Apabila anda meronda di sekitar Shah Alam, Selangor, sangat mudah menjamu selera terutama bagi mereka yang menggemari makanan berasaskan kari memandangkan restoran mamak ‘bersepah’.
Tidak keterlaluan setiap satu atau dua kilometer (km) anda merayau, pasti terjumpa premis makanan berkenaan.
Justeru, bagi menampilkan kelainan terutama dalam kalangan penduduk sekitar Shah Alam.
Restoran Banana Leaf terletak di Batu 3, memiliki keistimewaan apabila satu-satunya restoran nasi daun pisang dimiliki orang Melayu sepenuhnya.
Pemilik restoran, Sharifah Azareena Syed Mohd Yusof, berkata beliau meneruskan legasi perniagaan keluarga berasaskan makanan, mencuba sesuatu dengan memberi lebih pilihan dan mewarnai cita rasa pelanggan dengan menampilkan sajian warisan India terutama nasi daun pisang berserta lauk-pauknya yang ‘meletup’.
Tambahnya, beliau mendapatkan khidmat cef dan barisan tukang masak yang pernah bekerja di beberapa restoran daun pisang terkemuka di Kuala Lumpur bagi memastikan cita rasa makanan India tidak ‘ke laut’.
Jaminan rasa daripada ramuan asli pastinya dinikmati tanpa rungutan daripada pelanggan yang begitu mengambil kira faktor kualiti sajian.
Ramuan sajian India
“Premis makanan sentiasa menjadi perhatian kerana satu-satunya restoran nasi daun pisang terdapat di Shah Alam dan berstatus halal. Jangkaan orang ramai merasai sajian warisan makanan India pasti tinggi dan kami perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dalam penyediaan makanan sentiasa dipatuhi,” katanya lagi
Setiap set nasi didatangkan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran iaitu bunga kubis serta pegri timun (campuran lobak, timun dan bawang). Selain itu empat jenis kuah pilihan disediakan iaitu dal, kari ikan, bayam kerekari dan rosam, selain sambal (campuran cili kering masin).
Secara peribadi, penulis begitu menggemari pilihan lauk-pauk tambahan untuk dinikmati bersama nasi daun pisang terutama kambing sos lada hitam dan ikan lemak kuning, menggunakan ikan tenggiri dengan keenakan luar biasa.
FAKTA NOMBOR
* RM9
harga nasi daun pisang asas
bersama kuah-kuah dan sayur-sayuran
* 5 kilogram
daging kambing diperlukan sehari
bagi masakan sos lada hitam dan kurma
* 60 orang
pelanggan dianggarkan sehari
INFO
------
* Restoran Banana Leaf terletak di No 3, Jalan Mesra 1, Taman Mesra, Batu 3, Shah Alam, Selangor (bersebelahan Kafe Tanah Aina).
* Beroperasi setiap hari kecuali Isnin mulai jam 8 pagi hingga 10.30 malam.
* Lauk-pauk kegemaran ramai apabila menikmati nasi daun pisang ialah kari ayam, kambing sos lada hitam dan sotong tiga rasa.