Bubur lambuk sinonim pada Ramadan, tapi jika menggunakan daging rusa antara bahan asasnya, ia agak jarang.
Lazimnya, bubur lambuk dimasukkan daging ayam atau lembu. Namun, sekumpulan cef dari Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan membawa kelainan dengan menggunakan daging rusa dipotong dadu bersama campuran pucuk midin membangkitkan aroma.
Cef Eksekutifnya, Zaharul Nizam Zainal Abidin berkata, menu bubur lambuk daging rusa, mendapat permintaan pelanggan setiap kali bulan puasa.
"Penyediaannya sama seperti bubur lambuk biasa cuma saya menggunakan daging rusa yang dipotong dadu bersama pucuk midin yang dimasak selama 45 minit.
"Daripada maklum balas diterima pengunjung, rata-rata memberi pujian kerana bubur lambuk dengan menu eksotik ini lebih lemak berbanding ayam dan daging lembu," katanya.
Menu bubur lambuk daging rusa antara 190 juadah unik disediakan di hotel berkenaan sempena Ramadan dengan tema 'Souq Ramadan, Selera Warisan'.
Pelbagai menu antarabangsa jadi tarikan
Pengurus Besarnya, Mohd Iqmal Muslim berkata, semua juadah unik dengan campuran masakan tradisional, Arab, Cina, Barat dan Nusantara dihidangkan secara bergilir selama enam hari dan dengan harga RM98 untuk dewasa manakala RM49 (kanak-kanak empat hingga 12 tahun).
Menu lain, antaranya nasi maghribi, gulai ikan darat warisan, siput belitung masak lemak Daun Kaduk, ikan bakar air asam dan itik Salai masak lemak cili padi.
"Setiap RM1 daripada pembelian bufet Ramadan disumbangkan kepada rumah asnaf fakir atau miskin terpilih," katanya.