X
Ahad, 25 April 2021 | 11:30am
Memanaskan hidangan berulang kali memudahkan bakteria membiak di dalam makanan. - Foto hiasan
Memanaskan hidangan berulang kali memudahkan bakteria membiak di dalam makanan. - Foto hiasan

Risiko masakan dipanaskan berulang kali

PELBAGAI makanan terutama lauk-pauk yang berlebihan lazimnya disimpan untuk dipanaskan semula sebelum dimakan sudah menjadi amalan dalam kalangan masyarakat.

Ditambah pula sepanjang Ramadan, ramai yang menyimpan makanan selepas membeli juadah di bazar, selain yang memasak sendiri untuk bersahur.

Begitu juga setiap kali perayaan pasti ramai individu yang memasak pelbagai makanan dalam kuantiti yang banyak supaya boleh dimakan berulang kali.

Rasanya pasti ramai yang pernah ada pengalaman perut meragam, cirit-birit atau paling teruk mengalami muntah akibat memakan makanan yang berulang kali dipanaskan tanpa mengetahui tahap keselamatan makanan berkenaan.

Jadi berapa kali sepatutnya makanan termasuk jenis sejuk beku boleh dipanaskan semula?

Apakah langkah dan penyediaan perlu diketahui bagi memastikan makanan yang dimakan itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?

Trend sedia makanan sejuk beku

Pensyarah Kanan, Pemakanan, Jabatan Penjagaan Kesihatan Profesional , Fakulti Sains Hayat dan Kesihatan MSU, Dr Sharifah Intan Zainun Sharif Ishak, berkata makanan dipanaskan boleh menjadi antara sihat atau tidak sihat bergantung kepada cara penyediaan, kaedah penyimpanan dan pemanasan semula.

Seelok-eloknya makanan yang disimpan di dalam peti sejuk hanya dipanaskan sekali untuk mengelak dijangkiti pelbagai penyakit. - Foto hiasan
Seelok-eloknya makanan yang disimpan di dalam peti sejuk hanya dipanaskan sekali untuk mengelak dijangkiti pelbagai penyakit. - Foto hiasan

Beliau menjelaskan dalam menjaga soal keselamatan, makanan yang sudah dimasak seelok-eloknya dipanaskan sekali sahaja dan dihabiskan tanpa perlu disimpan lagi.

"Sekarang ini kita lihat macam sudah menjadi trend, makanan sejuk beku semakin banyak dijual di pasaran.

"Malah ada ibu bapa yang sibuk bekerja, jadi hendak jimat masa dan elak pembaziran mereka suka masak banyak-banyak dan simpan dalam peti ais dan bila hendak makan akan dipanaskan," katanya.

Hanya sekali panaskan makanan

Sebaiknya makanan itu patut dipanaskan sekali sahaja selepas disimpan daripada peti sejuk tidak kira sama ada makanan sejuk beku atau disediakan sendiri.

"Jika masak dalam kadar yang banyak dan merancang untuk makan makanan sama beberapa kali, makanan itu lebih baik diasingkan dalam beberapa bekas dan dilabelkan tarikh penyimpanan sebagai rujukan bila makanan mula disimpan.

"Bila hendak makan baru dipanaskan mengikut keperluan, bekas yang selebihnya boleh terus disimpan dalam peti sejuk di bahagian sejuk beku dan boleh dimakan kemudian," katanya.

Ketika mahu memanaskan makanan, individu juga perlu mengetahui suhu yang bersesuaian bagi mengelak pembiakan bakteria yang boleh menghasilkan toksin beracun.

Bakteria mudah membiak

Dr Sharifah Intan berkata, suhu terbaik bagi makanan yang hendak dipanaskan semula pada suhu 60 darjah Celsius ke atas.

"Maksudnya kalau suhu antara lima hingga 60 darjah Celsius adalah suhu dalam zon bahaya yang mana bakteria mudah membiak," katanya.

Perkara perlu dititikberatkan ialah cara penyimpanan makanan dalam peti sejuk.

"Kalau nak simpan makanan dalam peti sejuk, kena simpan di bawah empat darjah Celsius bagi mengelak bakteria membiak. Cara penyimpanan juga perlu betul dengan menggunakan bekas bertutup.

"Dari segi cara penyimpanan, peti ais ada bahagian atas untuk sejuk beku dan bahagian bawah bersuhu dingin, kalau letak bahagian penyimpanan bawah, makanan elok disimpan antara tiga hingga empat hari sahaja berbanding tiga hingga empat bulan sekiranya disimpan di ruang sejuk beku.

"Namun kalau dalam dua hari makanan itu sudah berubah bau, warna dan rasa, elok makanan itu tidak dimakan," katanya.

Dr Sharifah Intan Zainun Sharif Ishak.
Dr Sharifah Intan Zainun Sharif Ishak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, memanaskan makanan dalam suhu yang bersesuaian selain penyediaan makanan yang bersih mampu mengelakkan potensi keracunan makanan.

Zat makanan berkurangan

Beliau berkata, zat yang selalunya berkurangan semasa proses memasak ialah vitamin (jenis larut air dan larut lemak) dan mineral.

Kehilangan zat dalam makanan bergantung kepada jenis zat dan kaedah memasak. Contohnya, vitamin C dalam sayuran seperti brokoli dan bayam boleh berkurangan sehingga sembilan hingga 15 peratus jika dimasak dengan kaedah stim.

Katanya, jika menggunakan kaedah lain seperti menumis kehilangan zat akan lebih tinggi.

Selain itu, jika daging dipanggang dengan suhu yang tinggi dalam jangka masa panjang kandungan vitamin B dalam daging boleh berkurangan sehingga 40 peratus.

Oleh itu, jika dipanaskan berkali-kali, kehilangan zat akan lebih banyak.

Beliau berkata, pengambilan makanan yang mengandungi kurang zat ini boleh menyebabkan masalah kekurangan vitamin dan mineral atau malnutrisi kepada individu.

"Ini kita boleh kaitkan dengan 'hidden hunger'. Kita makan dan kita kenyang, tetapi sebenarnya kita tak dapat cukup zat daripada makanan.

"Seterusnya, mudah untuk seseorang mendapat penyakit disebabkan kekurangan zat seperti mudah mendapat jangkitan disebabkan imun badan yang rendah. Sistem imun badan yang rendah juga dikaitkan dengan kekurangan vitamin C.

"Lebih parah lagi individu berisiko makan makanan tercemar sehingga menyebabkan loya, muntah, demam, dehidrat dan mendapat hepatitis A," katanya.

Berita Harian X