Ahad, 11 April 2021 | 10:30am
Penghidap vertigo perlu dapatkan rawatan segera bagi mengelak keadaan bertambah serius. - Foto hiasan
Penghidap vertigo perlu dapatkan rawatan segera bagi mengelak keadaan bertambah serius. - Foto hiasan

Pening, seakan kepala berpusing jangan pandang remeh

ENGGAN ke tempat tumpuan ramai, tidak mahu bersosial, takut memandu, malah dalam sesetengah kes, semua kerunsingan itu menyebabkan produktiviti seseorang terganggu dan terjejas dengan teruk.

Itulah antara simptom dilalui individu yang menghidap vertigo. Jika keadaan serius boleh menghalang seseorang menjalani kehidupan normal terutama yang lewat mendapatkan rawatan.

Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar MSU Medical Centre, Dr Nor Azmi Mohamad, berkata rawatan awal boleh menentukan puncanya.

Lazim membabitkan daripada telinga atau bahagian serebelum pada otak yang berfungsi mengawal keseimbangan anggota badan.

Vertigo yang serius katanya, boleh memberi kesan psikologi dan jika tidak dirawat segera, mereka enggan bergerak kerana sering seolah-olah berpusing, pening dan sebagainya.

Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar MSU Medical Centre, Dr Nor Azmi Mohamad.
Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pakar MSU Medical Centre, Dr Nor Azmi Mohamad.

"Lebih merisaukan, ada antara pesakit tidak mahu keluar rumah, memandu kereta dan mendatangkan ketakutan mereka.

"Tanpa rawatan, organ dalam telinga atau sistem vestibular yang berperanan sebagai sensor untuk pergerakan mungkin rosak dan tidak lagi mengenal pergerakan normal menyebabkan ia menghantar maklumat bercanggah kepada otak," katanya.

Bagaimanapun rawatan awal seperti fisioterapi, boleh mengembalikan fungsi asal organ rosak sekali gus mengelakkan penghantaran maklumat yang salah kepada otak.

Organ vestibular 'tidur'

Dr Nor Azmi berkata, pengambilan ubat untuk vertigo dalam jangka masa lama boleh menyebabkan organ vestibular ini "tidur" dan tidak berfungsi sepenuhnya serta menyebabkan penghidap mengalami gangguan keseimbangan berpanjangan.

"Jadi elok dapatkan nasihat doktor dan bukan hanya membeli ubat tanpa preskripsi bagi merawat masalah itu," katanya.

Ada kes individu pening diiringi telinga berdengung sehingga mengganggu pendengaran dan menyebabkan penglihatan kabur.

"Gangguan penglihatan menyebabkan pesakit seperti melihat objek berkembar dan berlaku disebabkan adanya strok pada batang otak (brain stem) atau serebelum.

"Jika disertai lemah dan kebas, ia petanda penghidapnya perlu segera berjumpa doktor.

"Vertigo bukan penyakit, ia adalah simptom untuk beberapa jenis penyakit yang membabitkan sistem vestibular iaitu sensor untuk pergerakan," katanya.

Wanita lebih berisiko dapat vertigo

Wanita lebih tinggi risiko mendapat vertigo berbanding lelaki. Bagaimanapun selepas berumur 70 tahun, kedua-dua jantina ini berisiko mendapatnya.

Sehingga kini tidak diketahui mengapa wanita lebih banyak berdepan gejala vertigo.

Antara penyebabnya ialah vascular vertigo berkait dengan masalah salur darah yang mengalami kemerosotan dan sempit menyebabkan seseorang mengalami strok kecil tanpa membabitkan lemah kaki, tangan atau kebas.

Menyerang remaja dan kanak-kanak

Remaja dan kanak-kanak, tidak terkecuali, namun tetapi tidak ramai.

Namun, bagi golongan muda, vertigo boleh disebabkan masalah kecacatan genetik pada otak seperti episodic ataxia menyebabkan masalah ketidakseimbangan 'diturunkan' daripada ibu bapa kepada anak.

Antara penyebab paling biasa bagi gejala vertigo ialah benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) yang membawa kesan sangat ringan termasuk menyebabkan seorang berasa berpusing selama beberapa saat.

Rasa pening dan seolah-olah kepada berpusing antara simptom vertigo yang tidak seharusnya diambil remeh. - Foto hiasan
Rasa pening dan seolah-olah kepada berpusing antara simptom vertigo yang tidak seharusnya diambil remeh. - Foto hiasan

Seseorang mungkin berasa berpusing ketika berbaring atau mendongak, bagaimanapun ia tidak berbahaya dan mudah dirawat serta tanpa perlu sebarang ubat.

Masalahnya disebabkan semicircular canal apabila ada batu dipanggil otolith beralih daripada kedudukan asalnya.

"Ketika perbuatan mendongak berakhir, pada ketika itu otolith dan cecair dalam semicircular canal akan bergerak.

"Pergerakan otolith dan cecair menyebabkan seseorang rasa berpusing sedangkan perbuatan mendongak itu sudah berakhir sepenuhnya beberapa saat lebih awal.

"Pergerakan otolith adalah normal, malah berlaku kepada golongan berusia dan yang mengalami kecederaan kepala seperti terhantuk.

Kaedah rawatan

Dari segi rawatan dilakukan melalui satu siri pergerakan badan dan kepala ketika berbaring.

Berbanding simptom penyakit lain, vertigo membabitkan sistem deria yang pelbagai dan agak kompleks meliputi pelbagai disiplin termasuk ENT, neurologi dan ortopedik

Kebanyakan pesakit yang mengalami simptom hanya berjumpa doktor dan mengambil ubat bagi membolehkan vertigo hilang.

"Mereka ini wajar mendapatkan rawatan yang betul sebagai pencegahan awal bagi mengurangkan kesan vertigo berulang-ulang atau berlarutan," katanya.

Rawatan fisioterapi

Menurut Dr Nor Azmi, vertigo sering disalah anggap sebagai berpunca daripada gangguan sistem telinga, sedangkan ia turut membabitkan deria lain termasuk mata, sendi dan sensor tekanan.

Jika menerima rawatan awal, simptom vertigo mungkin masih ringan dan ada ketikanya badan boleh menggunakan strategi adaptasi bagi penyembuhan sendiri dan mungkin tidak memerlukan rawatan.

"Secara umum, ketika pesakit dalam fasa kesakitan akibat vertigo, ubat akan diberikan bagi mengurangkan simptom tetapi pemulihan jangka panjang memerlukan rawatan fisioterapi.

"Meskipun kes babitkan kanak-kanak atau remaja tidak ramai, ibu bapa ambil perhatian bawa anak jika melihat anak sering sakit kepala atau tiada keseimbangan seperti tidak boleh berdiri tegak dan berjalan lurus," katanya.

Berita Harian X