SETIAP kali tiba Ramadan, sudah menjadi tradisi dan pemandangan biasa di Masjid Jamek Kampung Baru, menjadi tumpuan warga kota beratur panjang seawal Asar untuk mendapatkan bubur lambuk percuma.
Berbeza pula di Masjid Al Asma'ul Husna, Bandar Uda Utama, Johor Bahru, pula apabila Ramadan tahun ini, dewan terbuka di situ dibanjiri dengan kehadiran orang ramai untuk iftar percuma.
Suasana dilihat seolah-olah menghadiri kenduri perkahwinan atau acara keramaian dapat dilihat pada majlis iftar percuma di masjid berkenaan diadakan setiap hari sepanjang Ramadan ini bermula hari pertama puasa lalu.
Situasi di dewan terbuka masjid itu biasanya tenang bertukar meriah seawal selepas Asar, berikutan ramai termasuk yang berkeluarga mula mengambil tempat di hamparan tikar dibentangkan.
Apatah lagi, inisiatif Masjid Al Asma'ul Husna itu menerima sambutan luar biasa apabila sejak hari pertama Ramadan lalu, hampir 1,000 umat Islam hadir ke majlis iftar percuma itu.
Mereka yang hadir juga dilihat ramah bertegur sapa dengan hadirin lain yang baru tiba sekali gus mewujudkan suasana meriah sambil menunggu waktu berbuka.
Kehadiran ahli kariah masjid dan sukarelawan mula membuat persiapan menyusun makanan dimasak selain diinfaq orang ramai di dalam dewan terbuka berkenaan, lebih membuatkan suasana seperti majlis keramaian dan kenduri makin terasa.
Apabila tiba waktu ahli kariah mula mengagihkan talam selain pinggan berisi kuih-muih dan manisan kepada tetamu mengunjungi masjid ini.
Kehadiran kanak-kanak menjadi sukarelawan mengagihkan talam kepada ratusan tetamu sudah duduk mengambil tempat juga pemandangan yang mengharukan.
Menariknya, mereka diberikan talam nasi berlauk untuk dikongsi empat orang, lengkap dengan kurma, buahan selain kuih-muih, manisan selain minuman panas dan sejuk.
Sambutan luar biasa
Pengerusi Al Asma'ul Husna, Mohamad Sapar Musir, 62, berkata inisiatif itu bermula Ramadan tahun lalu selepas sektor ekonomi dan sosial mula pulih susulan wabak COVID-19.
Katanya, menyedari ramai golongan B40 terkesan dan terjejas susulan wabak COVID-19 terutama tidak ada pekerjaan dan tiada akses untuk makanan lengkap, ia memberikan idea ahli jawatankuasa masjid (AJK) menganjurkan buka puasa percuma untuk meringankan bebanan mereka.
"Majlis iftar percuma tahun lalu menerima sambutan biasa sahaja, namun kami tidak sangka sambutan tahun ini cukup luar biasa apabila hampir 1,000 umat Islam hadir setiap hari sejak hari pertama Ramadan sehingga setiap sudut dewan terbuka masjid penuh.
"AJK dan ahli kariah masjid bergotong-royong menyediakan hidangan utama iaitu beras antara 70 hingga 80 kilogram (kg) bersama tiga lauk setiap hari, dengan persediaan dibuat selepas solat tarawih dan proses memasak dimulakan selepas solat Subuh.
Terima sumbangan daripada pelbagai pihak
Sejak inisiatif iftar percuma masjid kami tular di media sosial, ramai dermawan tampil membantu dengan menyumbang wang untuk membeli bahan masakan, malah ada juga yang menyumbang makanan terutama kuih-muih, manisan serta buah.
"Jika ada dermawan yang mahu menyumbang untuk program iftar percuma ini, kami amat alu-alukan kerana setiap hari kami memperuntukkan RM4,000 bagi membeli barangan basah untuk lauk-pauk, " katanya ketika ditemui.
Pada mulanya, konsep iftar percuma dibuat secara hidangan bufet.
"Selepas melihat sambutan amat luar biasa, ramai datang, kami memutuskan menghidangkan makanan di dalam dulang untuk dikongsi empat orang setiap set, bagi mengelak pembaziran," katanya.
Bantu kurangkan beban B40
Pengunjung, Nor Atikah Sidek,32, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, berkata program iftar percuma itu amat membantu keluarganya yang terjejas sejak wabak COVID-19.
"Sejak tahun lalu, saya bersama suami, Rizal Husin, 43, bersama empat anak kami tidak pernah ketinggalan hadir ke program ini yang amat membantu meredakan bebanan kami.
"Alhamdulillah, makanan dihidangkan sedap-sedap semuanya. Selepas berbuka kami sekeluarga turut akan menyertai solat Maghrib, Isyak dan tarawih bersama ahli kariah yang lain," katanya.
Pekerja swasta, Norazmah Mohamedun, 47, berkata program iftar percuma itu amalan mulia bagi mengimarahkan masjid pada Ramadan sekali gus memberi manfaat kepada umat Islam memerlukan.
"Selain menghidupkan suasana Ramadan, ia boleh menjadi latihan amat baik golongan muda mendekati masjid selain sentiasa bersyukur dengan rezeki diberi Allah," katanya.