KETUMBUHAN atau tumor otak bukan sesuatu yang jarang berlaku, namun Malaysia tidak mempunyai data lengkap berikutan tiada pusat data khusus berbanding di Barat.
Ketumbuhan otak terjadi apabila terdapat pertumbuhan tisu otak yang luar biasa dan tidak terkawal.
Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder.
Tumor boleh menjadi 'benign' (bukan kanser) dan juga malignant (kanser) iaitu kebarangkalian ia boleh terjadi sendiri atau faktor lain.
Pakar Perunding Bedah Neuro (Neurosurgeon) Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Kevin Sek Weng Yew, berkata secara umumnya di negara ini mempunyai kira-kira 3,000 hingga 5,000 untuk kes tumor otak.
Katanya, ia boleh ditakrif sebagai benign atau malignant iaitu kanser atau bukan kanser dengan ia boleh dikategorikan daripada gred satu hingga empat. Tahap paling teruk adalah empat.
"Jika tumor itu masih baru dan tidak merebak iaitu gred satu dan dua 'benign', ia boleh dibuang atau dirawat sepenuhnya hingga sembuh. Kebiasaannya ia tidak kembali jika sudah
dikeluarkan sepenuhnya.
"Ketika ini, tumor boleh dirawat dengan pelbagai cara sama ada secara pembedahan dan bukan pembedahan," katanya.
Misalnya, HPKL ada menawarkan kaedah perubatan Gamma Knife' untuk merawat pesakit barah dan tumor otak.
Menerusi kaedah ini pesakit tidak lagi perlu menjalani pembedahan biasa sebaliknya melakukan rawatan menggunakan sinaran radiasi Gamma Knife.
Peluang untuk hidup
Menurut Dr Kevin, tumor otak mempunyai banyak jenis dan diagnos tepat hanya boleh diproses melalui imbasan tomografi berkomputer (CT) bagi memastikan tahap pertumbuhannya, selain mengambil kira sejarah pesakit dan lain-lain.
"Ini sekali gus memberikan pesakit harapan dan tidak lagi hanya menerima 'hukuman mati' apabila diberitahu mengenai jangka hayat untuknya bertahan.
"Saya gembira apabila pesakit tanpa mengira usia dapat terus menjalani kehidupan, biarpun ada antara mereka pernah berputus asa selepas dimaklumkan tumor makin merebak dan tidak mungkin dapat diselamatkan," katanya.
Beliau berkata, pesakit yang mempunyai sejarah kanser lebih terdedah kepada tumor otak. Ini kerana jika seseorang menghidap kanser, ia menandakan ia invasif dan penyakit itu boleh merebak daripada organ utamanya ke bahagian lain badan.
"Tumor otak boleh disebabkan oleh sebarang kanser yang biasanya kanser paru-paru, payudara atau kolon yang merebak ke otak.
Gejala tumor otak
Tambah Dr Kevin, mereka yang mempunyai tumor otak akan mengalami gejala seperti peningkatan tekanan 'intracranial' termasuk sakit kepala, loya serta muntah.
"Sebagai contoh jika tumor berada berhampiran sel otak berkaitan pertuturan dan komunikasi, maka kebolehan itu akan terjejas.
"Pertuturan pesakit mungkin tidak lancar dan ketika bercakap dengan mereka, mereka menerima atau bertindak balas komunikasi itu," katanya.
Sementara itu, katanya jika tumor berada berhampiran saraf pendengaran, pesakit cenderung untuk tidak mendengar dengan jelas, telinga berdengung dan kehilangan keseimbangan progresif.
"Sesetengah tumor boleh membesar kepada saiz lebih besar, terutama jika terletak di bahagian hadapan otak. Gejala akan menjadi semakin teruk dan akhirnya mula memberi kesan kepada kualiti hidup pesakit. Ia menjadi sesuatu yang tidak boleh diabaikan lagi.
"Pesakit akan merasai sakit kepala berterusan serta semakin teruk, memerlukan pemeriksaan lanjut perlu dilakukan. Seperti kebanyakan penyakit, lebih awal pesakit didiagnosis, lebih baik hasilnya," katanya.
Bebas daripada tumor otak
Berkongsi mengenai derita tumor otak, seorang pesakit, Cheng Kee Heng, 61, mengatakan kebanyakan masanya diluangkan bersama keluarga sambil menguruskan kedai runcit.
"Namun, pada usia sebegini, saya risau apabila jatuh tanpa sebarang sebab, hingga fizikal menjadi lemah. Dalam pada itu, saya turut merasakan sukar untuk berkomunikasi secara lisan.
"Dalam masa dua minggu, keadaan dan gejala ini semakin serius. Saya mula hilang kemahiran kognitif dan motor. Saya juga sudah melakukan imbasan dan ia menunjukkan memang tumor dalam otak saya," katanya.
Sambil itu menceritakan, beliau tidak boleh lagi berjalan dan perlu ditolak di atas kerusi roda, malah tidak boleh mencangkuk sendiri kancing pakaian dalam di belakang badan.
"Saya juga tidak boleh bercakap atau memahami apa yang dicakapkan, malah sukar menyusun perkataan atau menyebut ya atau tidak. Komunikasi berlaku, dengan saya mengerdipkan mata.
"Lebih menyedihkan saya pernah diberitahu, hayat saya tinggal tiga bulan. Mujur kemudian keluarga membawa saya berjumpa Dr Kevin, dan sudah menjalani prosedur membuang tumor dan kemudian diteruskan dengan sesi kemoterapi dan radioterapi," katanya.
Katanya, pembedahan itu dilalui tanpa rasa sakit dan terus dilakukan dengan satu sesi sahaja dan selepas sembuh, beliau dapat berjalan serta bertutur kembali.
"Imbasan kemudiannya diulangi lagi dan kini sudah 18 bulan saya bebas daripada tumor itu," katanya.
Info :
Jenis tumor otak:
* Ketumbuhan otak primer
Ketumbuhan berasal dari tisu otak
* Ketumbuhan sekunder
Ketumbuhan kanser merebak ke otak, berasal dari bahagian tubuh lain seperti paru-paru, payudara, kelenjar prostat dan ginjal
Ketumbuhan otak primer dibahagikan kepada Ketumbuhan Benign dan Malignan
Ketumbuhan Benign
* Proses pertumbuhan yang perlahan
* Tidak merebak ke anggota badan lain
* Tidak menyerang ke tisu sekitarnya.
* Kebarangkalian untuk ketumbuhan berulang selepas pembedahan pembuangannya amat rendah
Ketumbuhan Malignan
* Proses pertumbuhan yang pantas
* Boleh menyerang ke tisu berhampiran
* Ketumbuhan jarang merebak ke tisu luar dari otak
* Berpeluang berulang kembali selepas pembedahan pembuangan sepenuhnya dilakukan
Gejala lain tumor otak termasuk:
* Berasa tidak sihat
* Kabur penglihatan
* Pening
* Perubahan pada personaliti, ingatan atau tahap kesihatan mental
* Lemah separuh badan
* Kebas separuh badan
* Gangguan pada pertuturan atau pendengaran
* Gangguan pada deria bau atau rasa
* Gangguan keseimbangan ketika berdiri dan berjalan