Ahad, 16 Januari 2022 | 12:00pm
Kerajaan dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia mengesyorkan suntikan dos penggalak.- Gambar hiasan
Kerajaan dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia mengesyorkan suntikan dos penggalak.- Gambar hiasan
Suntikan dos penggalak bangkitkan semula sistem imuniti badan untuk hasilkan antibodi.- Gambar hiasan
Suntikan dos penggalak bangkitkan semula sistem imuniti badan untuk hasilkan antibodi.- Gambar hiasan

Dos penggalak 'bangkitkan' sistem imuniti

Untuk meningkatkan perlindungan diri dan sistem imun daripada dijangkiti virus COVID-19, lebih baik mengambil suntikan vaksin disusuli dos penggalak.

Namun begitu, tidak dinafikan masih terdapat banyak persoalan menyelubungi isu mengenai keperluan mengambilnya, selain ada golongan antivaksin.

Perunding Penyakit Berjangkit, Prof Dr James Koh berkata, sejak awal tahun lalu, rakyat sudah mengambil suntikan dos vaksinasi utama.

Namun, perjuangan melawan virus ini adalah berterusan dan sejak beberapa bulan lalu

kita sekali lagi dikehendaki mendapatkan suntikan dos penggalak.

Mengapa kita perlu dos penggalak?

"Awalnya dua dos vaksin sudah difikirkan memadai, tetapi penyelidikan diteruskan dan dengan data baharu, mendapati kesan perlindungan atau tahap peneutralan antibodi bagi semua vaksin cenderung menurun mengikut peredaran masa.

"Sebab itu kerajaan dan pihak berkuasa lain di seluruh dunia mengesyorkan suntikan dos penggalak," katanya.

Perkara ini tidak sepatutnya mengejutkan kerana kebanyakan vaksin memang ada dos penggalak.

Misalnya, vaksin Hepatitis B ada tiga dos suntikan, dos kedua dan ketiga adalah dos penggalak.

Suntikan dos penggalak anti-Tetanus pula sepatutnya diberikan sekali dalam tempoh setiap 10 tahun, manakala suntikan vaksin pneumokokal yang memberi perlindungan daripada pneumonia disarankan sekali setiap lima tahun.

"Ia bukan unik kepada vaksin COVID-19 sahaja. Kita mungkin tidak biasa dengan vaksin dos penggalak kerana rakyat Malaysia tidak biasa mendapatkan vaksinasi," katanya.

Kesedaran yang mendesak

Bagi rakyat Malaysia, keperluan dos penggalak menjadi mendesak kerana majoriti populasi terutama mendapat suntikan vaksin Sinovac sebagai vaksinasi utama pada fasa awal.

Statistik tempatan daripada Real-World Evaluation of COVID-19 Vaccines di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (RECoVaM) menunjukkan perlindungan vaksin Sinovac terhadap jangkitan COVID-19 menurun daripada 76 peratus dalam dua bulan pertama selepas vaksinasi lengkap kepada cuma 28 peratus dalam bulan ketiga hingga kelima.

"Pada bulan ketiga, kajian mendapati tahap peneutralan antibodi dalam vaksin Sinovac adalah kurang 50 peratus dan pada bulan keenam, ia hampir tidak dapat dikesan," katanya

Bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca, keberkesanannya mula menurun pada bulan keenam, justeru penting mendapatkan suntikan dos penggalak untuk membangkitkan semula sistem imuniti badan untuk menghasilkan antibodi.

"Suntikan dos penggalak bukan pengakhiran. Ada ada dos penggalak lain dan seterusnya. Kita tidak tahu banyak mana tetapi yang pasti ini bukan yang terakhir," katanya.

Gabung dan padan

Mengulas lanjut, isu keselamatan apabila dua jenis vaksin dicampurkan turut menimbulkan keraguan.

Pada awal November lalu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) memberikan kebenaran menggabung padankan vaksin berbeza sebagai dos penggalak.

Namun, kenyataan Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Sourmya Swaminathan mengatakan masih tiada lagi data bagi kaedah gabung padan vaksin ini, masih lagi berlegar-legar.

Untuk makluman, beliau kemudiannya menjelaskan:

"Individu tidak sepatutnya membuat keputusan sendiri, tetapi agensi kesihatan boleh berdasarkan data sedia ada."

Bukti dari negara yang sudah melancarkan sistem gabung padan vaksin ini menunjukkan hasil baik.

Data Kementerian Kesihatan Chile menunjukkan campuran vaksinasi utama Sinovac dengan dos penggalak Pfizer menghasilkan kadar keberkesanan sebanyak 95 peratus terhadap virus itu. Ini lonjakan besar berbanding tiga dos vaksin Sinovac yang menunjukkan keberkesanan sebanyak 74 peratus.

Perubahan berbangkit

Landskap terus mengalami perubahan dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron.

"Masih banyak perlu diketahui mengenai strain baharu ini. Dapatan awal mencadangkan varian Omicron lima kali ganda lebih mudah menular berbanding virus asal, manakala varian Delta dua kali lebih mudah berjangkit berbanding virus asal.

Ini bermakna, seorang dijangkiti varian Delta boleh menjangkiti dua orang lain, manakala seorang dijangkiti varian Omicron boleh menjangkiti lima (5) orang lain," jelasnya.

"Omicron juga tiga kali lebih tinggi berkebolehan menjangkiti semula. Maknanya, kita boleh dijangkiti berulang kali.

"Data setakat ini, menunjukkan gejala bagi mereka dijangkiti varian ini adalah ringan dalam kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak mengalami gejala lebih berat.

"Ini berkemungkinan disebabkan kanak-kanak di bawah 12 tahun belum divaksinasi," katanya.

Apa yang penting kadar kematian masih belum meningkat walaupun kita belum ada data mencukupi untuk membuat sebarang kesimpulan.

Beberapa berita yang membawa petanda baik adalah kenyataan daripada Pfizer dan BioNTech yang mengatakan tiga dos vaksin Pfizer masih memberikan perlindungan terhadap varian Omicron daripada mendapat sakit yang teruk.

Mahu ambil dos penggalak atau tidak?

"Sekiranya tidak mengambil dos penggalak sekarang, mungkin individu itu masih perlu mendapatkannya pada masa hadapan.

"Mahu mengambil dos penggalak atau tidak buatlah pilihan yang betul," katanya.

Berita Harian X