Sabtu, 27 Februari 2021 | 10:30am
Isi tubuh pesakit boleh digunakan untuk menggantikan payudara asal pesakit kanser payudara yang dibuang. - Foto hiasan
Isi tubuh pesakit boleh digunakan untuk menggantikan payudara asal pesakit kanser payudara yang dibuang. - Foto hiasan

'Tampal' isi tubuh ganti payudara

ISI daging pada tubuh di bahagian perut, punggung atau belakang badan untuk 'ditampal' pada payudara dengarnya mengerikan.

Namun, itu antara dilakukan kepada pesakit kanser payudara bagi menggantikan payudara asal selepas mereka menjalani pembedahan mastektomi.

Pembedahan membuang aset penting wanita itu perlu dilakukan bagi memastikan barah tidak terus merebak dan hidup lebih sihat.

Justeru, bagi pesakit kanser payudara yang membuang satu atau kedua-dua belah payudara, selain nodus limfa di bahagian ketiak biasanya memilih menjalani rekonstruksi autologous bagi meningkatkan keyakinan diri.

Rekonstruksi autologous adalah kaedah proses pemindahan isi daripada tubuh badan pesakit itu sendiri sama ada isi diambil daripada sebahagian tisu perut, punggung atau belakang badan untuk membina semula pada bahagian payudara yang dibuang selepas pembedahan mastektomi.

Pembinaan semula payudara boleh dilakukan dengan tiga pilihan utama iaitu pemilihan isi tubuh badan pesakit itu sendiri (autologus), pembinaan semula menggunakan implan payudara (prostesis) atau gabungan kaedah autologous dan prostesis.

Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar.
Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar.

Pakar Bedah Rekonstruksi dan Pembedahan Plastik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar, berkata pesakit yang sudah menjalani mastektomi mempunyai pilihan melakukan rekonstruksi bagi membina kembali bentuk payudara mirip asal walaupun tidak boleh berfungsi seperti biasa.

Katanya, sebanyak 98 peratus pesakit memilih rekonstruksi autologous berbanding implan bagi pesakit di Hospital USM yang terpaksa membuang bahagian payudara secara keseluruhan, dan ada beberapa pilihan bahagian isi tubuh yang sesuai digunakan.

"Salah satu contoh pemindahan isi badan boleh dilakukan dengan mengambil sebahagian kulit, lemak, otot dan salur darah daripada bahagian perut bergantung kepada besar saiz defek mastektomi dan kesesuaian pesakit itu sendiri.

"Rekonstruksi ini boleh dilakukan pesakit kanser payudara yang sudah menjalani pembedahan mastektomi termasuk pesakit tahap empat, yang penting mereka mesti dalam kondisi yang sihat dan cukup stabil untuk menjalani pembedahan.

"Pesakit boleh memilih untuk membuat rekonstruksi awal iaitu terus membuat pemindahan isi badan sejurus selepas mastektomi atau rekonstruksi yang ditunda yang mana pemindahan dilakukan pesakit selepas selesai menjalani kemoterapi atau radioterapi, tergantung kepada kondisi dan keperluan pesakit," katanya.

Rekonstruksi autologuslebih sesuai untuk pesakit yang perlu menjalani radioterapi kemudian hari berbanding dengan pemilihan implan, kerana pemindahan isi autologous lebih bersifat tahan lasak berbanding implan, iaitu implan itu berisiko mengalami permukaan berkerut atau menggerutu.

"Pemindahan isi juga mempunyai bentuk dan struktur lebih utuh untuk jangka hayat yang panjang berbanding implan walaupun masih boleh mengalami proses pemarutan (fibrosis) sekiranya menjalani rawatan radioterapi.

"Seperti pembedahan lain, pemindahan isi tidak terkecuali daripada komplikasi walaupun jarang terjadi. Sebagai contoh, sekiranya pemindahan isi diambil daripada bahagian abdomen (perut), ada kebarangkalian pesakit boleh mengalami Hernia (angin pasang), terjadinya pengumpulan darah beku di bawah kulit, jangkitan kuman, parut pembedahan yang tebal dan lain-lain.

"Namun komplikasi ini dapat dielakkan dengan teknik pembedahan teliti dan penjagaan pasca pembedahan yang rapi. Salah satu penjagaan pasca pendedahan bagi pesakit setelah pemindahan isi perut adalah dengan pemakaian bengkung," katanya.

Pembedahan membuang aset penting wanita itu perlu dilakukan bagi memastikan barah tidak terus merebak. - Foto hiasan
Pembedahan membuang aset penting wanita itu perlu dilakukan bagi memastikan barah tidak terus merebak. - Foto hiasan

Katanya, pelbagai kaedah rekonstruksi pembinaan semula payudara dilakukan di HUSM, sama ada satu payudara mahupun kedua-dua belah payudara dijalankan sejak 1998.

"Kaedah rekonstruksi yang banyak menjadi pilihan pesakit kanser payudara adalah autologus berbanding penggunaan implan.

"Ini disebabkan kekeliruan fatwa, selain kos rawatan yang agak tinggi kerana harga satu implan antara RM1,500 hingga RM4,000 bergantung kepada jenis dan kualiti, berbanding pemindahan isi antara RM100 hingga RM200 bergantung pada jenis pemindahan isi.

"Masih ada segelintir masyarakat tiada pengetahuan tentang rekonstruksi payudara membabitkan pemindahan isi badan selain implan, ini kemungkinan kurangnya pendedahan terhadap bidang ini.

"Sebahagian masyarakat pula menolak tawaran rekonstruksi payudara atas alasan durasi pembedahan menjadi lebih lama, manakala ada yang beranggapan pembinaan semula payudara boleh menyukarkan proses mengesan (deteksi) kanser sekiranya kanser kembali menyerang, padahal dengan adanya alat imaging canggih masa kini pengesanan kanser masih boleh dilakukan," katanya.

Rekonstruksi autologous hanya boleh dilakukan menggunakan isi anggota badan pesakit sendiri kerana berisiko berlaku komplikasi dan penolakan jika isi itu diambil daripada badan orang lain.

Kaedah terbabit nyata boleh membantu memudahkan pemilihan pakaian, mengembalikan semangat dan keyakinan diri.

Berita Harian X