Ahad, 4 Julai 2021 | 10:53am
Secara biologi remaja bawah umur belum bersedia menjalani proses kehamilan secara sihat.- Foto hiasan
Secara biologi remaja bawah umur belum bersedia menjalani proses kehamilan secara sihat.- Foto hiasan

Implikasi hamil usia muda

Kehamilan pada usia belasan tahun tidak dapat dielakkan sama ada mungkin disebabkan terbabit dalam masalah sosial, penderaan seksual, dirogol atau perkahwinan bawah umur, semuanya tetap memberikan risiko terhadap kesihatan reproduktif mereka.

Justeru, isu ini perlu diberi perhatian serius memandangkan pada usia berkenaan secara biologi mereka belum bersedia menjalani proses kehamilan secara sihat.

Laporan juga menunjukkan, wanita hamil pada usia terlalu muda berisiko dua kali ganda berlaku kematian dan bayi dilahirkan cacat, selain bahayakan kesihatan ibu sepanjang tempoh kehamilan.

Remaja pada awal usia ini juga masih tidak matang berbanding kehamilan dalam kalangan wanita dewasa.

Tidak hairan kehamilan pada usia kanak-kanak akan menyebabkan cenderung mereka mengalami kecelaruan emosi, tekanan mental, trauma, anemia, kekurangan zat, kelahiran pramatang serta risiko kehilangan nyawa berikutan faktor kesihatan.

Pakar Perunding Obsterik dan Ginekologi, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra, Dr Haliza Kamarudin, berkata kalangan remaja awal usia yang tidak merujuk kehamilan di klinik kesihatan seperti kelaziman atau bersalin sendirian, cukup membimbangkan.

Katanya, lebih parah jika remaja awal usia ini yang melakukan hubungan seks haram dan secara tidak sedar mereka mengandung berikutan tiada ciri fizikal sedang berbadan dua.

"Pengalaman remaja muda hamil umpamanya, pada usia 14 tahun dan bukan disebabkan kes rogol, tetapi mengalami keadaan hamil yang mereka sendiri ada kecelaruan mental, emosi, kesihatan serta subur berikutan kedatangan haid sangat awal.

"Dalam usia masih mentah ada banyak yang tidak tahu sehingga boleh menjejaskan mental, emosi, kesihatan, selain cenderung terbawa-bawa emosi takut, stigma, takut doktor, jururawat kerana hamil tanpa bapa.

"Disebabkan takut dipandang serong membuatkan mereka cenderung bersalin sendirian tanpa memberitahu sesiapa, mendorong kes buang bayi, meninggal ketika bersalin atau risiko lain," katanya.

Kelahiran pra-matang

Beliau berkata, individu yang hamil awal usia juga mengundang banyak risiko seperti kekurangan nutrisi, kurang darah, tidak cukup vitamin serta kekurangan vitamin D yang sangat diperlukan ketika usia kandungan lima dan enam bulan.

Bayi boleh mengalami dua kali risiko lebih kelahiran. - Foto hiasan
Bayi boleh mengalami dua kali risiko lebih kelahiran. - Foto hiasan

"Ini menyebabkan kebanyakan ibu muda mengalami dua kali risiko lebih kelahiran pra-matang, 'jalan' tidak terbuka ketika sampai waktu bersalin, tulang pinggul masih kecil serta kesakitan melahirkan boleh mendatangkan trauma pada ibu," katanya.

Jelasnya, ada kanak-kanak yang mula datang haid pada usia sembilan atau 10 tahun, hingga menampak tubuh seperti orang dewasa apabila mencecah usia 13 atau 14 tahun, sekali gus menandakan sistem reproduktif sudah subur dan boleh hamil.

Dalam keadaan itu, sangat penting mereka tidak trauma selepas bersalin, selain ibu bapa atau penjaganya perlu memberikan sokongan yang utuh dan pemantauan daripada pakar perubatan.

Jika dibiarkan mereka cenderung mengalami kemurungan, gangguan Skizofrenia, masalah ketika berpantang, takut dan dihantui pelbagai perasaan.

Remaja awal usia juga cenderung mengalami depresi yang mana ibu bapanya perlu segera merujuk anak mendapatkan kaunseling.

"Secara biologi emosi kanak-kanak belum bersedia hamil serta mempunyai zuriat, selain sering kurang selera makan, tidak mahu kepada bayi dan banyak lagi," katanya.

Kebiasaannya remaja awal usia ini akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu ibu, bayi dan keluarga akan dinilai untuk tindakan selanjutnya.

"Kebanyakan hospital mempunyai unit kaunseling, bilik penyusuan ibu dan unit sokongan lain.

"Ini kerana kebanyakan kanak-kanak tidak akan ke sekolah sehingga mereka bersalin atau keluarga menempatkan anaknya itu di rumah perlindungan untuk sementara waktu," katanya.

Pelbagai faktor kelahiran bawah umur

Dr Haliza berkata, apabila berlaku kelahiran pada usia awal remaja ini, keadaan mereka tidak terurus termasuk mungkin disisihkan, bayi tidak dijaga oleh keluarga sendiri dan cenderung kepada risiko membuang atau membunuh bayi.

Ini berikutan ibu muda tiada sokongan, tidak dihiraukan dari segi sokongan emosi dan penjagaan lepas bersalin.

Masalah kebanyakan hamil muda terdiri daripada mereka yang tidak berkahwin, terjebak dengan masalah sosial, kurang perhatian dan tinggal di kediaman ramai ahli keluarga dan berkeluasan sempit, belenggu dadah serta pergaulan bebas di luar.

"Kita tidak menolak kemungkinan berlaku perkahwinan bawah umur disebabkan faktor kemiskinan; kekurangan atau ketiadaan akses kepada Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan kekurangan akses kepada pendidikan.

"Ini juga dikatakan berpunca daripada kelonggaran undang-undang yang memperuntukkan permohonan berkahwin di bawah 18 tahun.

"Stigma masyarakat perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah dan kekurangan penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur," katanya.

Info

Kesan perkahwinan bawah umur

* Perkahwinan kanak-kanak didefinisikan sebagai perkahwinan formal atau tidak sebelum usia 18 tahun.

* Di peringkat global, lebih 650 juta wanita yang hidup hari ini berkahwin sewaktu usia kanak-kanak.

Risiko kehamilan awal

* Perkahwinan kanak-kanak bererti aktiviti seksual bermula awal dan dalam kebanyakan kes, kehamilan awal.

* Di Chad, Guinea, Mali dan Niger, perkahwinan kanak-kanak lazim berlaku.

* Separuh kanak-kanak perempuan yang berkahwin melahirkan anak sebelum ulang tahun ke-18 mereka.

* Gadis bawah 15 tahun 5 kali lebih berkemungkinan mati ketika bersalin berbanding wanita berusia 20-an

* Kehamilan punca utama kematian kepada perempuan berusia 15 hingga 19 tahun di seluruh dunia.

Berita Harian X