Sabtu, 24 Februari 2024 | 9:40am
Rudy Junaidie (kanan) bersama cef Mill Cafe yang bersiap sedia menyediakan pelbagai juadah yang pasti memberikan pengalaman menarik untuk iftar. NSTP/Amiruddin Sahib
Rudy Junaidie (kanan) bersama cef Mill Cafe yang bersiap sedia menyediakan pelbagai juadah yang pasti memberikan pengalaman menarik untuk iftar. NSTP/Amiruddin Sahib

The Mill Cafe tawar empat juadah unik untuk iftar

Kurang sebulan ketibaan Ramadan, dan kini banyak premis tumpuan seperti hotel, kafe dan restoran sudah mempromosi juadah untuk berbuka puasa.

Seperti kelaziman, untuk kelainan ramai individu buka puasa di hotel yang menyediakan pelbagai hidangan dari makanan tradisional pelbagai kaum dan negara serantau disediakan.

Umpamanya, The Mill Cafe, Grand Millennium Kuala Lumpur membawakan empat juadah unik.

Empat menu unik ditawarkan Mill Cafe untuk juadah berbuka puasa.
Empat menu unik ditawarkan Mill Cafe untuk juadah berbuka puasa.

Empat menu unik ditawarkan Mill Cafe untuk juadah berbuka puasa.
Empat menu unik ditawarkan Mill Cafe untuk juadah berbuka puasa.

Cef Eksekutif Grand Millennium, Rudy Junaidie Mohd Zain, berkata dengan tema 'Jom Makan' tahun ini, pihaknya meraikan kepelbagaian landskap masakan Malaysia dengan hidangan kegemaran tempatan sepanjang masa.

"Ramadan tahun ini kita ada empat juadah unik. Antaranya, belanga bakar. Ada pilihan ayam daging ikan dan enam jenis sayur. Sos pula ada tiga jenis iaitu asam pedas, kari masala dan kung pao.

"Kita letak dalam belanga mengikut cita rasa Melayu, Cina dan India, bahan dipilih pelanggan dimasak dalam tempoh masa yang sekejap untuk mendapatkan rasa yang unik," katanya .

Juadah tumpuan ialah kambing panggang Xinjiang.

"Saya pernah berkhidmat tiga tahun di China. Di Xinjiang ramai Muslim jadi mereka banyak makanan dipanggang Kambing diperap satu hari dan digaul dengan pelbagai rempah yang memberikan rasa unik.

"Tidak sama seperti perapan lain. Saya sudah selidik di hotel lain di negara ini belum ada membuat kambing panggang Xinjiang," katanya.

Selain itu, turut ada seksyen dinamakan sebagai Jajan Pasar.

"Berdasarkan pengalaman saya di Indonesia selama tiga tahun dan ketika muda dahulu, orang jual kuih tepi jalan dan kita akan beli daripada situ.

"Konsep Jajan pasar ini sama dengan pengalaman lalu kita. Ibu jajan akan duduk di pangkin dan akan hidangkan kuih itu," katanya.

Juga ada seksyen sup campur dengan pelbagai bahan digunakan dalamnya.

"Kita ada pelbagai juadah menarik dan tidak menumpukan empat seksyen utama sahaja," katanya.

Selain itu, bufet Ramadan Grand Milennium turut menawarkan Rendang Tok, Ayam Masak Madu, Telor Itik Masak Lemak dengan Belimbing Buloh, Kambing Masak Hitam, Udang Goreng Oat, Bubur Lambuk dan pelbagai juadah lain.

Juadah popular India seperti Ayam Peratal, Kambing Sagwala, Gobi Matar dan Dal goreng juga menambahkan kepelbagaian juadah yang ada.

Di seksyen Mamak, Shawarma, makanan laut diletakkan bersama ais, Jepun dan banyak lagi.

Harga bufet RM168 untuk dewasa dan RM84 (kanak-kanak lima sehingga 12 tahun dengan tawaran berlangsung pada 12 Mac ini sehingga 9 April depan.

Untuk iftar individu harga antara RM120 seorang atau RM150 seorang.

Mula dibuka jam 7 malam sehingga 10 malam, selain ada juga untuk sahur bermula tengah malam sehingga 5.30 pagi.

Berita Harian X