Isnin, 29 November 2021 | 11:48am
Diari dan penjadualan pemakanan setiap waktu makan adalah disiplin terbaik bantu pesakit diabetes. - Foto hiasan
Diari dan penjadualan pemakanan setiap waktu makan adalah disiplin terbaik bantu pesakit diabetes. - Foto hiasan
Gaya hidup sihat dengan bersenam bantu kurangkan risiko mendapat diabetes lebih serius. - Foto hiasan
Gaya hidup sihat dengan bersenam bantu kurangkan risiko mendapat diabetes lebih serius. - Foto hiasan
Mohd Nazreen bertanggungjawab sebagai pendidik diabetes ketika bersama pesakit.
Mohd Nazreen bertanggungjawab sebagai pendidik diabetes ketika bersama pesakit.

Pendidik diabetes bantu disiplinkan pesakit

DIABETES antara penyakit kronik yang akan memberi kesan kepada banyak organ dalam badan termasuk jantung, buah pinggang, hati dan mata, namun boleh dikawal dengan disiplin ketat pesakit untuk mengubah gaya hidup mereka.

Pendidik Diabetes Hospital Prince Court, Mohd Nazreen Othman, berkata perkara paling utama ialah pesakit menjaga pemakanan harian, meluangkan masa bersenam dan minum banyak air.

Katanya, penjagaan dan kawalan diabetes di peringkat awal tidak rumit, tetapi apa yang sering berlaku ialah 'kesukaran' pesakit mendisiplinkan diri untuk mengubah gaya hidup untuk lebih sihat.

Kebanyakan kes sedemikian membabitkan pesakit yang sukar konsisten menjaga kadar gula selepas lima ke-10 tahun menjadi pesakit diabetes.

Bagaimanapun, sebagai pendidik diabetes, Mohd Nazreen sentiasa menggunakan pendekatan berlembut dan tegas pada masa sama, bagi memastikan pesakit 'kembali' berdisiplin dalam mengawal paras gula mereka.

"Diabetes penyakit yang rumit dan jika tidak dikawal akan mengakibatkan penyakit lain berkaitan jantung, mata dan buah pinggang, malah dalam kes lebih serius menyebabkan pendarahan dalam otak.

"Meskipun diabetes tidak mungkin sembuh sepenuhnya, tetapi pesakit yang serius mengubah gaya hidup mereka boleh mengurangkan kebergantungan terhadap ubatan serta insulin dan menjalani kehidupan normal.

"Malah ada pesakit di bawah jagaan saya yang begitu berdisiplin mengubah gaya hidup, akhirnya dapat berhenti terus daripada mengambil ubatan oral dan insulin," katanya.

Disiplin amal cara hidup sihat

Menurut Mohd Nazreen, pengabaian kepada gaya hidup sihat boleh menjadi punca seseorang derita penyakit itu, justeru pendidik diabetes akan sentiasa mengingatkan pesakit untuk menitikberatkan aspek berkenaan.

Katanya, mendisiplinkan diri melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 45 hingga 60 minit setiap hari bukan saja boleh mengelakkan obesiti malah memudahkan gula dalam darah, keluar melalui sistem perpeluhan.

"Meminum air sehingga tiga liter sehari memastikan badan sentiasa terhidrasi supaya kulit tidak mudah kering dan senang terluka," katanya.

Bagaimanapun, bagi pesakit jantung, pendidik diabetes akan mengatur jadual minum air mengikut keperluan mereka malah ada yang hanya dibenarkan minum antara 800 hingga 1000 mililiter (ml) air sahaja dalam sehari.

Bagi pesakit buah pinggang pula, pemakanan mereka perlu menggabungkan diet diabetes dan diet buah pinggang termasuk mengurangkan pengambilan protein seperti ayam dan daging.

Berpengalaman sebagai pendidik diabetes sejak sembilan tahun lalu, Mohd Nazreen berkata, selain bertanggungjawab mendidik pesakit mengenai penyakit kronik beliau juga akan memantau kadar gula dalam badan pesakit bagi memastikan berada pada paras normal.

Ikuti diari pemakanan

Setiap pesakit akan diberikan diari makanan dan perlu mengisi penjadualan bagi setiap waktu sebelum dan dua jam selepas bersarapan, makan tengah hari, makan malam, sebelum tidur serta tengah malam antara jam 2 hingga 4 pagi.

Bagi pesakit diabetes sangat penting mengukur tahap gula darah menggunakan glukometer serta menyasarkan pada tahap normal iaitu antara tahap 4 hingga 7 mmol/L sebelum makan dan 4 hingga 8 mmol/L (selepas dua jam makan).

Kadar bacaan melebihi paras normal atau hiperglisemia akan memberi kesan kepada organ pesakit manakala kadar gula lebih rendah akan menyebabkan pesakit mengalami hipoglisemia.

"Diari makanan itu akan digunakan pesakit untuk mencatat kadar bacaan gula pada waktu ditetapkan dan menu makanan diambil mereka setiap hari.

"Bagi pesakit bergantung kepada insulin, fokus lebih banyak perlu diberikan kepada mereka, malah kadar pengambilan akan diselaraskan bergantung kepada pemakanan setiap hari," katanya.

Peranan pendidik diabetes

Mungkin peranan sebagai pendidik diabetes, kurang diberi perhatian sebelum ini tetapi menurut Mohd Nazreen, kebanyakan pusat perubatan termasuk hospital kerajaan sudah mempunyai pendidik diabetes sendiri.

Katanya, pendidik diabetes terdiri dalam kalangan jururawat dan akan bekerja rapat dengan doktor bagi merencana program terbaik untuk pesakit berdasarkan ujian darah serta kadar gula melalui diari makanan.

"Pendidik diabetes bertanggungjawab membantu doktor mencari punca masalah pesakit dan penyelesaiannya.

"Kebiasaannya, pesakit akan lebih terbuka dengan pendidik diabetis, jadi kami akan menjadi perantara antara doktor dan pesakit," katanya.

Kebanyakan pesakit di bawah pemantauannya antara berusia antara 35 hingga 60 tahun, bagaimanapun beliau ada pesakit termuda berusia 21 tahun yang menghidap diabetes Jenis 1 sejak usianya 12 tahun.

Katanya, penghidap Diabetes Jenis 1 mempunyai pankreas yang rosak menyebabkan ia tidak dapat menghasilkan insulin dan biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja.

Diabetes Jenis 2 pula berlaku pada kebanyakan penghidap diabetes dewasa yang mempunyai pankreas yang sihat tetapi kemudian tidak dapat menghasilkan 100 peratus insulin berikutan gaya hidup yang diamalkan.

Diabetes Jenis 3 ialah diabetes ketika hamil (GDM) yang bersifat sementara dan berlaku apabila kadar gula meningkat ketika wanita mengandung.

"Bagaimanapun GDM yang tidak dikawal, akan menyebabkan anak mereka berpotensi mendapat diabetes Jenis 1," katanya.

Hentikan amalan kurang sihat

Menurut Mohd Nazreen, pesakit diabetes perlu memberi kerjasama kepada doktor serta pendidik bagi memastikan dapat memperbaiki keadaan diabetes dihidapi.

"Mahu tidak mahu, pesakit perlu mendisiplinkan diri dalam aspek memperbaiki gaya hidup. Jaga makanan, minuman dan konsisten bersenam.

"Mereka yang kerap merokok serta minum minuman keras juga perlu perlahan-lahan menghentikan tabiat itu," katanya.

INFO: Simptom diabetes

  • Kerap membuang air kecil (Polyuria)
  • Sering atau cepat rasa dahaga (Polydipsia)
  • Lapar berlebihan dan banyak makan (Polyphagia)
  • Urin mengandungi paras gula yang tinggi (Glycosuria)
  • Berat badan menurun dengan mendadak
  • Rasa kebas di hujung saraf telapak tangan dan kaki
  • Rabun
  • Luka lambat sembuh
  • Mudah terkena jangkitan kuman terutama pada kulit.
  • Berita Harian X