Menjamu selera di lokasi berbeza dengan pelbagai hidangan lazat, pasti membuatkan ramai teruja untuk merasai kenikmatan itu.
Di restoran The Glam Lounge, umpamanya yang secara rasminya dibuka, pada 1 Julai lalu, mendukung falsafah 'Bringing Class to Cuisine' dengan mempelawa tetamu untuk mengunjunginya bagi pengalaman menikmati sajian yang melazatkan.
Restoran terletak di Hotel My Fame Seremban (dahulu dikenali sebagai Hotel City Kingdom) dan mudah diakses melalui Persimpangan Seremban (Labu), Lebuh Raya KL-Seremban.
Restoran ini terletak bersebelahan kaunter tetamu hotel tersebut. Dengan logo yang bercahaya lampu LED, mudah untuk anda menemui dan masuk untuk memulakan kembara gastronomi anda.
Dekorasi dinding berkilauan perak kontemporari moden dan lampu cendaliar menyerikan lagi rasa dan suasana di dalam restoran.
Sebelum sampai ke kaunter minuman, kata-kata motivasi iaitu 'Cooking is love made edible' disinari cahaya lampu LED yang mencerminkan jati diri cef restoran ini, iaitu Cef Mohd Zainal bin Omar.
Lebih mesra dikenali sebagai Cef Jay, beliau amat menggemari masakan Asia dan Barat.
Berketurunan Sabah dan Filipina, beliau membawakan kepakarannya selama 20 tahun dari seluruh dunia ke The Glam Lounge dengan meningkatkan pengalaman menjamu selera para pelanggannya.
Menu yang disajikan adalah luas dan Cef Jay membuat kelainan dengan mempersembahkan lebih banyak masakan tempatan kegemaran serta masakan Barat pilihan yang pastinya menggamit rasa.
Kategori makanan yang mesti dicuba adalah masakan khusus Glam Signature, set nasi Glam, From the Asian Wok, From the Western Kitchen, Pizza Pleasure, Kiddo's Corner dan pencuci mulut Glam Signature Dessert.
Bukan itu sahaja, beliau juga mempersembahkan menu berasingan Quick Bites seperti burger, potongan kambing, sandwich dan lain-lain untuk anda nikmati.
Di bahagian minuman pula, ketua pembancuh Hanafi atau 'Naffy' memperlihatkan kepakaran menyediakan pilihan mocktail yang tidak beralkohol untuk padanan kepada menu yang disediakan.
"Saya amat berbesar hati dengan pembukaan restoran baharu ini. Nama dan konsepnya adalah idea daripada isteri tercinta yang mempunyai minat mendalam terhadap makanan lazat dan mewah," kata pemilik dan pengurus My Fame Hotel dan The Glam Lounge, Saravanan Subramaniam.
Beliau menambah, "Kami menemui banyak jenis masakan yang mesti dicuba daripada kembara makanan kami dan The Glam Lounge lahir daripadanya.
"Inilah peluang kami untuk menyajikan pengalaman menjamu selera yang tiada seumpamanya kepada warga Seremban. Ia tampak glamour dari luar, tetapi berbaloi kepada wang anda," katanya.
Saravanan berpengalaman selama lebih 10 tahun dalam mengendalikan acara, serta memiliki beberapa perniagaan yang lain.
Beliau berhasrat untuk mengubah suai hotel ini dalam tempoh satu ke dua tahun akan datang, termasuk menaik taraf bilik, dewan dan satu lagi restoran atau bar di hotel tersebut.
Dengan pembukaan rasminya, restoran The Glam Lounge menawarkan promosi 'Beli 1 Percuma 1' untuk menu terpilih, sah sehingga 31 Julai ini.