IPOH: Kepelbagaian makanan tradisi yang wujud daripada kaum berbeza di Malaysia berupaya menjadi ejen penyatuan menerusi perkongsian dan asimilasi makanan.
Muruku misalnya, kuih yang amat sinonim dengan masyarakat India, kini turut digemari oleh kaum lain termasuk orang Melayu, malah ia dihidangkan untuk tetamu ketika menyambut Aidilfitri.
Uniknya, kuih tradisi itu turut diolah menjadi snek dengan pelbagai rupa dan rasa sehingga menjadi perniagaan turun-temurun seperti yang boleh diusahakan di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini.
Peniaga, S Vellan, 31, berkata beliau yang juga generasi keempat meneruskan perniagaan CTS Kacang Puteh Sdn Bhd menyediakan hampir 40 jenis muruku dihasilkan sendiri setiap hari.
Katanya, selain muruku berbentuk bulat yang sememangnya menjadi 'buruan' pelanggan, snek olahan muruku seperti pakoda, omapodi, Chennai mixture, Bombay mixture, pelbagai jenis kekacang dan ubi turut menjadi item laris di kedainya.
"Sejak dahulu rakyat Malaysia tidak mengira kaum singgah dan beli kacang putih yang kami hasilkan.
"Sekarang kacang puteh ini semua orang sudah dianggap produk Malaysia, bukan produk masyarakat India atau Tamil sahaja.
"Generasi atuk saya, N Thangavelu pernah ubah resipi untuk disesuaikan dengan selera masyarakat tempatan dan kami kini masih mengikuti resipi itu bagi mengekalkan cita rasa digemari pelanggan," katanya.
Beliau berpendapat, semangat perpaduan penting bagi mewujudkan keharmonian serta setiap rakyat negara ini juga seharusnya bangga kerana kita dibesarkan di negara berbilang bangsa.
"Dahulu pelanggan kami adalah dalam kalangan masyarakat India, tetapi sesuai dengan peredaran masa, snek kacang puteh menjadi makanan pelbagai kaum di Malaysia.
"Walau berbeza budaya, namun kita berkongsi makanan ini. Masing-masing bekerjasama membangun negara yang sejahtera hingga kini," katanya.
Snek tradisi diusahakan moyang
Berkongsi kisah permulaan perniagaan milik keluarganya, Vellan berkata perusahaan pembuatan snek tradisi dimulakan oleh moyangnya, N Chinnasamy pada 1930-an bertempat di kawasan perkampungan berdekatan Gunung Cheroh, Ipoh.
"Selepas insiden runtuhan batu kapur pada 1973, penduduk dipindahkan ke sini dan ramai peniaga bangkit semula berniaga snek tradisi yang lebih dikenali sebagai kacang puteh sehingga sepakat menamakan tempat ini Kampung Kacang Putih," katanya.
Seorang lagi pengusaha generasi keempat, M Poongody, 54, berkata beliau bersama suami T Selvaraja, 61, menguruskan perniagaan Enak & Ranggup yang menawarkan muruku, vadai, kacang putih dan manisan.
Menurutnya, keluarganya turut berkongsi sejarah sama seperti Vellan, di mana perusahaan kacang puteh bermula di Gunung Cheroh dengan pengasas, N Seeni dan isteri, Muthammal menjunjung bekas kayu dari satu tempat demi satu tempat khususnya sekolah, panggung wayang, stesen bas dan Pekan Lama Ipoh pada 1949
"Lama-kelamaan cara penjualan berubah kepada penggunaan basikal, kemudiannya motosikal dan akhirnya dapat membina premis dan kilang sendiri.
"Kacang putih pun sudah terkenal dalam kalangan kaum Melayu dan Cina hingga snek makanan ini sudah menjadi sebati dengan masyarakat majmuk di negara ini.
"Malahan kita juga mengeksport produk kacang putih buatan ke luar negara seperti Australia, Singapura, Amerika Syarikat dan Kanada, selain dijual secara dalam talian," katanya.