Ahad, 26 Jun 2022 | 8:55am
Dr Ahmad Shuib
Dr Ahmad Shuib
Kanser ovari menyumbang 60 hingga 70 peratus kes kanser berkaitan sistem peranakan wanita. - Gambar hiasan
Kanser ovari menyumbang 60 hingga 70 peratus kes kanser berkaitan sistem peranakan wanita. - Gambar hiasan
Dr Ahmad Shuib memegang ovari yang dibuang melalui kaedah pembedahan seberat 30 kilogram. - Foto/Ihsan Dr Ahmad Shuib
Dr Ahmad Shuib memegang ovari yang dibuang melalui kaedah pembedahan seberat 30 kilogram. - Foto/Ihsan Dr Ahmad Shuib
Kanser ovari paling ‘misteri’ dengan menyumbang kepada kanser keempat paling kerap dihidapi wanita di Malaysia. - Gambar hiasan
Kanser ovari paling ‘misteri’ dengan menyumbang kepada kanser keempat paling kerap dihidapi wanita di Malaysia. - Gambar hiasan

Kanser ovari paling 'misteri'

TIDAK ada kaedah saringan awal bagi mengesan kanser ovari, lantas ia dianggap sebagai pembunuh senyap wanita.

Malah, kanser ovari menyumbang 60 hingga 70 peratus kes kanser berkaitan sistem peranakan wanita dan hanya dapat dikesan apabila sudah berada pada tahap tiga dan empat.

Ini menjadikan kanser ovari paling 'misteri' dengan menyumbang kepada kanser keempat paling kerap dihidapi wanita di

negara ini.

Belum ada kaedah alternatif bagi pencegahan awal kanser membabitkan organ peranakan lain seperti kanser endometrium atau rahim dan kanser serviks (kanser pangkal rahim).

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Shuib Yahaya, berkata faktor kelewatan diagnosis bagi pesakit kanser ovari majoritinya bukan disebabkan pengabaian kesihatan oleh pesakit, tetapi ciri kanser itu sendiri yang menyukarkan pengesanan awal dilakukan.

"Memang tidak ada kaedah saringan awal untuk kanser ovari, iaitu tidak boleh dikesan sebelum menjadi kanser.

"Misalnya, kanser pangkal rahim, ada program pap smear bagi mengesan sebelum jadi kanser atau dipanggil prakanser.

"Disebabkan itu 70 peratus kes kanser pangkal rahim dikesan ketika berada pada tahap satu.

"Namun, untuk kanser ovari tidak ada ujian sebegitu. Jadi, kebanyakan 60 hingga 70 peratus kes dikesan hanya ketika pesakit berada pada tahap tiga dan empat," katanya.

Simptom kanser tidak spesifik

Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM itu berkata, lebih menyukarkan pengesanan awal pesakit kanser ovari disebabkan ciri simptomnya yang tidak spesifik.

Kanser ovari tiada simptom khusus. Simptom seperti cepat rasa kenyang, perut kembung, muntah atau loya berkemungkinan (boleh) disebabkan penyakit lain, gastrik, pedih ulu hati dan radang pundi hempedu.

"Organ itu sendiri terletak di bahagian dalaman iaitu abdomen. Jadi apabila saiz (ketumbuhan) signifikan, baru wujudnya tanda. Itu pun tidak spesifik, contohnya ada rasa perut kembung, mereka ingatkan ia disebabkan kegemukan," katanya.

Jelasnya, disebabkan faktor itu realitinya, pesakit kanser ovari hanya dapat dikesan apabila berada pada tahap kronik dengan jumlah dikenal pasti pada pada tahap satu dan dua, sangat kecil.

Kanser berulang selepas sembuh

Beliau yang juga Felo Ginekologi-Onkologi Institut Kanser Negara, berkata mengenai isu survival bagi pesakit kanser ovari, perkara itu juga sukar ditentukan.

"Banyak perkara berkaitan sel kanser ovari belum ada kepastian. Justeru, kajian kanser ini paling banyak dijalankan kerana sehingga kini masih belum ada kaedah betul-betul bagus, memberangsangkan bagi membantu dari segi jangka hayat pesakit.

"Walaupun ada pesakit sembuh selepas rawatan, tetapi jika mereka berada pada tahap tiga dan empat, kira-kira 70 hingga 80 peratus biasanya akan mendapat semula kanser sama dalam tempoh lima tahun.

"Daripada pengalaman saya, kemungkinan untuk ketumbuhan (datang semula) adalah tinggi sekitar 80 peratus, tak ramai pesakit yang tak datang langsung (untuk kembali dirawat) selepas sembuh," katanya memberitahu kebanyakan pesakit dijangkiti semula kanser ini membabitkan pesakit pada tahap tiga dan empat.

Kaedah rawatan kanser ovari

Kebanyakan pesakit disarankan menjalani pembedahan dan diikuti dengan kemoterapi.

"Amat jarang datang untuk rawatan dengan tahap satu sama ada 1A, 1B atau 1C. Biasa pada tahap 1A sahaja yang tidak memerlukan kemoterapi.

"Rawatan prinsipnya adalah pembedahan dan kemoterapi. Pembedahan buang organ peranakan (ovari) dan ketumbuhan dalam perut tidak cukup, mesti jalani kemoterapi sebagai susulan," katanya.

Buang ovari

Bagi wanita belum berkahwin dan risiko tiada zuriat jika disahkan menghidap kanser ovari, katanya perkara itu agak kompleks dan pesakit disarankan meneruskan pembedahan dan kemoterapi.

"Perkara ini membabitkan pemandulan (apabila kedua-dua ovari terpaksa dibuang), tetapi jika inginkan kesembuhan, ini sahaja kaedah yang ada.

"Kecuali bagi kes yang sangat spesifik, contohnya yang berada di tahap 1A, dapat kesan paling awal dan masih muda, boleh dibuat perbincangan bagi menyediakan rawatan minimum mungkin hanya buang satu ovari yang terbabit (merebak sel kanser) sahaja," katanya.

Secara amnya tidak ada perkara atau kaedah tertentu yang boleh disarankan untuk mencegah penyakit ini, kecuali bagi sesetengah individu yang mempunyai ciri khusus.

"Misalnya, mereka yang pernah menghidap barah payudara atau ada sejarah keluarga golongan ini berisiko tinggi mendapat kanser ovari. Kedua-dua kanser ini berhubung kait kerana ia berkait dengan hormon.

"Apa yang boleh dilakukan, wanita dalam kategori ini perlu ambil langkah berjaga-jaga, jika ada simptom seperti kembung perut, tak boleh anggap sekadar gastrik, sebaliknya buat pemeriksaan lanjut," katanya.

Obesiti antara punca kanser ovari

"Tak dinafikan obesiti antara punca kanser ovari, ini disebabkan sel lemak berkait dengan hormon. Memang banyak kanser yang risikonya lebih tinggi jika berat badan berlebihan dan perokok.

"Wanita yang tidak pernah hamil, lewat melahirkan anak dan kurang anak berisiko mendapat kanser ini," katanya.

Mengapa mereka berisiko? Kerana ovari sentiasa aktif. Ovari setiap bulan hasilkan telur, hanya apabila mengandung dan menyusukan anak, telur tidak dihasilkan.

Proses ovulasi yang berulang ini mendedahkan ovari kepada kanser.

"Kanak-kanak yang datang haid awal juga berisiko kerana jangka masa lama berovulasi. Jadi saya nasihatkan mereka yang ada faktor risiko begini lebih berjaga-jaga dan buat pemeriksaan jika ada sebarang tanda," katanya.

Berita Harian X