Jumaat, 15 Disember 2023 | 9:44am
Nor Syamsita memulakan proses peram ikan budu sejak April lalu, untuk dijual pada musim tengkujuh. - NSTP/ Siti Rohana Idris
Nor Syamsita memulakan proses peram ikan budu sejak April lalu, untuk dijual pada musim tengkujuh. - NSTP/ Siti Rohana Idris

Selera musim tengkujuh, budu dicari..

TUMPAT: Musim tengkujuh di negeri ini bukan sahaja popular dengan putu halba, tetapi juga kewujudan ikan budu yang memang dinanti-nantikan penggemarnya.

Meskipun baunya sangat 'istimewa' seperti ikan pekasam, ikan budu diperam dengan garam kasar serta asam keping selama empat hingga lima bulan menjadi lauk kegemaran dan pembangkit selera.

Pembuat ikan budu dari Kampung Tanjung Kuala, di sini, Nor Syamsita Hussin, 43, berkata, ikan budu sentiasa ditunggu pelanggannya setiap kali menjelang musim tengkujuh dan proses menyediakan ikan budu dimulakan sejak April lalu.

"Proses perap antara empat hingga lima bulan dan bahan hanya garam kasar serta asam keping.

"Ikan dibersihkan, dimasukkan dalam tong berisi garam kasar sebelum diletakkan kepingan asam keping dan dilapisi lagi garam yang banyak.

"Ikan diperam dibiarkan dalam tong beberapa bulan dan prosesnya sama seperti membuat budu, jadi dipanggil ikan budu sedangkan ramuannya langsung tiada penggunaan budu," katanya.

Ikan dilumur dengan garam dan dimasukkan dalam tong untuk diperam beberapa bulan. - NSTP/Siti Rohana Idris
Ikan dilumur dengan garam dan dimasukkan dalam tong untuk diperam beberapa bulan. - NSTP/Siti Rohana Idris

Nor Syamsita yang juga peniaga ikan di Pasar Sumayyah, Tumpat, berkata sudah hampir tujuh tahun dia menghasilkan dan menjual ikan budu dengan memperoleh resipi daripada arwah ibunya.

Dia mampu menjual kira-kira 100 kilogram (kg) ikan budu dalam tempoh dua minggu kepada pembeli di pasar terbabit kerana permintaan sangat menggalakkan.

Ikan budu berbeza dengan ikan pekasam, ikan masin serta ikan bekok walaupun mempunyai cara penghasilan seakan sama, namun tempoh peram tidak sama.

"Rasa dan cara masakannya juga berbeza kerana ikan budu perlu direndam setengah jam sebelum dimasak bagi mengurangkan rasa masin sebelum digoreng bersama bawang serta telur dan diperah asam limau.

"Ikan budu boleh dimasak gulai lemak serta dijadikan sambal dimakan bersama pulut dan ubi kayu.

"Harga ikan budu mengikut jenis dan saiz ikan iaitu antara RM2 hingga RM20 seekor," katanya menggunakan ikan kembung, selar dan ikan tongkol untuk menghasilkan ikan budu.

Berita Harian X