiden kemerosotan ingatan iaitu dimensia, lebih cenderung mendapat epilepsi atau sawan.

Sawan boleh mengancam nyawa jika keadaannya tidak terkawal. - Gambar hiasan
Sawan boleh mengancam nyawa jika keadaannya tidak terkawal. - Gambar hiasan

"Jadi akibat cetusan rangsangan elektrik dan tidak terkawal di bahagian otak, ia menyebabkan perubahan dalam kelakuan dan kesedaran seseorang. Pesakit boleh diserang sentakan kaki dan tangan, kebolehrebahan dan jatuh, mulut menjadi kebiruan, mata juling ke atas dan pesakit boleh menjadi tidak bermaya serta tidak sedarkan diri," katanya. 

Epilepsi ini terbahagi kepada dua kumpulan, sawan fokal dan menyeluruh. Sawan fokal bermula daripada satu bahagian di otak, manakala jenis menyeluruh, akan membabitkan keseluruhan bahagian otak.

"Tanda sawan fokal seperti perubahan perasaan, rasa kebas di muka, anggota kaki dan tangan, perubahan penglihatan, kedua-dua jenis sawan tetap bahaya kerana apabila berlaku boleh mengakibatkan hilang kesedaran serta lain-lain.

"Sawan jenis menyeluruh menyebabkan cetusan rangsangan elektrik dari seluruh otak ini mengakibatkan pesakit mungkin terus rebah ke atas lantai menyebabkan sentakan anggota kaki dan tangan tidak berhenti, mata juling ke atas, mulut berubah kebiruan dan kancing gigi. 

"Ada diserang sangat singkat dan pulih kurang lima minit, tetapi keadaan gelombang otak mengambil masa berpanjangan hingga beberapa jam atau hari berikutan untuk pulih ke asal," katanya. 

Rawatan sawan

Dr Tan berkata, kemalangan boleh menyebabkan kecederaan otak yang parah. 

"Ia mungkin ada pendarahan disebabkan otak terhentak, gegaran daripada kemalangan hingga mengakibatkan parut di kepala. Sawan boleh berlaku sejurus kemalangan atau selepas satu minggu hingga ke beberapa tahun kerana ia tidak semestinya berlaku serta-merta.

"Sawan boleh mengancam nyawa jika keadaannya tidak terkawal dan berulang serta tidak berhenti-henti atau dipanggil status epilepticus menyebabkan tekanan darah menurun, kekurangan oksigen ke bahagian otak serta memerlukan bantuan kecemasan serta-merta," katanya. 

Dr Tan Hui Jan
Dr Tan Hui Jan

Katanya, selepas didiagnos pesakit diberikan kaunseling dan diberi ubat sawan. Pesakit dinasihatkan tidak memandu, berenang, memanjat tempat tinggi, menunggang motosikal, mengayuh basikal atau aktiviti lasak lain. 

"Ubat diberikan mengikut jenis sawan dan jenis epilepsi serta dipantau termasuk mengenai kepatuhannya mengambil ubat mengikut masa dan menerangkan mengenai faktor pencetus sawan seperti lambat tidur, tekanan, hipoglisemia (kurang paras gula dalam darah), tidak makan ubat mengikut masa tetap boleh mencetuskan serangan sawan kembali.

"Mengiringkan pesakit ke sebelah kiri bagi mengelakkan air liur atau lidah untuk jatuh di belakang kerongkong pesakit.

"Pastikan pesakit ditemani dan berada di tempat selamat. Biasanya, sawan akan berhenti sendiri dalam masa lima minit dan tidak perlu masukkan apa-apa objek dalam mulut pesakit.

"Jika kita pegang kuat kaki dan tangan dan menjirus air juga sangat berbahaya kerana boleh mencederakan pesakit serta mengakibatkan gusi bengkak, gigi pesakit patah," katanya.

Sekiranya berlaku kepala pesakit perlu dibaringkan di atas objek lembut, tanggalkan cermin mata, tali leher dan melapangkan sekeliling pesakit," katanya.

Langkah seterusnya ialah menunggu sawan pesakit reda dan berhenti kerana ia akan terhenti secara sendiri.

Jika ia kembali berulang dan berpanjangan serta pesakit masih tidak sedarkan diri, baru bawa pesakit ke hospital. Sekiranya pesakit mengalami sawan kali pertama, bersama dengan demam bawa untuk rawatan lanjut.

 

Faktor genetik

Ia merangkumi kromosom abnormal yang mengakibatkan seseorang mengalami sawan. Selain itu, mereka mungkin ada masalah lain seperti pembelajaran dan perkembangan. Tidak semestinya apabila seseorang itu sawan, anak juga akan menghidapinya. 

"Ia mungkin disebabkan faktor lain misalnya, jangkitan otak, struktur otak tidak normal, ubatan tidak sesuai serta faktor radang otak boleh menyebabkan sawan," katanya.

Pesakit mendapat parut di bahagian dalam lobus temporal otak yang dipanggil sklerosis temporal mesial boleh mencetuskan sawan jenis fokal. 

"Serangan sawan boleh terus berlaku sehingga sesetengahnya boleh menjadi rintang kepada ubat, iaitu pesakit mengambil dua ubat sawan untuk dua tahun tetapi masih mendapat sawan

"Rawatan disyorkan untuk epilepsi rintang kepada ubat, pakar epilepsi bersama pakar lain akan menilai kesesuaian pembedahan untuk parut di otak ini kerana pembedahan berisiko tinggi," katanya.

Ini kerana, pakar epilepsi perlu membuat perbincangan bersama pakar bedah otak, radiologi, neuropsikologi, jika sesuai dibedah, baru pembedahan dilakukan iaitu kepada pesakit sawan jenis fokus dengan struktur otak yang abnormal.

"Sekiranya pembedahan mengeluarkan parut berjaya ia akan memberi kesan pengurangan dalam sawan serta boleh mengurangkan ubat sawan. Setengah pesakit boleh sembuh sepenuhnya bergantung kepada usia, corak sawan dan penyebab sawan," katanya.

Bagi pesakit rintang kepada ubat dan tidak sesuai untuk pembedahan adalah penggunaan stimulator saraf vagus, iaitu peralatan mengandungi bateri diletakkan di bawah tulang selangka bagi mengelak kerap mendapat sawan.

Berita Harian X