Isnin, 6 Disember 2021 | 12:26pm
Varian baharu Omicron sebagai varian yang membimbangkan.- Gambar hiasan
Varian baharu Omicron sebagai varian yang membimbangkan.- Gambar hiasan

Kekang virus varian Omicron

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengumumkan varian baharu Omicron sebagai varian yang membimbangkan (VOC).

Kali pertama dilaporkan di Botswana dan Afrika Selatan pada 24 November lalu, varian ini merebak ke pelbagai negara di benua Afrika, Eropah, Asia dan Australia.

'Keistimewaan' varian baharu ini ialah bilangan mutasinya yang luar biasa, iaitu 50 mutasi yang menggabungkan beberapa mutasi VOC sebelumnya (Alpha, Beta, Gamma, dan Delta).

Saintis masih berupaya mengetahui sama ada varian ini lebih mudah berjangkit dan berbahaya.

Tetapi WHO memberi petunjuk awal bahawa varian ini memiliki peluang yang lebih tinggi untuk menjangkiti semula individu yang sembuh daripada COVID-19.

Vaksin lengkap bantu kawal virus

Mengulas lanjut, Pakar Kimia Perubatan Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo, berkata kehadiran varian Omicron memberi tamparan hebat kepada usaha pemulihan ekonomi dunia.

Katanya, pasaran saham terjejas dan pelbagai negara sekali lagi mengenakan sekatan penerbangan, terutama dari negara di benua Afrika.

"Program vaksinasi global bermula setahun lalu dan terdapat banyak jenis vaksin digunakan di pelbagai negara.

"Di Malaysia sahaja, lebih 77 peratus penduduk lengkap divaksin. Tetapi mengapa varian baharu masih muncul dan menyebabkan kegoncangan global?," katanya.

Dr Bimo Ario berkata, pertama ketidakadilan pengagihan vaksin antara negara miskin dan kaya.

Dr Bimo Ario Tejo
Dr Bimo Ario Tejo

Sehingga kini, lebih 60 peratus penduduk negara berpendapatan tinggi diberi vaksin sepenuhnya.

"Tetapi hanya 10 peratus rakyat Afrika divaksin walaupun mereka membayar kos lebih tinggi untuk mendapatkan vaksin," katanya.

Pengarah Pusat Tindak Balas dan Inovasi Epidemik Afrika Selatan, Tulio de Oliveira bersama 300 saintis memberi amaran dalam artikel diterbitkan dalam jurnal Science varian baharu boleh muncul di Afrika jika benua itu tidak dibantu oleh negara kaya dalam pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19.

"Kita tidak perlu terkejut ketika varian Omicron muncul di Botswana dan Afrika Selatan. Peratusan vaksinasi yang rendah menjadi pemangkin kepada kemunculan varian baharu di Afrika.

"Pada masa sama, 500 juta dos vaksin tidak digunakan di negara maju," katanya.

9 vaksin COVID-19

Fakta kedua, katanya mereka mengutamakan penyelidikan dan penemuan vaksin tetapi tidak memberi tumpuan yang sama kepada penemuan ubat.

Pada masa ini, terdapat sembilan jenis vaksin COVID-19 yang mendapat kelulusan penuh, 19 vaksin menerima kelulusan penggunaan kecemasan (EUA), dan lebih daripada 100 vaksin dalam fasa percubaan klinikal.

Tetapi hanya satu ubat antivirus sudah menerima EUA daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), iaitu Veklury (remdesivir). Ubat antivirus Lagevrio (molnupiravir) dan Paxlovid (PF-07321332/ritonavir) masih dalam proses permohonan EUA.

Tiada vaksin 100 peratus berkesan

Beliau menegaskan, tiada vaksin yang 100 peratus berkesan.

Katanya, jangkitan COVID-19 pada individu sudah divaksinasi masih boleh berlaku terutama pada individu dengan kekebalan lemah.

Saintis mengesyaki kemunculan varian Omicron di Afrika bermula daripada individu dengan kekebalan terkompromi yang disebabkan oleh HIV.

"Oleh itu, ubat penawar COVID-19 tetap diperlukan walaupun kita memiliki pelbagai jenis vaksin yang berkesan.

"Berbeza dengan vaksin yang keberkesanannya boleh terjejas oleh varian baharu, keberkesanan ubat antivirus COVID-19 tidak mudah terjejas oleh varian baharu.

"Ubat antivirus secara amnya berfungsi pada protease dan RdRp, dua komponen virus SARS-CoV-2 tidak mengalami mutasi seperti bahagian spike menjadi sasaran vaksin.

"Kita mesti belajar daripada kejayaan mengawal penyakit tibi melalui vaksin dan ubat berkesan, di samping usaha pencegahan melalui langkah kesihatan awam," katanya.

Kaji sumber semua jadi untuk COVID-19

Malaysia sudah menunjukkan komitmen serius terhadap pembangunan vaksin dengan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), baru-baru ini.

Komitmen sama perlu ditunjukkan dalam pembangunan ubat antivirus untuk COVID-19.

Justeru, Malaysia perlu mengambil langkah membangunkan ubat COVID-19 sendiri.

"Malaysia memiliki banyak sumber semula jadi. Ada kemungkinan kita boleh mendapatkan ubat penawar COVID-19 daripada itu.

Sebagai contoh vancomycin, iaitu ubat antibiotik digunakan untuk merawat jangkitan bakteria, diekstrak dari mikrob Amycolatopsis orientalis diperoleh dari hutan Borneo pada 1953.

Kajian ubat penawar COVID-19 berasal daripada sumber semula jadi harus menjadi tumpuan penyelidikan di Malaysia.

"Negara Barat, malah memberi perhatian serius terhadap keberkesanan ubat herba untuk rawatan COVID-19.

Sebagai contoh, FDA baru-baru ini meluluskan kajian klinikal Ubat Herba dan Cendawan Cina Untuk COVID-19 (MACH-19) di Universiti California Los Angeles dan San Diego.

"Dengan pengagihan vaksin lebih adil, penemuan ubat lebih berkesan dan pelaksanaan langkah kesihatan awam berterusan, kita berharap tiada lagi kebimbangan berikutan munculnya varian baharu di masa hadapan mengganggu usaha untuk kembali kepada kehidupan normal," katanya.

Info: Varian baharu COVID-19

  • Varian baharu COVID-19 berasal dari Afrika Selatan sebagai Omicron, pada 9 November lalu
  • Penyakit Berjangkit Afrika Selatan mengesahkan varian baharu mempunyai 32 mutasi.
  • Juga merebak di Belanda, Denmark, Australia dan negara lain
  • Berita Harian X