Jumaat, 24 Februari 2023 | 8:30am
Deretan lima gerai kontena jual pelbagai menu jadi tarikan pengunjung. - NSTP/Paya Linda
Deretan lima gerai kontena jual pelbagai menu jadi tarikan pengunjung. - NSTP/Paya Linda
Siti Sarimah di hadapan kontenanya di Bandar Baharu, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda
Siti Sarimah di hadapan kontenanya di Bandar Baharu, Gua Musang. - NSTP/Paya Linda
Laksa telur sarang antara menu digemari ramai. - NSTP/Paya Linda
Laksa telur sarang antara menu digemari ramai. - NSTP/Paya Linda
Minuman turut digemari pengunjung khususnya generasi muda.- NSTP/Paya Linda
Minuman turut digemari pengunjung khususnya generasi muda.- NSTP/Paya Linda
Pelbagai pilihan ‘topping’ piza dari gerai Nurmasturina. - NSTP/Paya Linda
Pelbagai pilihan ‘topping’ piza dari gerai Nurmasturina. - NSTP/Paya Linda

Aneka makanan dari gerai kontena pikat pengunjung

Deretan lima gerai kontena pelbagai warna dengan hiasan lampu neon sudah cukup membuatkan pengunjung teruja untuk singgah di sini.

Tambah meriah, cuti musim persekolahan ini turut menjadi lubuk rezeki kepada peniaga kontena menjual pelbagai pilihan makanan hingga jadi tumpuan perantau yang singgah di Bandar Baru Gua Musang, Kelantan.

Gerai kontena terletak berhadapan Hospital Gua Musang dengan beraneka warna menyediakan pelbagai menu setia menanti kehadiran pengunjung.

Malah, suasana lebih meriah dan santai pada waktu malam dengan hiasan lampu neon dan menikmati sejuknya angin malam Gua Musang secara terbuka.

Peniaga, Siti Sarimah Mat Junoh, 40, berkata sejak beroperasi pada awal Januari lalu, perniagaannya menerima kunjungan sangat menggalakkan.

Pembinaan kontena dengan pelbagai warna itu berjaya menarik ramai pelanggan, malah terletak di kawasan sangat strategik.

"Tidak dinafikan dengan inisiatif pembinaan kontena ini oleh Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) secara tidak langsung berjaya membantu kami peniaga di kawasan ini menaikkan jualan kami di sini.

"Lima kontena ini menyediakan pelbagai menu yang menarik antaranya pelbagai pilihan kopi, makan barat, serta makanan Korea dan tidak lupa juga selera tempatan.

"Malah, di kontena saya sendiri menjual pelbagai pilihan makanan korea seperti ramen, laksa dan lamb chop," katanya.

Gerai kontena miliknya sahaja terdapat lebih 20 menu yang boleh dipilih pelanggan yang datang.

"Pada permulaan terbabit dalam perniagaan ini, saya hanya bermula dari rumah dan seterusnya membuka gerai di tepi jalan.

"Apabila pihak MDGM membuka peluang ini, saya terus membuat kertas kerja bagi memohon kontena ini dan Alhamdulillah terpilih untuk menyewa kontena ini," katanya.

Tingkatkan ekonomi keluarga

Penjual Pizza, Nurmasturina Najihah Hassin, 26, berkata dia bersyukur kerana terpilih untuk menyewa kontena yang disediakan oleh MDGM itu.

"Sejak beroperasi piza kami mendapat tempat di hati pelanggan. Malah, setiap hari kira-kira 70 biji piza yang habis dijual.

"Pelanggan yang datang bukan hanya terdiri daripada pelanggan sedia ada, tetapi juga pelanggan baharu terutama mereka yang melalui daerah ini untuk pulang ke kampung halaman.

"Harga sewa bulanan juga sangat berpatutan, iaitu RM350 sebulan dan kontena yang disediakan sudah siap dicat dan kami hanya perlu mendekorasi kontena masing-masing mengikuti kreativiti sendiri," katanya yang sebelum ini berniaga dengan membuka gerai di tepi jalan.

Nurmasturina berkata, gerainya menjual pelbagai pilihan piza yang berharga di bawah RM20.

"Harga piza berpatutan iaitu RM20 ke bawah dengan pelbagai pilihan 'topping'.

"Saya harap perniagaan di tapak ini akan terus menerima pelanggan yang tidak putus-putus dan sekali gus membantu meningkatkan ekonomi kami," katanya.

Berita Harian X