Sabtu, 16 September 2023 | 9:06am
Gabungan cita rasa Malaysia di Mohana Bistori, Klang
Gabungan cita rasa Malaysia di Mohana Bistori, Klang

7 sajian cita rasa autentik memikat selera

Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, apa kata kita raikan kepelbagaian yang terdapat di negara ini.

Malaysia terkenal sebagai syurga makanan dengan pelbagai juadah dari Semenanjung hingga ke Borneo, antara tarikan utama pelancong sama ada dari dalam negara atau luar dari Sabah dan Sarawak.

Untuk merasai juadah enak di seluruh pelosok Malaysia yang terdapat di Selangor!

 

1. Mohana Bistro, Klang: Gabungan Rasa

Memulakan pengembaraan Hari Malaysia, tidak lengkap kalau kita tidak singgah ke salah satu tempat makanan yang autentik di Klang!

Restoran yang menghidangkan pelbagai juadah dan masakan India, Mohana Bistro menawarkan pelbagai juadah seperti biryani, kari, roti dan pelbagai pilihan makanan vegetarian, semestinya akan membuatkan anda kekenyangan di sini.

 

Orchard D'lagong Cafe
Orchard D'lagong Cafe

2. World of Phalaenopsis, Ulu Yam: Pesta Bunga

Berkonsepkan flora, World of Phalaenopsis, sebuah restoran yang dikelilingi oleh kepelbagaian spesis bunga orkid yang sangat memukau.

Menawarkan juadah dengan sentuhan cita rasa Malaysia, kepelbagaian menu ditawarkan juga menjadikan pengalaman makan di sini, sesuatu yang unik dan tidak dapat dilupakan.

 

3. Teng Wun Bakery & Confectionery, KKB: Kedai Roti Tradisional

Teng Wun Bakery & Confectionery, kedai roti tradisional yang menyajikan pastri dan manisan seperti kuih bulan yang dibuat secara tradisional, Char Siew Bao dan tart telur yang enak!

Bakeri ini juga dikenali dengan pelbagai pastri tradisional yang terkenal dalam kalangan kaum Cina. Untuk mereka yang ingin belajar tentang seni kulinari tradisional Malaysia dan tradisi pembuatan roti di Pekan Kuala Kubu Bharu, jangan lupa singgah di sini.

4. Orchard D'lagong Cafe:  Pemandangan Indah

Menyajikan hidangan tradisional yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia seperti Nasi Lemak dan Lempeng bersama sambal tumis, anda mesti singgah ke Orchard D'Lagong Cafe di Bukit Langong, Gombak, Selangor.

Restoran yang tersembunyi di tengah keindahan alam semula jadi ini menawarkan suasana yang tenang untuk para pengunjungnya.

 

Pelbagai juadah tradisional termasuk ketupat mengimbau nostalgia zaman di desa
Pelbagai juadah tradisional termasuk ketupat mengimbau nostalgia zaman di desa

5. Warung Ketupat Kampung Permatang: Rasa Tradisi

Pada cuti Hari Malaysia kali ini, mari ajak rakan dan keluarga anda ke Warung Ketupat Kampung Permatang di Selangor.

Gerai ini memberikan suasana yang klasik, dengan hidangan pelbagai juadah tradisional termasuklah ketupat, iaitu juadah yang sangat lazim dengan rakyat Malaysia!

 

6. Family Kopitiam Jalan Raya Timur Klang: Warisan Kulinari

Family Kopitiam yang terletak di Jalan Raya Timur Klang adalah 'hotspot' untuk pengunjung yang datang dari pelbagai generasi sama ada muda atau tua untuk menikmati pelbagai juadah tempatan seperti Nasi Ayam Hainan dan Mee Goreng.

Di sini anda boleh melihat keunikan kepelbagaian kaum yang ada di Malaysia!

Pelbagai sajian tempatan dengan sentuhan seni yang menarik.
Pelbagai sajian tempatan dengan sentuhan seni yang menarik.

7. Tingkap Cafe: Seni dan Aroma

Menawarkan gabungan unik seni, budaya, dan hidangan, kafe ini tidak hanya terkenal dengan hidangan tempatan yang lazat tetapi juga dengan sentuhan seni yang menarik.

Bagi mereka yang menghargai daya tarikan bandar lama dan kenangan zaman dahulu di Malaysia, Kafe Tingkap di Petaling Jaya Old Town adalah tempat yang wajib dikunjungi.

Antara menu terbaik yang patut anda cuba adalah Nasi Dagang, Nasi Kerabu, dan Nasi Berlauk yang didatangkan khas dari Kelantan.

Menjelang Hari Malaysia ini, jangan lupa untuk kunjungi Tingkap Cafe terutama bagi pencinta makanan dan budaya yang inginkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan

 

Pada Hari Malaysia ini, sambil kita merayakan kesatuan dan kepelbagaian yang ada di negara yang indah ini, hidangan autentik Malaysia yang terdapat di Negeri Selangor adalah bukti kepada warisan kulinari yang kaya dan telah menyatukan kita.

Kepada semua pelancong dari Borneo dan seluruh Malaysia, jom menyelusuri cita rasa sajian tempatan pada Hari Malaysia ini.

Mari kita bersama-sama meraikan kepelbagaian budaya yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang benar-benar unik dan menjadi destinasi pilihan utama para pelancong.

Selamat Hari Malaysia!

Berita Harian X