Untuk masa terhad, salah sebuah premis makanan terkenal EQ akan membuat penampilan semula.
Restoran mewah Chalet, yang dikenali masakan benua pada dekad 1980-an akan tampil dalam bentuk 'pop-up' mulai 24 Julai hingga 12 Ogos ini, membawakan nostalgia pada zaman kegemilangannya di samping menarik peminat baharu.
Dahulu, restoran Chalet adalah sebuah restoran pemenang anugerah, indah dan menjadi tumpuan acara yang terletak di Hotel Equatorial asal.
Mulai 1973 sehinggalah hotel tersebut ditutup untuk dibangunkan semula, Chalet lokasi laris untuk pelbagai acara dan sambutan yang menjadi kenangan.
Ramai mengingati hiasan dalamannya yang eksklusif dan klasik dengan meja makan beralaskan kain linen putih, perkakas perak bergemerlapan dengan perkhidmatan hebat yang menandakan kemewahan dan kehebatan kulinari yang menggamit golongan diraja, sosialit dan glamor Malaysia pada zaman itu.
Restoran pop-up Chalet akan membolehkan beberapa masakan tradisi dipersembahkan dengan aksi masakan crepes flambé secara langsung.
Peminat Chalet tentunya akan gembira melihat beberapa masakan terkemukanya dihidangkan sekali lagi, termasuklah Émincé de Veau à la Zurichoise, tulang rusuk kambing panggang bersalut biji sawi, Swiss Cheese Fondue, Raclette Valaisanne dan Lobster Thermidor.
Selain itu, daripada menu ini juga akan disediakan Swiss Classic, Canard à la Presse yang terkemuka.
Bagaikan hidangan zaman kegemilangannya, daging rusuk panggang mewah akan dibawa melalui troli dan dihidang terus ke atas meja. Bagi seleksi pencuci mulut pula, terdapat Crêpes Suzette, Soufflé dan Sabayon ditawarkan semasa tempoh terhad ini.
Untuk lebih menggamit nostalgia, salah seorang daripada cef lama Chalet iaitu Krishnan Ramachandran juga akan ada untuk menhidangkan masakan dari zaman dahulu, membawakan rasa yang sama dan diingati.