Sabtu, 27 Februari 2021 | 11:31am
Pembedahan rekonstruksi autologous dapat memberi keyakinan kepada pesakit kanser payudara. - Foto hiasan
Pembedahan rekonstruksi autologous dapat memberi keyakinan kepada pesakit kanser payudara. - Foto hiasan

Kulit perut ganti 'payudara baharu'

TIGA hari terpaksa dikomakan berikutan tidak mahu sebarang pergerakan yang membolehkan jahitan pada payudara menggunakan kulit perut berdepan sebarang komplikasi.

Malah, proses pembedahan pembuangan payudara, selain kulit perut diambil untuk 'payudara baharu' atau rekonstruksi autologous mengambil masa 13 jam sebelum pesakit diberi tidur selama tiga hari.

Itu pengalaman dilalui, Nor Khairunnisa Mohamed Zin, 34, yang menjalani pembedahan membuang payudara kiri selepas disahkan menghidap kanser tahap dua pada 2019.

Ibu kepada dua anak berkata, sebaik disahkan menghidap tahap dua kanser itu, pada 9 September 2019, beliau menetap di Pokok Sena, Kedah mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan sebelum menjalani pembedahan, pada 28 Oktober tahun sama.

Doktor pakar mengendalikan penyakitnya, memberi cadangan membuang terus payudara di sebelah kiri yang ada ketulan kanser, untuk mengelak penyakit kembali menyerang.

"Saya boleh memilih mahu membuang payudara atau ketulan kanser.

"Ketika itu perasaan saya berbelah bahagi dan turut memikirkan kekurangan diri," katanya.

Suaminya, Aidil Afiq Ahmad Bukhari, 34, bersetuju payudara dibuang untuk masa depannya.

Lalui 13 jam prosedur

Doktor pada mulanya mahu mengambil kulit pinggul untuk ditampal pada payudara, sebagai payudara baharu, namun kuantitinya tidak mencukupi.

Nor Khairunnisa menggunakan kulit perut untuk menggantikan payudara baharu dan menjalani pembedahan rekontruksi autologous selama 13 jam bagi tujuan itu. - Foto ihsan Nor Khairunnisa
Nor Khairunnisa menggunakan kulit perut untuk menggantikan payudara baharu dan menjalani pembedahan rekontruksi autologous selama 13 jam bagi tujuan itu. - Foto ihsan Nor Khairunnisa

"Saya baru bersalin tidak sampai setahun dan lemak di perut agak ketara, doktor kemudiannya mengambil bahagian kulit perut.

"Proses pembuangan payudara mengambil masa satu jam, tetapi proses memotong kulit perut dan menjahit semula payudara itu mengambil masa 12 jam. Keseluruhan selama 13 jam.

"Payudara kiri tiada cacat celanya dari pandangan luar kerana saiznya sama payudara kanan.

Turun berat badan 10 kg

Peniaga dalam talian itu berkata, beliau rasa ada ketulan agak ketara di payudara kiri sebelum berjumpa doktor.

Ketika itu beliau masih menyusukan anak dan doktor memaklumkan mungkin bukan kanser dan beri tempoh lima bulan lagi pemeriksaan lanjut.

"Kemudian doktor kata ada ketulan fibroid dan saya setuju membuangnya. Selepas pembedahan doktor sahkan ketulan itu adalah kanser, kemudian buat rawatan lanjut di HUSM.

"Berat badan turun 10 kilogram (kg), tak sampai sebulan, daripada 58 kg kepada 48 kg," katanya.

22 sesi radioterapi

Hampir setahun beliau tinggal di rumah ibunya di Kelantan menjalani kemoterapi dan radioterapi sehingga Oktober tahun lalu, sebelum pulang ke Kedah.

"Enam kali kemoterapi. Setiap kali rawatan, tiga hari pertama saya tidak terurus dengan pening, muntah dan badan lesu.

"Anak bongsu ibu saya yang uruskan dan hari keempat baru mampu bangun. Itulah rutin setiap kali kemoterapi sebelum rawatan radioterapi 22 sesi selesai.

"Ketika ct-scan, Julai tahun lalu, doktor sahkan tiada lagi kanser payudara," katanya.

Implan antara kaedah bagi menggantikan payudara selepas menjalani pembedahan buang payudara akibat penyakit kanser payudara. - Foto hiasan
Implan antara kaedah bagi menggantikan payudara selepas menjalani pembedahan buang payudara akibat penyakit kanser payudara. - Foto hiasan

Tak malu payudara leper

Bagi bekas pesakit kanser payudara, Maznah Mohammad, 62, tidak malu meskipun payudara kirinya leper sejak lapan tahun lalu selepas dibuang bagi mengelak merebak.

Beliau perlu menjalani pembedahan mastektomi membuang payudara sebelah kiri berikutan kanser sudah tahap empat.

Maznah tidak menjalankan rekonstruksi payudara di atas nasihat doktor kerana usianya sudah lanjut bagi mengelak komplikasi.

"Saya sendiri tidak pernah rasa rendah diri walaupun kehilangan aset penting wanita," katanya.

Kongsi pengalaman

Beliau berkata, bagi pesakit kanser payudara lain, mereka tidak perlu bimbang semua boleh diselesaikan dengan melakukan rekonstruksi autologous atau prostesis jika sesuai.

Maznah tetap bangga dan berkongsi cerita mengenai perjuangannya sebagai pesakit kanser terutama kepada wanita yang mengalami ujian sama kerana tidak mahu mereka mudah mengalah atau berputus asa.

Bercerita lanjut, beliau rasa ada perubahan pada bentuk payudara sebelum mencari pelbagai maklumat mengenai kanser tanpa pengetahuan suami dan anak.

Maznah tidak pernah rasa rendah diri atau malu meskipun payudara kirinya leper selepas dibuang bagi memastikan derita barah payudara tidak berulang. - Foto ihsan Maznah
Maznah tidak pernah rasa rendah diri atau malu meskipun payudara kirinya leper selepas dibuang bagi memastikan derita barah payudara tidak berulang. - Foto ihsan Maznah

"Kemudian saya berjumpa doktor HUSM. Selepas beberapa prosedur saya disahkan menghidap kanser payudara.

"Selepas dua bulan saya dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, untuk menjalani pembedahan mastektomi," katanya.

Sebelum itu, enam kali menjalani kemoterapi dan 20 kali radioterapi menyebabkan kulit menjadi hangus, selain mual, rambut gugur dan tiada selera makan," katanya.

Rahmat dan dugaan

Selepas disahkan bebas kanser, beliau aktif dengan Kelab Kanser Payudara Kelantan (KEDARA) dan berkongsi pengalaman dan beri motivasi kepada pesakit lain.

"Setiap kali berpeluang berjumpa dengan pesakit kanser saya selalu ingatkan mereka supaya menganggap dugaan ini sebagai 'rahmat' menjadi insan lebih baik dan bukan hanya putus harapan untuk meneruskan hidup," katanya.

Berita Harian X