Isnin, 12 Julai 2021 | 10:27am
Pelbagai kaedah pembedahan untuk pesakit jantung untuk selamatkan nyawa pesakit.- Foto hiasan
Pelbagai kaedah pembedahan untuk pesakit jantung untuk selamatkan nyawa pesakit.- Foto hiasan

Pelbagai teknik pembedahan jantung

MENGIKUT laporan penyakit jantung iskemik antara penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat di negara ini.

Statistik tahun lalu, merekodkan sebanyak 16,325 atau 15 peratus, daripada jumlah kematian itu adalah disebabkan penyakit terbabit.

Penyakit jantung iskemik juga dikenali sebagai penyakit jantung koronari kerana ia berlaku disebabkan kekurangan bekalan darah kepada otot jantung akibat penyumbatan pada saluran arteri koronari di jantung.

Pakar Bedah Kardiotorasik, UiTM Private Specialist Center (UPSC), Dr Adli Azam Mohammad Razi, berkata antara salah satu rawatan penyakit itu adalah menerusi pembedahan pintasan pembuluh darah koronari.

Katanya, selain itu terdapat juga beberapa prosedur lain bagi merawat penyakit jantung iskemik, iaitu angioplasty dan stenting.

Prosedur ini mempunyai prinsip berbeza untuk merawat penyakit ini, iaitu dengan membuka laluan darah di arteri koronari yang sempit atau tersumbat.

Berbanding pembedahan pintasan menyediakan laluan pintasan baru tanpa membuka penyempitan arteri koronari, kaedah ini terbukti dapat memberi manfaat lebih lama kerana penyempitan arteri koronari, sedia ada akan terus bertambah dan akhirnya tertutup.

Namun, katanya aliran darah masih ke tisu jantung dapat dikekalkan dengan adanya laluan pintasan yang baru ini.

Siapa memerlukan pembedahan

Beliau berkata, sistem arteri koronari jantung terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kanan dan kiri.

Amalan gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan jantung pada tahap terbaik.- Foto hiasan
Amalan gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan jantung pada tahap terbaik.- Foto hiasan

Sistem arteri koronari di bahagian kiri jantung terbahagi kepada dua cabang besar (circumflex artery, left anterior descending artery) menjadikan jumlah tiga arteri utama keseluruhannya terbabit dalam pengaliran darah ke tisu jantung.

Pembedahan pintasan pembuluh darah koronari adalah pilihan rawatan kepada pesakit yang mempunyai:

* Penyempitan membabitkan dua atau lebih salur darah utama koronari.

* Pembabitan pangkal pembuluh darah koronari utama (kiri) yang tersumbat atau sangat sempit.

* Prosedur lain tidak sesuai atau pernah dilakukan tetapi gagal.

* Pembuluh darah tersumbat semula selepas prosedur angioplasty atau stenting.

Pembedahan itu juga adalah pilihan baik berbanding rawatan lain terutama bagi pesakit yang mempunyai:

1. Fungsi jantung kiri yang terjejas

2. Pesakit kencing manis.

Namun, melakukan penilaian secara menyeluruh terhadap pesakit sebelum pembedahan adalah amat penting bagi memastikan prosedur dijalankan pilihan yang terbaik untuk mereka.

Prosedur pembedahan

Pembedahan membabitkan bius umum dalam keadaan pesakit tidak sedarkan diri. Prosedur ini menggunakan salur darah sihat diambil dan memerlukan pembedahan daripada bahagian badan lain, seperti vena sefanus kaki, arteri mamari dalaman sternum dan arteri radial tangan.

"Bagi menjalankan prosedur pembedahan jantung, dada akan dibuka dengan memotong tulang rusuk hadapan.

Degupan jantung pesakit akan dihentikan bagi memudahkan proses pembedahan, sementara fungsi jantung diambil alih oleh sebuah mesin khas yang akan mengepam darah ke seluruh badan.

Teknik lain

Beliau berkata, terdapat juga teknik pembedahan dilakukan ke atas jantung yang masih bergerak dan tidak dihentikan dengan menggunakan alatan khas dan teknik berbeza bagi menstabilkan jantung itu supaya pembedahan boleh dijalankan dengan selamat.

Walaupun teknik ini memerlukan kepakaran berbeza, ia mempunyai kelebihan tersendiri terutama kepada pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang dan mempunyai risiko angin ahmar.

Dr Adli Azam Mohammad Razi.
Dr Adli Azam Mohammad Razi.

Selepas dada dibuka, pembuluh darah sihat diambil terlebih dahulu disambungkan untuk memintas bahagian arteri koronari yang tersumbat.

Masa pembedahan diambil antara tiga hingga enam jam. Selepas pembedahan, pesakit akan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan, sebelum dipindahkan ke wad selepas dipastikan stabil.

Pesakit akan menjalani proses rehabilitasi termasuk fisioterapi sebagai persediaan sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Amalan gaya hidup sihat

Kini pembedahan ini boleh dilakukan tanpa memerlukan tulang sternum dipotong (sternotomy).

Teknik ini yang dipanggil sebagai pembedahan invasif minimal hanya membabitkan insisi yang lebih kecil di antara tulang rusuk.

Pembedahan untuk mengambil pembuluh darah bagi tujuan pintasan iaitu vena sefanus dan arteri radial juga boleh dilakukan dengan insisi kecil dengan bantuan alatan dipanggil endoskopik.

Teknik ini memerlukan alatan tambahan termasuk kamera dan instrumen berbeza. Kedua-dua teknik yang berbeza berbanding pembedahan konvesional memberi kelebihan bagi luka pembedahan untuk sembuh lebih awal seterusnya mengurangkan sakit selepas pembedahan.

Selain memberi kelebihan dari segi kosmetik, ia juga dapat mengurangkan jangka masa pesakit dirawat di hospital selepas pembedahan dan sembuh sepenuhnya.

Pembedahan ini tidak merawat punca arteri yang tersumbat, malah proses penyumbatan masih boleh terus berlaku.

"Ia prosedur untuk menyelamatkan sel-sel jantung daripada mati akibat kekurangan oksigen dengan menyediakan laluan alternatif kepada darah untuk sampai ke sel-sel jantung terbabit.

"Pesakit masih perlu menjalani gaya hidup sihat untuk mengawal faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan lain lain serta mengambil ubat-ubatan dinasihatkan doktor yang merawat.

"Kegagalan mengawal risiko, boleh menyebabkan graf pintasan tersumbat lebih awal sekali gus boleh mengancam nyawa pesakit," katanya.

Info: Risiko sakit jantung
* Merokok
* Paras kolesterol yang tinggi
* Tekanan darah tinggi
* Diabetes
* Peningkatan umur

Berita Harian X