Rabu, 9 Februari 2022 | 12:34pm
Saintis Malaysia, Singapura dan Universiti Cambridge bangunkan alat genetik nilai risiko kanser payudara wanita Asia.- Gambar hiasan
Saintis Malaysia, Singapura dan Universiti Cambridge bangunkan alat genetik nilai risiko kanser payudara wanita Asia.- Gambar hiasan
Polygenic Risk Score boleh digunakan untuk meramalkan kemungkinan wanita dikesan mendapat kanser payudara. - Gambar hiasan
Polygenic Risk Score boleh digunakan untuk meramalkan kemungkinan wanita dikesan mendapat kanser payudara. - Gambar hiasan

Teknologi genetik boleh kesan kanser payudara

KANSER payudara yang menjadi pembunuh utama wanita di seluruh dunia menjadikan ia penyakit yang memang tidak boleh diambil enteng.

Berdasarkan kajian, kes payudara di negara ini dijangka meningkat sebanyak 49 peratus dari 2012 hingga 2025.

Negara ini juga mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun yang jauh lebih rendah berbanding negara Asia lain pada hanya 63 peratus manakala Korea Selatan (92 peratus) dan Singapura (80 peratus).

Justeru, keperluan untuk membangunkan strategi saringan penilaian risiko menghidap kanser payudara yang sesuai untuk wanita Asia.

Sejajar itu, saintis Malaysia dengan kerjasama Singapura dan Universiti Cambridge berjaya membangunkan alat genetik untuk menilai risiko kanser payudara untuk wanita Asia.

Alat itu dipanggil Skor Risiko Poligenik atau Polygenic Risk Score (PRS), boleh digunakan untuk meramalkan kemungkinan wanita akan mendapat kanser payudara berdasarkan jujukan genetiknya.

Keputusan seterusnya boleh menggalakkan wanita untuk memutuskan cara saringan dan pencegahan yang sesuai untuk mereka dan membantu mengurangkan ketidakcekapan, kos yang tidak perlu, dan juga bahaya yang mungkin disebabkan oleh diagnosis yang berlebihan.

Alat genetik tentukan risiko kanser

Ketua Pegawai Saintifik di Cancer Research Malaysia dan ketua bersama projek,

Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang, berkata pemeriksaan dan pencegahan kanser payudara penting kerana kebanyakan wanita Asia mempunyai risiko rendah untuk menghidap kanser payudara dan hanya sebahagian kecil yang mewarisi faktor genetik yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit itu.

"Kami kini membangunkan alat genetik untuk menentukan risiko kanser payudara wanita dengan tepat supaya orang Asia mencapai ekuiti yang lebih besar dalam akses kepada teknologi, dan membuka jalan untuk mengurangkan jurang dalam kelangsungan hidup pesakit kanser di kalangan orang Asia berbanding dengan orang Eropah," katanya.

Kerjasama kajian itu diterbitkan dalam jurnal sains Genetics in Medicine yang berprestij adalah hasil kerjasama antara Cancer Research Malaysia dengan pelbagai pakar genatik dan beberapa universiti di Asia.

Kajian kanser payudara pertama

Yang penting pembangunan alat yang tepat untuk wanita Asia memerlukan saiz sampel yang besar.

Malangnya, kebanyakan kajian penyelidikan pada wanita Eropah dan alat yang dihasilkan adalah kurang tepat pada wanita Asia.

Justeru, kajian berkenaan mengumpulkan 58,760 wanita dari Malaysia, Singapura, Jepun, Korea, Cina, Hong Kong, Thailand, Taiwan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Dengan memberikan saiz sampel untuk mengenal pasti penanda genetik yang penting untuk populasi Asia.

"Ini adalah kajian kanser payudara pertama yang menggunakan kaedah pembangunan pelbagai keturunan untuk mendapatkan ketepatan dengan menyepadukan data daripada 228,951 wanita Eropah dengan penanda genetik khusus Asia.

"Keputusan yang kami dapat menunjukkan bahawa kaedah ini meningkatkan ketepatan alat dengan ketara," katanya pengarang pertama bersama kajian itu, Prof Madya Dr Ho Weang Kee,

Kajian babitkan wanita Asia

Keputusan genetik tidak sama untuk semua orang Asia, contohnya struktur genetik wanita Melayu, Cina dan India sangat berbeza antara satu sama lain.

Dengan menghimpunkan pesakit dari Universiti Malaya, Pusat Perubatan Subang Jaya, National University Hospital, Singapura dan enam pusat rawatan utama lain di Singapura meningkatkan saiz sampel orang Asia Tenggara dengan ketara.

Ini membolehkan kami menunjukkan alat Asia baharu itu dapat meramalkan risiko kanser payudara merentasi kumpulan etnik Melayu, Cina dan India dari Malaysia dan Singapura.

Sementara itu, menurut pakar National University Health System, Singapura, Prof Madya Mikael Hartman, wanita biasanya disyorkan untuk memulakan saringan pada usia 50 tahun. Bagaimanapun, di kebanyakan negara Asia, ramai wanita yang mungkin berisiko mendapat kanser payudara tidak membuat saringan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dikesan lewat sekali gus kadar risiko kelangsungan hidup mereka lebih rendah.

"Skor Risiko Poligenik Asia adalah langkah penting ke hadapan dan meletakkan asas untuk pemeriksaan mamografi berasaskan risiko di Singapura," katanya.

Selain itu, saringan berasaskan risiko mungkin menjadi amat penting di negara sumber rendah dan sederhana yang tidak mempunyai saringan berasaskan populasi seperti Malaysia.

Tanpa pembiayaan untuk saringan berasaskan populasi mengenal pasti individu yang mempunyai risiko lebih tinggi mungkin strategi penting dalam pengesanan awal.

Berikut jenis kanser payudara

1. Kanser setempat 'Carcinoma in situ'

Istilah merujuk kepada kanser peringkat awal dan masih berada di tempat ia bermula, iaitu terhad di saluran atau kelenjar susu payudara.

2. Kanser saluran 'Ductal carcinoma in situ' (DCIS)

Jenis kanser payudara yang tidak merebak (noninvasive) dan berada di sekitar saluran susu payudara.

3. Kanser lobular (Lobular carcinoma in situ) (LCIS)

Keadaan ini bermula di kelenjar susu dan tidak melepasi dindingnya.

4. Kanser saluran merebak (Invasive (infiltrating) ductal carcinoma) (IDC)

Ia adalah kanser payudara yang paling biasa. Bermula pada saluran susu, melepasi dinding saluran dan merebak ke tisu payudara lain.

5. Kanser lobul merebak (Invasive (infiltrating) lobular carcinoma (ILC)

Kanser ini bermula pada kelenjar susu. Ia boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.

Info:

Gejala kanser payudara

* Ketulan atau bengkak

* Ketulan tidak sakit, keras dan tidak sekata

* Ada ketulan sakit, lembut dan berbentuk bulat

* Bengkak pada sebahagian payudara

* Kulit jadi berkedut seperti kulit limau

* Puting masuk ke dalam

* Sakit Kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara

* Lelehan dari puting (kekuningan atau berdarah)

* Ketulan pada bahagian ketiak

Berita Harian X