Isnin, 9 Mei 2022 | 10:30am
Penyediaan kuih bahulu dibakar dengan sabut, tempurung kelapa atau arang semakin sukar ditemui. - Foto hiasan
Penyediaan kuih bahulu dibakar dengan sabut, tempurung kelapa atau arang semakin sukar ditemui. - Foto hiasan

Kuih 'tunjuk' ancam kuih tradisional

KETIKA ini, rata-rata warga perantau sudah kembali ke kota selepas meraikan Aidilfitri bersama ayah, bonda dan saudara, pasti masih teringat-ingat meriahnya selepas sekian lama tidak berkumpul beramai-ramai, riuh-rendah dengan gelak tawa serta senda-gurau sambil berkongsi cerita pelbagai topik.

Bagi yang tidak mempunyai keluarga, perayaan itu tetap gamat dengan mengunjungi rumah teman, taulan dan saudara-mara serta menikmati pelbagai juadah.

Mereka juga puas menikmati ketupat, lemang, rendang, lontong, kuah kacang dan lodeh serta pelbagai warna, bentuk kuih-muih antara juadah biasa dihidang pada hari lebaran.

Namun, dalam kemeriahan itu, agak sukar ditemui kuih-muih tradisional Melayu, sebaliknya banyak dihidangkan biskut moden yang sudah dilakukan inovasi dan nama pun 'diinggeriskan', selain ada pula yang tular.

Pelbagai biskut moden seperti almond london, brownies, tat nutella, red valvet, cip coklat, semperit susu, biskut rainbow dan sebagainya mendominasi hidangan, sehingga menenggelamkan kuih tradisional.

Antara kuih moden yang popular dihidangkan ketika raya. - Foto hiasan
Antara kuih moden yang popular dihidangkan ketika raya. - Foto hiasan

Jarang kita jumpa kuih halwa maskat, penganan sirat, biskut buah kana, kuih siput, biskut dam, biskut sarang semut, bahulu lapis dan gulung atau kuih bangkit dibakar dengan tempurung kelapa atau arang.

Selain itu, agar-agar kering, kuih rotan, kuih gunting, kuih ubi kayu bersira, inang-inang, emping, putu kacang, biskut sampan, biskut tiram, biskut cili manis, kuih kapit dan lain-lain disediakan cara tradisional pun sudah tiada.

Jika ada kuih itu rasanya kurang enak seakan hilang jiwa atau 'roh' keasliannya berikutan pembuatannya sudah moden, selain kalau malas beli sahaja atau seperti orang zaman ini gelar 'kuih tunjuk'.

Generasi kini tak kenal kuih tradisional

Mengapa kuih tradisional semakin sukar ditemui dan kian hilang rohnya?

Mengulas mengenainya Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Shahrim Karim, berkata kebanyakan kuih itu tidak didedahkan kepada generasi muda.

Prof Dr Shahrim Karim
Prof Dr Shahrim Karim

Ini membuatkan generasi sekarang tidak sedar kewujudan kuih tradisional yang amat popular setiap kali Aidilfitri.

"Kuih-kuih ini hanya orang tua-tua tahu membuatnya. Apabila mereka sudah tiada dan jika anak-anak buat rasanya sudah tidak sama lagi," katanya.

Justeru, seharusnya ibu bapa memainkan peranan penting memperkenalkan makanan ini kepada anak.

Namun, generasi masa sekarang juga semakin kurang mengenali kuih itu mungkin disebabkan ibu bapa sendiri tidak menggemarinya, malah ada pula kalangan mereka tidak kenal kuih tradisional berikutan kebanjiran kuih moden di pasaran.

"Ini kerana kuih moden senang diperoleh dan murah. Sesetengahnya tiada kualiti kerana dibuat di kilang, berbanding kuih tradisional mengambil masa lama dan kaedah penyediaannya sukar," katanya.

Malah, sukar ditemui kuih tradisional yang benar-benar sedap. Lantas jika ingin beli atau buat biskut moden resipi banyak dipaparkan di laman sosial, selain dibakar menggunakan ketuhar.

Kuih bahulu yang disediakan cara tradisional rasanya lebih enak berbanding dibuat cara moden. - Foto hiasan
Kuih bahulu yang disediakan cara tradisional rasanya lebih enak berbanding dibuat cara moden. - Foto hiasan

Tiada usaha memartabatkan kuih tradisional

Shahrim menegaskan usaha memartabatkan kuih tradisional perlu dilakukan bagi mengelak kuih terbabit terus pupus di dunia.

Ketika ini, Jabatan Warisan Negara sedang gigih mendokumenkan resipi kuih tradisional untuk dibukukan supaya terus terpelihara.

Namun, usaha itu masih tidak mencukupi dan masih banyak perlu dilakukan untuk memperkenalkan kuih tradisional kepada umum terutama generasi muda.

"Ini termasuk membuat demonstrasi memasak cara kuih tradisional di pelbagai platform sesuai.

"Bukan sahaja generasi muda tidak kenal, sebenarnya ramai kalangan kita yang tua sudah lupa akan kuih tradisional apabila lama tidak melihatnya," ulasnya.

Selain itu, usaha mengekalkan warisan makanan itu adalah dengan kerap mengadakan festival makanan secara besar-besaran.

Biskut putu kacang hijau antara kuih tradisional yang popular. - Foto hiasan
Biskut putu kacang hijau antara kuih tradisional yang popular. - Foto hiasan

Festival itu perlu memberi tumpuan kepada mempromosikan semua makanan tradisional Malaysia kerana terdapat terlalu banyak makanan yang unik dan enak namun sudah dilupakan ketika ini.

"Saya yakin, jika usaha ini berhasil makanan tradisional ini akan lebih dikenali dan mula mendapat tempat di hati generasi muda," katanya.

Kuih tradisional tiada nilai sentimental

Penolong Dekan Kualiti dan Strategi, Jabatan Sains Makanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Babul Airianah Othman, beranggapan tiada nilai sentimental dalam diri membuatkan seseorang itu tidak berminat dengan kuih tradisional.

Katanya, perasaan itu mungkin hanya ada pada mereka yang benar-benar menghargai, suka dan kagum. Malah mereka rasakan jika tidak dihidangkan ketika Aidilfitri dirasakan kurang lengkap.

Babul Airianah Othman.
Babul Airianah Othman.

"Sama seperti ketupat, lemang dan rendang wajib ada setiap kali lebaran. Begitu juga kalau suka kuih tradisional pasti berusaha mendapatkan kuih itu.

"Selain pendedahan perlu ada minat untuk memastikan kuih itu sentiasa ada seperti belajar membuat cara betul daripada ibu bapa atau orang tua yang mahir.

"Kuih tradisional tidak mudah dibuat walaupun kebanyakan resipi senang kerana hanya menggunakan beberapa bahan, tetapi jika teknik salah kuih tidak menjadi.

"Teknik penting bagi memastikan keasliannya kerana kalau hanya mengikut resipi bimbang rasanya tidak sama.

Contoh bahulu banyak dijual di pasar raya dibancuh menggunakan mesin dan dimasak menggunakan ketuhar, rasanya sedikit rangup di bahagian luar.

"Berbanding bahulu dibancuh, diputar dengan tangan, kemudian dibakar menggunakan sabut kelapa dan arang tekstur lebih lembut serta enak.

"Kedua-dua bahulu ini menggunakan resipi sama tetapi teknik berlainan menjadikan semua terutama rasa akan berbeza," katanya.

"Begitu juga dengan resipi kuih tradisional lain, perlu minat membuat dan tidak perlu ada alasan nak mudah pilih saja kuih moden," katanya.

Kuih inang-inang jarang ditemui sebagai hidangan sambutan Aidilfitri. - Foto hiasan
Kuih inang-inang jarang ditemui sebagai hidangan sambutan Aidilfitri. - Foto hiasan

Malaysia kaya adat, budaya dan warisan

Rakyat Malaysia penuh dengan adat, budaya dan warisan, kita sepatutnya berbangga dengan makanan tradisional yang ada.

Babul Airianah berkata, jika dilihat dalam drama Korea, kebanyakan drama negara akan menyelitkan makanan tradisi mereka walaupun sedikit seperti kimchi, bibimbab dan jjigae.

Rakyat di negara ini pula mengenali makanan dari negara maju itu menerusi drama yang dipertontonkan di sini.

"Saya rasa tak salah makanan tradisional turut diselitkan dalam drama supaya penonton terutama generasi muda kenal makanan tradisional negara.

"Ia sekali gus membuatkan mereka mencari makanan itu seterusnya menyebabkan permintaan meningkat dan mungkin ada yang mahu membuatnya," katanya.

Impak daripada itu juga banyak restoran makanan Korea di sini yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, jelas menunjukkan pengaruh itu datang daripada drama.

Tidak salah jika kebanyakan drama berbuat demikian dengan menunjukkan budaya dan makanan tradisional Malaysia.

"Kita tidak perlu fokuskan kepada tontonan di luar negara seperti dibuat drama Korea, tetapi kita fokuskan dulu kepada golongan muda dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Kita belum nampak usaha ke arah itu, namun saya yakin, jika ia dilaksanakan, makanan tradisional pasti akan sentiasa dikenali.

"Saya akui mungkin usaha ini agak sukar, tetapi amat yakin ia mampu dilaksanakan jika mendapat kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Babul Airianah berkata, melihat keadaan industri makanan tradisional negara terutama kuih yang suram, beliau juga bimbang keadaan berterusan akan membuatkan ia pupus di telan zaman.

"Saya pula sudah didedahkan dengan kuih tradisional sejak kecil. Kuih tradisional sedap dan mempunyai keunikan tersendiri.

"Mungkin bagi mereka yang tidak terdedah kepada warisan ini, sudah pasti tidak kisah kerana merasakan banyak lagi makanan lain boleh dipilih, tapi tidak untuk saya.

"Oleh itu, saya amat berharap makanan tradisional terus wujud dan kembali dihidangkan oleh semua golongan usia," katanya.

Berita Harian X