Ahad, 27 Februari 2022 | 10:30am
Cabut bulu hidung, picit jerawat pada sekitar bahagian segi tiga wajah boleh mengundang bahaya. - Gambar hiasan
Cabut bulu hidung, picit jerawat pada sekitar bahagian segi tiga wajah boleh mengundang bahaya. - Gambar hiasan
Picit jerawat di zon segi tiga wajah boleh mengakibatkan jangkitan bakteria yang serius.- Gambar hiasan
Picit jerawat di zon segi tiga wajah boleh mengakibatkan jangkitan bakteria yang serius.- Gambar hiasan
Dr Ramiza Ramza Ramli
Dr Ramiza Ramza Ramli

Cabut bulu hidung, picit jerawat berisiko maut

MENCABUT bulu halus pada muka, bulu hidung, memicit jerawat di sekitar segi tiga wajah perkara lazim dilakukan seseorang.

Malah ada yang sudah menjadi tabiat buat begitu untuk menjadikan wajah tampil lebih berseri dan meyakinkan.

Bagaimanapun, mencabut bulu hidung, memicit jerawat pada sekitar bahagian segi tiga wajah tanpa disedari tabiat berkenaan mengundang bahaya kerana boleh mengakibatkan jangkitan kuman serius.

Ketua Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher (ORL-HNS), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Madya Dr Ramiza Ramza Ramli, berkata dua perbuatan itu tidak seharusnya dilakukan berikutan boleh mengakibatkan jangkitan bakteria serius.

"Memang ada dikatakan jangkitan bakteria di kawasan segi tiga 'kematian' boleh mengakibatkan jangkitan merebak hingga ke otak dan berlaku strok tetapi ia sebenarnya tidak mempunyai kaitan secara langsung.

"Bagaimanapun, keadaan itu berisiko menjadi lebih buruk kepada mereka mempunyai imunisasi rendah kerana apabila berlaku jangkitan kuman, kuman lain masuk ke dalam rongga sinus berupaya mengakibatkan jangkitan serius," katanya.

Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) pernah berkongsi pandangan pakar penyakit berjangkit di Universiti Johns Hopkins yang menasihatkan orang ramai mengelak daripada memicit jerawat atau menarik bulu hidung terutama pada kawasan segi tiga 'kematian' di muka.

Ini berikutan kawasan segi tiga ini adalah berkait dengan jangkitan bakteria yang dikatakan boleh menyebabkan jangkitan di sekitar otak dan juga boleh menyebabkan strok.

Bagaimanapun, ia sangat jarang berlaku disebabkan antibiotik dan sukar untuk bakteria merebak secara melawan arus di dalam salur darah.

Bahaya kepada individu pertahanan lemah

Beliau yang juga pensyarah bidang perubatan berkata, risiko jangkitan kuman sekitar otak dan strok juga boleh berlaku kepada pesakit kronik, penghidap kencing manis, kanak-kanak, individu terlalu tua, pesakit buah pinggang serta penerima rawatan kemoterapi yang sering melakukan dua perbuatan itu.

"Sebagai contoh memicit jerawat dengan cara tidak betul boleh menyebabkan liang pori menjadi terbuka mengakibatkan kuman lain boleh memasuki melalui rongga itu.

"Keadaan ini mungkin tiada implikasi kepada orang biasa, tetapi amat berbahaya kepada mereka mempunyai pertahanan lemah yang boleh menyebabkan jangkitan serius.

"Strok otak ini bermakna ada pendarahan dalam kepala dan darah beku. Keadaan itu amat berbahaya terutama apabila berlaku jangkitan bakteria.

"Ini kerana kuman boleh merebak ke otak dengan cepat disebabkan saluran darah di kawasan ini ke bahagian cavernous sinus (kawasan bawah otak dan bukan rongga sinus) terus saluran yang membawa darah ke badan," katanya.

Beliau berkata, saluran yang menyambung hidung adalah unik berikutan tiada injap mengakibatkan bakteria mudah merebak.

"Biarpun jangkitan kuman bahagian ini memang jarang berlaku, tetapi ia boleh menjadi sangat teruk bagi mereka yang mempunyai pertahanan lemah serta pesakit kronik lain.

Menyerang otak

Dr Ramiza Ramza berkata, lazimnya pesakit dirawat dengan diberikan antibiotik, namun jika jangkitan itu teramat serius memang boleh menyebabkan pesakit meninggal dunia kerana kuman terus menyerang otak.

Menurutnya, meskipun implikasi jangkitan kuman turut boleh dideritai orang biasa tetapi mereka ini dapat sembuh dengan lebih cepat berbanding seseorang yang mempunyai pertahanan tubuh yang rendah.

"Jadi memang kita mencegahnya daripada berlaku jangkitan apatah lagi tabiat itu sememangnya tidak hygiene.

"Ini kerana sebenarnya kawasan segi tiga muka ini adalah berbahaya dan memang doktor akan berhati-hati kerana jika berlaku jangkitan kuman di kawasan yang amat bahaya," katanya.

Justeru, langkah terbaik dengan 'trim' atau menggunting bulu hidung yang panjang berbanding mencabut kerana bulu itu adalah penapis semula jadi dalam rongga pernafasan.

Bagi jerawat pula, elakkan memicitnya dengan tangan sebaliknya gunakan peralatan khas," katanya.

Cara jaga kulit wajah

Dr Ramiza Ramza berkata, kaedah terbaik menjaga kulit wajah adalah mencuci muka dengan menggunakan air suam dan jerawat boleh pulih dengan semula jadi tanpa perlu dipicit.

"Begitu juga dengan mencabut bulu hidung, ia sebenarnya tidak tumbuh panjang melebihi dua milimeter (mm) dan jika dicabut ia akan menyebabkan komplikasi seperti tiada sistem penapisan udara serta berkemungkinan mengakibatkan jangkitan kuman.

"Dari segi perubatan, mencabut bukan saja sakit tetapi boleh mengakibatkan keradangan dan mereka yang lemah pertahanan badan, jangkitan itu sukar sembuh, mengeluarkan nanah dan bengkak serta kesakitan yang berpanjangan," katanya.

Rawatan yang boleh dibuat adalah memberi ubat antibiotik sama ada secara pengambilan ubatan masuk melalui saluran darah atau melumurkan ubat di tempat yang sakit.

"Jadi orang ramai perlu peka dengan perubahan pada rongga hidung misalnya bengkak, berdarah untuk tempoh yang lama. Seelok-eloknya segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Info:

Bahaya zon tiga setiga wajah

* Bahagian berhubung terus dengan otak melalui salur darah

* Jika dijangkiti bakteria, boleh masuk dan merebak ke tengkorak

* Boleh menyebabkan darah beku dalam rongga sinus dan mengakibatkab strok

* Elak picit jerawat

* Elak cabut bulu hidung

* Gunakan alat khas utk 'trim' bulu hidung dan jerawat

Berita Harian X