Khamis, 15 Oktober 2020 | 11:01am
Gelisah, takut membuatkan ramai wanita tak mahu buat saringan mamogram.- Gambar hiasan
Gelisah, takut membuatkan ramai wanita tak mahu buat saringan mamogram.- Gambar hiasan

75 peratus wanita berusia 40 tahun tak buat mamogram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 75 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram sekali gus memperlihatkan tahap kesedaran berkaitannya masih rendah yang berkemungkinan mereka terdedah mendapat kanser payudara.

Keputusan berkenaan didedahkan menerusi Tinjauan Kesihatan dan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengimejan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC), Prof Madya Dr Norhayati Mohd Zain, berkata kajian sekumpulan penyelidik dari pusat itu pula mendapati 61 peratus wanita di Negeri Sembilan juga tidak cakna terhadap kepentingan pemeriksaan mamogram.

Beliau yang mengetuai kajian kumpulan penyelidik terdiri dari pensyarah dan penuntut jurusan tahun akhir Program Pengimejan Perubatan, KPJUC terhadap wanita di sekitar Negeri Sembilan itu juga menunjukkan hanya 39 peratus wanita mempunyai tahap pengetahuan yang bagus mengenai pemeriksaan.

"Ketakutan dan kegelisahan menjalani pemeriksaan mamogram menjadi faktor penyumbang kepada peratusan wanita masih rendah.

"Pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti penyakit pada tahap serius," katanya.

Justeru, katanya, sempena bulan kesedaran kanser payudara ini, wanita digesa mengambil kesempatan sepanjang fasa pemulihan COVID-19 untuk dengan menjalani pemeriksaan saringan.

Sebelum ini usaha itu 'tergendala' akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam normal baharu ini, pendekatan berbeza harus diterokai dalam menganjurkan kempen kesedaran bagi memastikan misi wanita menjalani pemeriksaan tercapai.

"Bulan kesedaran kanser payudara adalah masa terbaik untuk mengaktifkan semula kempen kesedaran dan kepentingan saringan awal kepada golongan itu.

"Tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan wanita terhadap pemeriksaan ini juga dilihat sebelum penularan pandemik COVID-19 lagi," katanya.

 Prof Madya Dr Norhayati Mohd Zain.
Prof Madya Dr Norhayati Mohd Zain.

Dr Norhayati yang juga Pengarah di Pusat Pengurusan Penyelidikan KPJUC, berkata aktiviti kempen kesedaran terhadap kanser payudara turut terkesan berikutan wabak COVID-19, iaitu kebanyakan inisiatif secara bersemuka tidak dapat direalisasikan sepanjang tempoh itu.

"COVID-19 yang melanda Malaysia banyak memberi kesan kepada rakyat daripada pelbagai sudut termasuk tahap penjagaan serta kesedaran penjagaan kesihatan.

"Negara kini sedang menjalani fasa pemulihan sehingga Disember di mana rakyat Malaysia mula kembali menjalani rutin harian hampir seperti sedia kala dengan mengambil kira SOP yang ditetapkan. Justeru mereka digalakkan untuk menjalani pemeriksaan.

"Ini kerana dalam situasi sekarang, risiko dijangkiti wabak semakin berkurang dan boleh dikawal. Namun begitu, risiko untuk mendapat kanser payudara masih sama.

"Sehubungan itu, sekiranya wanita Malaysia yang berisiko tidak tampil menjalani pemeriksaan saringan akan membawa kesan buruk, " katanya.

Selain itu, Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat menjangkakan seramai 10,000 penduduk di negara itu akan kehilangan nyawa dalam masa 10 tahun akan datang akibat kelewatan pengesanan awal serta rawatan kesan daripada pandemik COVID-19 ini.

"Kesan yang sama turut dijangkakan terjadi kepada rakyat Malaysia. Kanser payudara adalah penyakit paling digeruni di Malaysia dan menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan wanita.

Kempen kesedaran mengenai kepentingan membuat pemeriksaan payudara perlu ditingkatkan bagi mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara. -Foto/NSTP
Kempen kesedaran mengenai kepentingan membuat pemeriksaan payudara perlu ditingkatkan bagi mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara. -Foto/NSTP

"Malah menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, terdapat peningkatan kes baharu kanser payudara dalam kalangan wanita Malaysia dalam tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 2007 hingga 2011.

"Peningkatan adalah sebanyak 11.3 peratus dengan 103,507 kes pada tahun 2007-2011 kepada 115,238 pada 2012 hingga 2016, " katanya.

Beliau berkata, laporan itu juga menyatakan bahawa peratusan kes kanser yang dikesan pada tahap tiga dan empat meningkat dari 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus.

Pada masa sama, kadar hidup pesakit adalah sekitar 60 peratus dalam tempoh lima tahun selepas pengesanan dilakukan.

"Pelbagai strategi diatur dan diambil oleh agensi kerajaan, swasta dan badan korporat dalam meningkatkan kempen bagi menggalakkan pemeriksaan awal serta pencegahan, namun masih terdapat peningkatan jumlah kes dicatatkan.

"Pelbagai pendekatan kempen juga dilakukan bertujuan menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan menjalani pemeriksaan awal secara berkala.

"Ini termasuk ceramah kesihatan kepada komuniti, promosi pemeriksaan kesihatan percuma serta kempen berbentuk larian, " katanya.

Berita Harian X