Selasa, 25 Mei 2021 | 11:00am
Penularan COVID-19 juga menyebabkan isu kesihatan mental semakin meningkat. - Foto hiasan
Penularan COVID-19 juga menyebabkan isu kesihatan mental semakin meningkat. - Foto hiasan

Stigma halangan utama isu kesihatan mental

PUTRAJAYA: Pandemik COVID-19 sudah lebih setahun melanda negara ini, turut membuka pelbagai kemungkinan termasuk isu kesihatan mental yang selama ini membawa stigma atau tabu untuk dibincangkan dalam masyarakat.

Malah, individu berdepan isu kesihatan mental sering dianggap mengada-ngada dan lemah apabila mereka menyuarakan keadaan kesihatan masing-masing.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Mental, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Nurashikin Ibrahim, berkata ekoran stigma ia menjadi penghalang utama untuk individu yang berdepan masalah kesihatan mental mendapatkan bantuan.

Katanya, ia berikutan individu berkenaan tidak mahu berasa diketepikan atau masalah dihadapinya diperlekehkan dengan diberikan pelbagai gelaran termasuk tidak cukup kuat iman atau seorang yang lemah.

"Jika kita lebih cakna, isu kesihatan mental ini berlaku apabila seseorang dilanda gangguan perasaan yang menyebabkan fungsi optimanya boleh terganggu.

"Kita kena tahu apa faktor di belakangnya yang menyebabkan seseorang berisiko menghadapi masalah kesihatan mental.

Antaranya, yang orang sering terlepas pandang ialah faktor biologi sendiri apabila berlaku ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak, neurotransmisi kita, yang boleh menyebabkan seseorang mengalami sakit mental.

"Kadang-kadang apabila seseorang contohnya remaja, mahu mendapatkan bantuan, dia dikatakan mengada-ngada atau perkara itu (kecil) pun tidak boleh diatasi," katanya.

Dr Nurashikin Ibrahim.
Dr Nurashikin Ibrahim.

Dr Nurashikin berkata, ada kalanya pihak di sekeliling individu yang menghadapi masalah kesihatan mental turut mempersoalkan tidak mungkin pesakit boleh berdepan masalah sedemikian kerana datang daripada keluarga yang bagus.

Beliau berkata, ekoran stigma sedemikian menyebabkan individu yang berdepan masalah kesihatan mental memilih untuk mendiamkan diri.

Beliau bersetuju pandemik COVID-19 mungkin menjadi pencetus kepada lebih ramai untuk meluahkan masalah mental yang dihadapi manakala mereka yang berada di sekeliling juga lebih menyedari perubahan yang dialami individu terbabit.

Perubahan dilalui masyarakat sejak Mac tahun lalu apabila kerajaan memperkenalkan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membataskan mereka, selain lebih ramai berdepan pelbagai isu sosial di dalam sesebuah keluarga.

Penularan COVID-19 itu juga mungkin menyebabkan lebih ramai menyedari isu kesihatan mental.

"Kita berharap kempen KKM 'Let's Talk Minda Sihat' dapat membuka jalan individu yang berdepan masalah mendapatkan bantuan.

"Kita nak dapatkan bantuan bukan hanya dengan bercakap pada orang dipercayai, sebaliknya juga bantuan profesional seperti pakar kaunseling, klinikal psikologi dan psikiatri.

"Jangan takut berjumpa pakar termasuk pakar psikiatri. Saya rasa sekarang ini ia tidak menjadi isu," katanya.

Selain berdepan masalah kesihatan mental, semua pihak perlu mempelajari bagaimana menangani tekanan kehidupan seharian.

Biarpun berdepan masalah kesihatan mental ia tidak bermakna mereka dinafikan hak mempelajari cara untuk menangani tekanan.

Melihat kepada pengalaman setahun negara berdepan COVID-19, Dr Nurashikin berkata, ia memperlihatkan kebanyakan masyarakat terpaksa mengharungi kesan emosi yang timbul ekoran wabak berkenaan.

Beliau berkata, penularan COVID-19 memberi kesan kepada keupayaan setiap rakyat di negara ini mengenali potensi diri, berdepan dengan tekanan kehidupan dan bekerja secara produktif.

Bergantung kepada fasa PKP, perlu ada penyesuaian terhadap persekitaran serta situasi termasuk apabila ada ahli keluarga terpaksa bekerja dari rumah atau mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Dr Nurashikin berkata, ketika pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB), ramai mengalami kesan emosi, tertekan dan risau kerana terpaksa sentiasa berada di rumah.

"Ada yang memasuki fasa awal kemurungan berikutan terpaksa duduk di rumah begitu lama dan yang menunjukkan tingkah laku bunuh diri atau merasakan hidup tidak lagi bermakna.

"Mungkin mereka rasa tidak mahu lagi hidup. Ini yang dikesan melalui panggilan telefon kepada talian perkhidmatan bantuan psikososial ditawarkan KKM serta kerjasama MERCY Malaysia dan agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta kerjasama dengan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang juga melaksanakan perkhidmatan psikososial," katanya.

KKM menerima lebih 44,000 panggilan sepanjang 2020 membabitkan isu kesihatan mental. Isu berkaitan kesihatan mental ini memang ada dan KKM perlu lebih peka ekoran permasalahan sosial dihadapi masyarakat.

Berita Harian X