Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:51am
Kanak-kanak perlu cukup nutrisi supaya dapat membesar dan berkembang dengan baik. - Gambar hiasan
Kanak-kanak perlu cukup nutrisi supaya dapat membesar dan berkembang dengan baik. - Gambar hiasan
Kanak-kanak mengalami bantut jika tidak amalkan diet seimbang. - Gambar hiasan
Kanak-kanak mengalami bantut jika tidak amalkan diet seimbang. - Gambar hiasan

Lebih 70 peratus kanak-kanak kurang zat makanan

KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus kanak-kanak di empat negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia kekurangan nutrisi atau malnutrisi terutama kalsium dan vitamin D dalam diet seimbang sehingga boleh membantutkan tumbesaran serta perkembangan mereka dengan baik.

Pada masa sama, kira-kira 84 peratus kanak-kanak di empat negara terbabit, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam juga tidak memenuhi keperluan purata vitamin D.

Kekurangan nutrisi atau malnutrisi itu masih menjadi cabaran besar dalam perkembangan kesihatan kalangan kanak-kanak di Asia Tenggara

Data itu diperoleh menerusi kajian

dilakukan FrieslandCampina, antara 2019 dan 2021, yang diterajui universiti dan institusi penyelidikan di empat negara berkenaan membabitkan hampir 14,000 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Kajian berkenaan mengetengahkan isu malnutrisi sebagai 'beban tiga kali ganda' kekurangan zat makanan.

Produk tenusu wajar diambil kanak-kanak terutama ketika sarapan. - Gambar hiasan
Produk tenusu wajar diambil kanak-kanak terutama ketika sarapan. - Gambar hiasan

Lebih membimbangkan golongan itu juga didapati kekurangan zat makanan, mikronutrien dan berat badan berlebihan atau obesiti.

Kajian terbaharu itu adalah kesinambungan daripada Kajian Tinjauan Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) yang dibentangkan pada 2012.

Secara keseluruhan, SEANUTS II ini menunjukkan masalah bantut dan anemia masih wujud, terutama kepada kanak-kanak kecil.

Bagaimanapun untuk kanak-kanak lebih berusia, terdapat kelaziman (pravelans) berat badan berlebihan dan obesiti yang lebih tinggi.

Malah, kebanyakan kanak-kanak tidak mencapai keperluan purata pengambilan kalsium dan vitamin D.

'Beban tiga kali ganda' ini menjadikannya satu perkara yang sangat penting untuk memenuhi jurang nutrisi dengan intervensi pemakanan yang betul dan program pendidikan.

Mengulas mengulas mengenai dapatan kajian itu, Ketua Penyiasat untuk SEANUTS II di Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon berkata, pemakanan sihat adalah berkaitan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Beliau yang juga Profesor bidang nutrisi di Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjelaskan, jika kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi diperlukan, mereka tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik.

"Kajian baharu kami mendapati lebih 70 peratus kanak-kanak di empat negara terbabit tidak memenuhi keperluan purata untuk kalsium, manakala lebih 84 peratus tidak memenuhi keperluan purata vitamin D.

"Penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya memperbaiki sekuriti makanan serta ketersediaan produk makanan yang memenuhi keperluan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan akses kepada pemakanan sihat," katanya.

Beliau berkata, diet seimbang perlu lengkap dengan buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat dan sumber protein termasuk dua hidangan produk tenusu setiap hari.

"Ia terkandung dalam syor Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2020 yang mengesyorkan makanan seimbang perlu terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat dan makanan protein termasuk dua hidangan produk tenusu setiap hari," katanya.

Bagaimanapun katanya, seorang daripada empat kanak-kanak Malaysia mengambil kurang daripada 100 milimeter (ml) produk tenusu serta kurang daripada lima kali seminggu.

"Produk tenusu biasanya diambil ketika sarapan, namun seorang daripada tiga kanak-kanak di negara ini tidak mengambilnya ketika sarapan.

"Penyelidikan menunjukkan kanak-kanak mengalami bantut jika mengamalkan diet tidak seimbang serta lebih berkemungkinan mengalami anemia dan kekurangan zat besi.

"Pemakanan yang buruk juga mempunyai kesan negatif kepada perkembangan kognitif kanak-kanak dan berpotensi memberi kesan kepada kehidupan masa depan," katanya.

Dapatan kajian mengenai kekurangan zat makanan sangat membimbangkan berbanding sasaran ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Pemakanan Malaysia III 2016-2025.

Sementara itu, Pengarah Global, Penyelidikan dan Pembangunan FrieslandCampina, Margrethe Jonkman berpendapat, penyelidikan adalah kunci untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang keperluan pemakanan tempatan.

"Hasil kajian ini akan membantu FrieslandCampina dalam membangunkan produk yang lebih baik, mampu milik memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak serta dalam membangunkan program untuk menggalakkan diet seimbang dan gaya hidup aktif dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, pekerja kesihatan dan sekolah," katanya.

Berita Harian X