Ahad, 28 November 2021 | 10:30am
Golongan berusia 60 tahun ke atas kerap mengalami penyakit batu karang hempedu.- Foto hiasan
Golongan berusia 60 tahun ke atas kerap mengalami penyakit batu karang hempedu.- Foto hiasan

Kolesterol punca sakit batu hempedu

MAKANAN berkolesterol tinggi termasuk nasi kandar, nasi lemak dan roti canai menjadi antara punca utama penyakit batu karang hempedu dalam kalangan golongan dewasa di Malaysia.

Kajian mendapati golongan berusia 60 tahun ke atas kerap mengalami penyakit itu.

Bagaimanapun, proses pembentukan batu itu sudah bermula sejak individu berusia 40-an, namun ramai tidak menyedarinya kerana tidak bergejala.

Kira-kira 16 peratus pesakit dalam kalangan wanita dewasa dan lima peratus lelaki dewasa menderita penyakit itu.

Pakar Pembedahan Am dan Hepatobiliari UiTM Private Specialist Centre (UPSC) Prof Madya Dr Ahmad Ramzi, berkata penyakit batu karang hempedu lazimnya berlaku akibat proses ketepuan kolesterol.

Katanya, kolesterol tepu menyebabkan pembentukan kristal kolesterol dan mengambil masa bertahun untuk terbentuk sebagai batu.

"Batu terbentuk apabila berlaku ketidakseimbangan komponen dalam hempedu yang terdiri daripada kolesterol, garam hempedu dan phospholipid.

"Jika antara tiga komponen itu tidak seimbang akan menyebabkan kolesterol menjadi tepu dan membentuk batu di dalam pundi hempedu," katanya.

Simptom batu hempedu

Pundi hempedu mengecut dan cuba mengeluarkan batu dari pundi boleh menyebabkan salur pundi hempedu tersumbat.

"Apabila tersumbat mengakibatkan kesakitan kerana berlaku pengumpulan hempedu di pundinya, pengecutan otot licin dan rangsangan gentian saraf pada dinding pundi hempedu.

"Pundi hempedu akan mengecut setiap kali proses makan berlaku terutama membabitkan makanan berlemak. Lemak itu pula akan menyebabkan tindak balas hormon Cholecystokinin.

"Apabila makanan berada dalam perut dan usus, hormon ini akan terangsang dan menyebabkan tindak balas pada pundi hempedu dan mengakibatkan pundi hempedu mengecut.

"Proses ini berlaku kerana fungsi hempedu untuk membantu mencernakan lemak dan dalam keadaan biasa, hempedu akan disimpan di dalam pundi hempedu kerana pundi tempat simpanan hempedu," katanya.

Punca batu hempedu

Beliau berkata, banyak makan berlemak menyebabkan pundi hempedu menjadi semakin aktif dan berlaku pengecutan dan mengakibatkan batu hempedu cuba keluar daripada pundi.

Katanya, makanan berlemak adalah pencetus yang boleh menyebabkan berlaku simptom penyakit batu karang hempedu.

"Apabila makanan berlemak dan seterusnya kolesterol berlebihan itu tidak boleh diproses oleh hati, ia akan menyebabkan mendapan kolesterol tepu seterusnya menjadi batu," katanya.

Dr Ahmad Ramzi berkata, jika batu itu menyebabkan salur pundi hempedu tersumbat, individu akan mengalami kesakitan teruk, selain menggalakkan bakteria hingga menyebabkan radang dan nanah dalam pundi.

Dr Ahmad Ramzi Yusoff.
Dr Ahmad Ramzi Yusoff.

Sakit selepas makan bermula daripada bahagian ulu hati di bawah dada dan berpindah ke rusuk kanan, kadang kala menjalar ke bahagian belakang badan.

"Ada kes batu terjatuh ke dalam saluran hempedu utama selepas melepasi salur pundi hempedu dan batu akan tersumbat di saluran itu sebelum masuk ke dalam usus dan keluar menerusi najis.

"Jika berlaku individu akan sakit kerana proses batu itu keluar secara perlahan dan mungkin mengakibatkan jaundis," katanya.

Jika individu itu merasa sakit secara tiba-tiba di ulu hati dan rusuk sebelah kanan secara berterusan selama 30 minit sebaik makan, diikuti muntah dan loya, ia adalah antara simptom penyakit batu karang hempedu.

Lakukan pemeriksaan lanjut

Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan termasuk ujian sinar-x untuk pengesahan diikuti ujian darah untuk melihat fungsi hati, selain ultrasound bagi melihat batu di dalam pundi hempedu.

"Apabila disahkan simptomatik, individu perlu dapatkan rawatan segera untuk diberi memberikan ubat penahan sakit dan antibiotik jika demam.

"Jika sudah hilang sakit selepas makan ubat, ia masih mempunyai risiko sehingga 50 peratus untuk sakit semula bila-bila masa.

"Justeru, perlu berjaga-jaga elak sakit berulang dan mungkin menjadi lebih teruk," katanya.

Pembedahan laparoskopi

Jika sakit semula, mereka terus menjalani segera pembedahan membuang pundi hempedu dalam tempoh 72 jam atau ketika masih sakit walaupun selepas diberi ubat penahan sakit.

Pembedahan laparoskopi akan dibuat bagi membuang pundi hempedu dan batu di dalam pundi itu.

"Antara kesan dialami selepas pundi hempedu dibuang termasuk hempedu menjadi lambat memproses lemak berbanding ketika ada.

"Jadi sistem pencernaan lemak menjadi semakin menurun, selain menyebabkan lemak berada lebih lama di dalam usus.

"Keadaan ini menyebabkan badan berangin atau sebu, selain najis bertukar warna dan berminyak kerana lemak tidak dicerna bersama najis," katanya.

Selesai pembedahan mereka perlu amalkan pemakanan sihat dan kurangkan makanan kolesterol tinggi.

Pesakit juga berisiko sakit semula jika tidak menjaga pemakanan.

"Jika sebelum ini batu wujud di pundi hempedu, namun selepas pundi dibuang, batu masih boleh terbentuk di saluran hempedu utama dan menyebabkan sakit semula.

"Batu di saluran hempedu utama perlu dikeluarkan dengan kaedah Endoscopic RetrogradeCholangiopancreatography (ERCP) bagi

membersihkan batu dan mengeluarkan atau menjatuhkan ke dalam usus supaya keluar menerusi najis," katanya.

Batu tersumbat di saluran hempedu utama boleh menyebabkan demam kuning dan tekanan darah menjadi rendah.

Penyakit itu juga boleh menyebabkan kanser pundi hempedu walaupun risiko kira-kira dua hingga empat kali ganda berbanding individu normal.

Wanita berisiko tiga kali ganda

Katanya, kanser pundi hempedu boleh berlaku bukan disebabkan batu hempedu tetapi kerana keradangan yang disebabkan oleh kewujudan batu itu sejak bertahun-tahun lamanya.

"Ia menyebabkan dinding mukosa pundi berlaku perubahan atau tidak lagi normal seterusnya berubah menjadi kanser," katanya.

Kebanyakan kes kanser dikesan pada tahap tiga atau empat dan tiada rawatan pembedahan boleh dibuat.

"Bagi kes ini, saluran hempedu yang baru perlu dibuat berhampiran kawasan hati dengan menyambungkan saluran hepatik ke usus kecil pesakit.

"Tahap kesihatan pesakit merosot teruk, malah prognosis atau tempoh jangka hayat dalam tempoh enam bulan sahaja kerana kanser sudah merebak," katanya.

Kira-kira 20 peratus berlaku disebabkan faktor genetik, dengan wanita lebih berisiko tiga kali ganda mendapat penyakit batu karang hempedu disebabkan hormon estrogen.

"Malah wanita mengandung lebih berisiko kerana ketika hamil, hempedu menjadi kurang aktif dan kurang mengecut menyebabkan hempedu yang berada dalam pundi mudah mendap," katanya.

INFO: Simptom penyakit batu karang hempedu

  • Pedih ulu hati, sakit rusuk belah kanan, loya, muntah, berpeluh-peluh dan demam.
  • Tempoh pembedahan laparoskopi – 1 jam - 1 jam 30 minit.
  • 10 - 15 peratus populasi dewasa hidap penyakit batu karang hempedu.
  • Berita Harian X