Selasa, 12 September 2023 | 10:18am

Mi kolok juadah pupuk perpaduan masyarakat

KUCHING: Tidak keterlaluan jika dikatakan mi kolok antara juadah yang menjadi wadah dalam memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta agama di Sarawak.

Ini kerana makanan tradisi itu bukan eksklusif untuk satu kaum sahaja, malah semua rakyat Sarawak tidak kira Melayu, Cina, Dayak, Orang Ulu serta lebih 30 lagi etnik lain yang menghuni Bumi Kenyalang menggemarinya.

Pergilah ke mana-mana kedai makan, gerai, restoran hingga ke hotel, pasti akan terlihat mi kolok menjadi menu utama, selain turut digemari oleh masyarakat di Semenanjung.

Mi kolok dihidangkan dalam pelbagai carak, iaitu mi kolok daging, mi kolok ayam dan mi kolok makanan laut. - Foto hiasan
Mi kolok dihidangkan dalam pelbagai carak, iaitu mi kolok daging, mi kolok ayam dan mi kolok makanan laut. - Foto hiasan

Malah, ia menjadikan mi kolok sebagai hidangan wajib untuk masyarakat pelbagai kaum dan bagi pelancong pula, tidak lengkap kunjungan ke Sarawak jika tidak menjamah makanan tradisional itu.

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, menyenaraikan mi kolok antara Makanan Warisan Kebangsaan.

Secara keseluruhan, sejak 2009 hingga kini sebanyak 213 makanan di negara ini disenaraikan sebagai Makanan Warisan Kebangsaan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Seorang peniaga di Matang Jaya, di sini, Zainon Zain, 55, berkata berikutan digemari semua lapisan masyarakat, mi kolok memang sesuai diangkat sebagai makanan perpaduan.

"Sebut sahaja bangsa apa, agama apa, asalkan rakyat Sarawak, pasti mereka menggemari mi kolok.

"Ini sekali gus menjadikan mi kolok sebagai identiti Sarawak yang memiliki pelbagai etnik dan agama yang berbeza," katanya.

Beliau berkata, walaupun hidangannya nampak ringkas, penyediaan mi kolok sebenarnya agak rumit kerana ada cara tertentu bagi memastikan kesempurnaan rasanya.

Mi kolok perlu dicelur di dalam air mendidih sekejap dan kemudian dibilaskan dalam air sejuk.

Mi kolok antara juadah dalam wadah memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta agama di Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari
Mi kolok antara juadah dalam wadah memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta agama di Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari

Kemudian mi itu dimasukkan semula ke dalam air mendidih dan toskan sebelum digaul dengan sos ikan, serbuk lada putih, minyak bawang putih, sos tiram dan kicap.

Sebelum dihidang, daging atau ayam dihiris nipis dan diletakkan di atas mi yang sudah digaul sebati.

Mi kolok asalnya adalah menu yang dibawa oleh masyarakat Cina yang datang berhijrah ke Sarawak ketika era pemerintahan Rajah Brooke.

Bagaimanapun, asimilasi budaya membolehkan masyarakat lain termasuk Melayu Sarawak turut menghasilkan mi kolok halal.

Dalam masyarakat Iban pula, mi kolok dikenali sebagai mi rangkai yang bermaksud mi kering.

Mi kolok dihidangkan dalam pelbagai jenis antaranya mi kolok daging, mi kolok ayam dan mi kolok makanan laut.

Setiap hidangan mi dilengkapi dengan sup, sambal kicap, daun bawang, daun sup serta sambal cili.

Kira-kira 100 nelayan bergotong-royong menarik perahu kolek menggunakan tali ke daratan setelah musim tengkujuh kini melanda negeri Pantai Timur di Kampung Pulau Gajah di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kira-kira 100 nelayan bergotong-royong menarik perahu kolek menggunakan tali ke daratan setelah musim tengkujuh kini melanda negeri Pantai Timur di Kampung Pulau Gajah di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X