Ahad, 12 Jun 2022 | 10:36am
Masalah gangguan hormon paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia berkaitan kelenjar tiriod.
Masalah gangguan hormon paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia berkaitan kelenjar tiriod.

Gangguan hormon berisiko bawa maut

MASALAH berat badan tiba-tiba naik atau turun secara mendadak atau penat keterlaluan yang tiada penyebab khusus, antara gejala gangguan hormon.

Untuk mengesahkan berlaku gangguan berkenaan, pesakit perlu menjalani ujian darah terlebih dahulu.

Gangguan hormon walaupun dikategorikan sebagai tidak berbahaya jika dibandingkan dengan penyakit lain, namun dalam beberapa keadaan ia masih boleh mengakibatkan penyakit lain dan berisiko membawa maut.

Pakar Perunding Kanan dan Ketua Unit Endokrin, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Jeyakantha Ratnasingam, berkata masalah gangguan hormon bergantung kepada jenis kelenjar yang terbabit.

Katanya, dalam badan terdapat kelenjar tiroid dan paratiroid yang terletak di bahagian leher, kelenjar pituitari dekat pangkal otak, kelenjar adrenal di atas buah pinggang, kelenjar pankreas di belakang perut serta kelenjar testis dan ovari berhampiran kemaluan.

"Setiap kelenjar itu menghasilkan hormon tersendiri atau zat kimia yang berperanan sebagai penggerak kepada hampir kesemua fungsi utama tubuh.

"Jika salah satu kelenjar bermasalah sama ada menghasilkan kurang atau terlebih hormon, ia akan mengganggu fungsi tertentu badan.

"Gangguan hormon boleh berlaku di mana-mana kelenjar dan biasanya di satu kelenjar sahaja dan bukan di dua tempat serentak," katanya.

 Dr Jeyakantha Ratnasingam
Dr Jeyakantha Ratnasingam

Kelenjar tiroid paling ketara

Dr Jeyakantha berkata, masalah gangguan hormon paling ketara dan banyak berlaku di Malaysia adalah pada kelenjar tiroid dan kajian melaporkan masalah itu membabitkan empat peratus di negara ini.

Jika hormon tiroid terlalu rendah atau dikenali sebagai hipotiroidisme ia akan menyebabkan berat badan meningkat mendadak walaupun sudah menjalani gaya pemakanan sihat atau bersenam, penat keterlaluan, tidak tahan sejuk atau sembelit.

"Berbeza jika hormon dikeluarkan kelenjar tiroid terlalu tinggi atau dipanggil sebagai hipertiroidisme ia akan menyebabkan berat badan turun mendadak, namun selera makan bertambah, sentiasa rasa panas atau jantung berdebar.

"Justeru, penting menjalani ujian bagi memastikan hormon dalam badan seimbang kerana jika sebaliknya akan mengganggu kehidupan," katanya.

Kelenjar adrenal

Ia mengeluarkan hormon kortisol, penyakit itu digelar Cushings Syndrome dan jika hormon itu terlalu aktif atau banyak, ia akan menyebabkan berat badan naik, sentiasa keletihan serta kulit akan menjadi nipis, mengeluarkan tanda regangan dan masalah kencing manis serta darah tinggi yang sukar dikawal.

"Jika hormon itu kurang ia akan menyebabkan pesakit susut berat badan, lemah badan dan kulit menjadi gelap," katanya.

Penurunan dan pertambahan berat badan secara mendadak antara simptom berlaku gangguan hormon.- Gambar hiasa
Penurunan dan pertambahan berat badan secara mendadak antara simptom berlaku gangguan hormon.- Gambar hiasa

Masalah kekurangan hormon

Berlaku pada kelenjar pituitari, jika berlaku terhadap kanak-kanak boleh menyebabkan masalah tumbesaran, iaitu ketinggian tidak seiring usia.

"Malah menyebabkan lambat akil baligh bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan akan lewat mendapat haid pertama," katanya.

"Sebaliknya, jika kelenjar pituitari mengeluarkan hormon berlebihan, boleh menyebabkan agromegali iaitu tangan, tapak kaki, muka atau anggota badan lain pada pesakit tiba-tiba menjadi besar dan masalah prolaktinoma di mana berlaku gangguan haid dan kesuburan wanita.

Gangguan hormon di kelenjar ovari

Boleh menyebabkan gangguan kitaran haid sama ada menjadi terlalu kerap atau kurang.

Katanya, jika hormon estrogen kurang, kitaran haid akan terganggu dan jika sebelum ini kitaran setiap empat minggu boleh menjadi sehingga berminggu atau berbulan.

"Masalah bagi kelenjar testis bagi golongan lelaki, jika hormon testosterone kurang, ia akan menyebabkan nafsu menurun dan seakan mati pucuk," katanya.

Gangguan hormon boleh menyebabkan penyakit jika ia tidak dikesan dan dirawat lebih awal.

Faktor gangguan hormon

Antara penyebab daripada kandungan steroid berlebihan dalam ubat.

Steroid di dalam ubat termasuk ubat tradisional yang diambil dalam tempoh lama dan tanpa pengawasan pakar perubatan boleh menyebabkan kesan pada kelenjar adrenal.

"Steroid berkesan menyembuhkan penyakit seperti sakit sendi, sakit belakang, ruam, resdung atau alahan, namun perlu di bawah pemantauan.

"Ubat mengandungi kandungan steroid mudah diperoleh dan pengambilan tidak terkawal boleh menyebabkan kesan kepada kelenjar adrenal.

Pengambilan steroid berlebihan dan berpanjangan boleh menyebabkan masalah berat badan berlebihan, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

"Jika diberhentikan tanpa pemantauan doktor, pesakit boleh mengalami kekurangan kortisol mendadak dan boleh menyebabkan mual, muntah, pening serta tekanan darah rendah" katanya.

Steroid, ubat lain yang boleh mengganggu hormon pada kelenjar tiroid adalah litium dan amiodarone, serta beberapa jenis rawatan kanser termasuk imunoterapi dan radioterapi ke otak yang boleh mengganggu kelenjar pituitari.

Boleh ganggu organ lain

Jika ubat itu diperlukan untuk masalah kesihatan lain, pemantauan gangguan hormon perlu dilakukan dalam jangka masa panjang melalui ujian darah.

"Kecederaan pada otak hingga menyebabkan pendarahan dalam otak akibat kemalangan juga boleh menjadi antara punca gangguan hormon kerana memberi kesan kepada kelenjar pituitari," katanya.

Gangguan hormon juga berpotensi mengganggu pelbagai organ lain dalam badan.

Bagi wanita yang mendapati kitaran haid tidak teratur biasanya akan lambat membuat pemeriksaan lewat kerana menjangkakan ia masalah biasa. Jadi perlu segera buat pemeriksaan untuk mengesahkan punca.

Rawatan masalah gangguan hormon selepas disahkan menerusi ujian darah bagi kes hormon.

Pesakit perlu mengambil ubat setiap hari supaya hormon dalam kembali seimbang dan terdapat hormon yang turut diberi dalam bentuk suntikan seperti hormon tumbesaran dan hormon lelaki (testosterone).

"Ada ubat gantian hormon perlu dimakan untuk selama-lamanya, namun bergantung kepada keadaan pesakit dan ada untuk sementara.

"Ubat gantian hormon itu tidak berbahaya dimakan dalam tempoh lama kerana ia hanya sebagai pengganti hormon dalam tubuh," katanya.

Gangguan hormon masih perlu dirawat. Jika gagal dirawat dan sehingga mengganggu tahap metabolisme, ia boleh menyebabkan pesakit koma seterusnya membawa maut.

Di Malaysia masalah kelenjar tiroid paling lazim berlalu diikuti kelenjar ovari dan testis dan kelenjar pituitary dan adrenal.

Berita Harian X