Selasa, 14 Jun 2022 | 9:36am
Kajian menunjukkan wanita mengalami sindrom HELLP boleh menyebabkan kemurungan. - Gambar hiasan
Kajian menunjukkan wanita mengalami sindrom HELLP boleh menyebabkan kemurungan. - Gambar hiasan

Hellp ancam nyawa wanita hamil, bayi

SINDROM Hellp atau gangguan hati dan darah berpotensi mengancam nyawa ketika wanita dalam waktu kehamilan. lazimnya dikaitkan dengan preeklampsia yang teruk atau severe preeclampsia' (PE).

Biasanya keadaan itu berlaku ketika trimester terakhir minggu kehamilan atau pada usia kehamilan antara 27 hingga 37 minggu. Namun, ia boleh juga berlaku ketika usia kehamilan lebih muda atau selepas bersalin.

Sindrom Hellp ini dikatakan berlaku berikutan komplikasi (PE) yang teruk, dengan sebanyak lima hingga 20 peratus wanita yang mengalami PE akan menghidap Sindrom Hellp.

Selain itu, 15 hingga 20 peratus wanita yang menghidap sindrom Hellp didapati tidak mengalami PE dan 30 peratus daripada mereka ini didiagnos ketika dalam pantang, iaitu selepas bersalin.

Justeru, sindrom Hellp kini diterima sebagai entiti yang berbeza daripada PE.

Menurut Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi Hospital Canselor Tunku Muhkriz (HCTM), Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani, punca sindrom itu berlaku sama seperti PE, iaitu berlaku kecederaan pada sel salur darah (endothelial).

"Ini merangsang reaksi inflamasi seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem pembekuan darah yang lebih cenderung kepada pendarahan.

"Pada masa sama, pelekatan uri yang tidak normal pada awal trimester juga

merangsang reaksi inflamasi ini berlaku.

"Kesemua mekanisma ini akan menyebabkan terjadinya Sindrom Hellp pada trimester ketiga," katanya.

Simptom sindrom Hellp

Dr Nur Azurah berkata, antara simptom yang mungkin dialami oleh wanita hamil yang menghidap sindrom Hellp ialah mual, muntah, sakit kepala, pandangan mata yang kabur serta sakit di ulu hati, selain tekanan darah juga didapati tinggi.

Sindrom Hellp dibuat berdasarkan keputusan ujian makmal, di mana ia menunjukkan berlaku hemolisis (sel darah merah pecah), peningkatan enzim yang dirembeskan oleh hati (hepar) serta pengurangan jumlah sel platelet.

Katanya, pemeriksaan air kencing juga mungkin mendapati kandungan protein yang tinggi di dalamnya.

Ada kalanya, Sindrom Hellp ini sukar dibezakan dengan penyakit seperti

`Acute fatty liver'(AFLP), `haemolytic uremic syndrome'(HUS), `thrombotic

thrombocytopenia purpura' (TTP), `Systemic lupus erythematous' serta `anti-

phospholipid syndrome' (APS) kerana simptomnya yang hampir sama.

 

Kaedah kelahiran pesakit Hellp

Katanya, wanita hamil yang menghidap sindrom itu perlu distabilkan terlebih dahulu sebelum merancang kaedah kelahiran bayinya.

Tekanan darah yang tinggi perlu dikawal dengan ubat-ubatan. Penggunaan ubatan magnesium sulphate juga penting bagi menghalang kejadian sawan atau eclampsia.

Sekiranya kandungan kehamilan berusia di antara 27 hingga 34 minggu, ubat steroid seperti dexamethasone harus diberi bagi mematangkan paru-paru bayi.

"Andainya kandungan berusia lebih 34 minggu, ubat steroid tidak lagi perlu diberikan kerana paru-paru bayi dikatakan cukup matang.

"Pada waktu sama, alat ventilator perlu dicari untuk bayi yang pramatang bagi memastikan bayi mendapat rawatan yang terbaik," katanya.

"Komposisi darah ibu yang tidak normal juga perlu diperbetulkan sebelum kelahiran bayi. Ini penting bagi mengelak pendarahan yang banyak ketika kelahiran," katanya.

Lazimnya, kaedah kelahiran bagi wanita yang menghidap sindrom Hellp ini adalah melalui pembedahan caesarean.

Pilihan anaesthesia ketika pembedahan bergantung pada jumlah sel platelet serta sistem pembekuan darah wanita terbabit.

Sekiranya wanita itu mempunyai sel platelet yang rendah serta cenderung kepada coagulopathy, prosedur epidural atau spinal anaesthesia tidak boleh diberikan dan wanita berkenaan harus diberi bius sepenuhnya atau ditidurkan ketika pembedahan itu.

Selepas pembedahan, wanita itu masih perlu dipantau rapi di unit rawatan rapi (ICU) kerana masih berisiko untuk mendapat sawan atau eclampsia.

Oleh itu, ubatan magnesium sulphate perlu diberikan untuk 24 jam. Komposisi darah juga perlu dipantau bagi mengelak berlakunya pendarahan yang banyak.

Risiko ibu hamil?

Selain daripada menyebabkan wanita cenderung mengalami pendarahan seperti

lekang uri (abruptio placenta) yang boleh menyebabkan kematian pada ibu

serta bayi yang dikandung, Sindrom HELLP juga boleh mengakibatkan kegagalan organ lain di dalam badan.

Antara organ yang terbabit termasuk hati, limpa, buah pinggang dan otak. Ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang yang akut (18 peratus, pendarahan di hati (28 hingga 86 peratus) serta di otak (26 hingga 64 peratus).

Kadar kematian ibu juga tinggi sekitar 30 peratus sekiranya wanita ini mengalami komplikasi seperti di atas.

Dr Nur Azurah berkata, kajian juga menunjukkan wanita yang pernah mengalami Sindrom HELLP ini akan mengalami kesan masalah kesihatan yang berpanjangan.

"Antaranya mereka mengalami kemurungan, `anxiety' serta gangguan pada emosi mereka," katanya.

Bayi dilahirkan pramatang

Sindrom Hellp juga menyebabkan bayi dilahirkan secara pramatang dan ini

boleh menjadi faktor kepada kematian bayi itu.

Kematian dikatakan lapan hingga 38 peratus bergantung kepada minggu kelahiran serta kaedah kelahiran bayi berkenaan.

Bayi yang dilahirkan pramatang ini akan menghadapi masalah berkaitan dengan risiko pramatang termasuk masalah pernafasan serta

pendarahan dalam otak.

Bagi ibu pula, sekiranya mereka menghidapi penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi serta kanser, sudah tentu menyukarkan lagi penjagaan kehamilan wanita ini.

Penyakit ini juga akan meningkatkan risiko kematian ibu dan bayi yang dikandung. Sindrom Hellp perlu distabilkan dan dirawat terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa perancangan untuk kehamilan.

Lazimnya wanita yang berusia lebih cenderung untuk mengalami pre-eclampsia. Oleh itu, secara tidak langsung mereka juga berisiko mendapat sindrom berkenaan sekiranya mereka mengalami `severe pre-eclampsia'.

Wanita lebih berisiko

Wanita berisiko mengalami sindrom ini, iaitu antara 13 hingga 24 peratus atau pre-eclampsia (22 hingga 28 peratus) di kehamilan yang akan datang.

Buat masa ini tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko ini pada kehamilan akan datang.

"Setiap wanita yang merancang untuk hamil, dinasihatkan menjaga kesihatan mereka sebelum kehamilan agar badan berada pada tahap kesihatan yang terbaik.

"Sekiranya menghidap sebarang penyakit seperti kencing manis, SLE dan sebagainya, penyakit itu harus berada pada yang tahap yang stabil, iaitu sesuai untuk hamil," katanya.

Dikatakan satu dalam lima wanita yang menghidapi Sindrom Hellp juga mengalami pre-eclampsia. Oleh itu penggunaan ubatan aspirin pada dos

yang rendah dapat mengurangkan peratusan mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat pre-eclampsia.

"Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan mereka yang menghidap pre-eclampsia untuk mendapat sindrom berkenaan," katanya.

Tiada rawatan khusus untuk pesakit terbabit, hanya perlu mengawal simptom serta komposisi darah yang tidak normal.

Jalan terakhir adalah melakukan pembedahan untuk mengeluarkan bayi bagi menyelamatkan nyawa ibu serta bayi.

Berita Harian X