Sabtu, 30 Januari 2021 | 3:09pm
Menderma darah tidak menyebabkan kegemukan.-Foto/NSTP
Menderma darah tidak menyebabkan kegemukan.-Foto/NSTP

Mitos badan gemuk selepas derma darah

Sudah lali, tiada rasa bimbang, takut dan fobia, sebaliknya segala momokan mengenai dakwaan sesetengah pihak menderma darah menyebabkan berat badan bertambah dan gemuk mendadak atau dijangkiti penyakit seperti HIV dan Hepatitis B, dianggap mitos.

Realitinya ramai sedia melakukannya sehingga ada mencatat rekod lebih 50 kali, selain ada menderma darah dua kali seminggu.

Di kala pandemik COVID-19 ini buang stigma negatif demi menambah bekalan darah yang amat diperlukan.

Bagi anggota bomba bertugas di Putrajaya, Noor Hisham Kamal, 44, menderma darah jadi rutin biasa sejak berusia 20 tahun dan sehingga ini lebih 50 kali sudah derma darah.

Noor Hisham menderma lebih 50 kali dan akan melakukannya jika ada program berkaitannya.- Foto/Ihsan Noor Hisham
Noor Hisham menderma lebih 50 kali dan akan melakukannya jika ada program berkaitannya.- Foto/Ihsan Noor Hisham

"Memang ramai bimbang berat naik, tetapi kesihatan saya tidak pernah terjejas atau naik badan.

Derma darah tiada kaitan dengan kegemukan. Mungkin ada individu selepas derma darah makan banyak untuk ganti darah diderma. Bagi saya tiada berbeza sebelum dan selepas.

"Berat badan saya tidak ada perbezaan ketara sama ada naik atau turun, iaitu hanya dalam lingkungan 5 kilogram dan tidak pernah alami kesan seperti pening dan badan lesu.

"Saya amalkan makanan mengandungi zat besi dan kurma, selain sayur-sayuran.

"Makan kurma bagi menambah semula kandungan gula, serat dan membina badan yang sihat," katanya.

Beliau mengakui selepas menderma darah akan mendapat tidur yang berkualiti dan lena. Tidur mencukupi penting sebelum derma darah untuk elak elak pengsan.

Misi selamatkan nyawa

Kesedaran beliau menderma darah selepas melihat hampir setiap hari tragedi mangsa kemalangan kehilangan banyak darah ketika misi menyelamat.

"Di sini saya memahami penting derma darah untuk membantu insan memerlukan.

"Panggilan kecemasan kini diterima bomba setiap tahun semakin meningkat berbanding laporan kebakaran, justeru bekalan darah sangat diperlukan.

"Saya akan sertai program derma darah, sekurang-kurangnya tiga atau enam bulan sekali," katanya.

Aktif menderma darah

Pelakon popular, Azhan Rani, 44, yang aktif menderma darah tidak pernah percaya tindakan itu menyebabkan seseorang menjadi obes, sebaliknya beliau sendiri rasa lebih cergas kerana dapat memperbaharui sel darah merah.

Azhan kerap menderma darah sebagai tanggungjawab sosial membantu menyelamatkan nyawa insan memerlukan.- Foto/Ihsan Azhan Rani
Azhan kerap menderma darah sebagai tanggungjawab sosial membantu menyelamatkan nyawa insan memerlukan.- Foto/Ihsan Azhan Rani

Beliau adalah penderma darah yang aktif dan kerap mengunjung Pusat Darah Negara (PDN) bagi tujuan itu.

"Doktor nasihatkan saya makan makanan seperti daging atau kerang untuk stabilkan balik dan elak yang memudaratkan kesihatan seperti garam atau gula berlebihan.

"Penderma darah yang aktif perlu sentiasa pastikan kandungan hemoglobin dalam badan pada paras baik dan layak menderma," katanya yang sudah 35 kali menderma darah.

Suka derma darah

Beliau suka menderma darah kerana dapat membantu selamatkan nyawa orang lain kerana yakin satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.

"Ketika menderma darah saya akan diberitahu

diberitahu beberapa petunjuk penting mengenai keadaan kesihatan saya seperti, tekanan darah, tahap kolesterol dan banyak lagi.

"Dengan menderma darah dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan menyeimbangkan kandungan zat besi dalam dalam badan saya.

"Ia juga sangat bagus untuk mengurangkan risiko penyakit kanser, selain ramai yang tak tahu derma darah ini sebenarnya membantu mengurangkan kalori dalam badan," katanya

"Sel darah manusia ada darah merah dan plasma sangat digalakkan diderma pada yang memerlukan," katanya.

Derma darah elak risiko kanser

"Derma darah gemuk hanya mitos. Saya sudah menderma 18 kali dan akan teruskan rutin ini setiap tiga bulan sekali.

"Antara kelebihannya dari aspek kesihatan dapat elak risiko kanser dan masalah jantung.

"Saya menyaksikan betapa berharga darah apabila kakak (sudah meninggal dunia) dan adik ipar yang perlukan darah akibat penyakit dideritai mereka.

"Dari situ saya rasakan kita perlu menderma darah demi menyelamatkan nyawa insan lain," katanya, jurujual, Muhammad Khairil Raulah, 24.

Beliau mula menderma ketika berusia 18 tahun selepas sering diajak rakannya berbangsa Cina berbuat demikian.

Beliau mahu berbakti dan dapat manfaat perubatan jika menerima rawatan di hospital, selain dapat sagu hati, baucer dan seumpamanya.

INFO:

Keperluan darah:

* 500 hingga 600 beg darah sehari diperlukan di Lembah Klang.

* 2,000 beg darah di seluruh negara.

* Jenis darah: A, B, AB dan O.

Berita Harian X