Jumaat, 17 Mei 2024 | 8:57am
Hamparan rumput laut terbesar di Semenanjung terletak di Beting Merambong, Gelang Patah. - NSTP/Omar Ahmad
Hamparan rumput laut terbesar di Semenanjung terletak di Beting Merambong, Gelang Patah. - NSTP/Omar Ahmad
Spesies siput, Melo melo, siput Kilah. - NSTP/Omar Ahmad
Spesies siput, Melo melo, siput Kilah. - NSTP/Omar Ahmad
Cerianthus sp., Sea anamone yang terdapat di Beting Merambong. - NSTP/Omar Ahmad
Cerianthus sp., Sea anamone yang terdapat di Beting Merambong. - NSTP/Omar Ahmad

Rumput laut 'penjaga' alam sekitar

Biarpun berhadapan dengan pembangunan pesat di sekeliling Forest City dekat Gelang Patah, hamparan rumput laut di Beting Merambong yang terletak di Muara Sungai Pulai masih lagi bertahan.

Malah, kawasan seluas 26.1 hektar ini yang akan muncul di permukaan apabila keadaan air laut surut, menjadi hamparan rumput laut subtidal terbesar di Semenanjung Malaysia.

Berbeza dengan paya bakau yang berfungsi sebagai penahan ombak, hamparan rumput laut ini juga mempunyai peranan sama penting sebagai penapis dan taman permainan atau nurseri bagi kehidupan lebih 100 spesis flora dan fauna.

Justeru itu, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan dijalankan antara Country Garden Pacific View Sdn Bhd (CGPV), pemaju Forest City dengan kerjasama strategik sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ia untuk memastikan keseimbangan ekosistem antara pembangunan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar di kawasan pembangunan berkenaan terjaga.

Profesor Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM, Prof Dr Muta Harah Zakaria yang juga koordinator projek - Pemantauan dan Penilaian, Penyesuaian dan Pemulihan Ekosistem Rumput Laut Muara Sungai Pulai bagi Forest City, berkata .

selain menempatkan kawasan pertumbuhan rumput laut, Beting Merambong itu juga adalah habitat kepada lebih 100 flora dan fauna.

"Terdapat 17 spesies rumput laut yang dikenal pasti berada di perairan Malaysia, dan uniknya di Beting Merambong, 12 daripadanya hidup dengan subur di sini.

"Spesies rumput laut yang ada di sini adalah Enhalus acoroides, Thalassia hemprichii, Halophila major, Halophila minor, Halophila ovalis, Halophila spinulosa, Halophila decipiens, Halophila beccarii, Halophila nipponica, Halodule pinifolia, Halodule uninervis dan Cymodocea serrulata.

Muta Harah menunjukkan spsies rumput laut, Enhalus acoroides, Setu yang terdapat di Beting Merambong. - NSTP/Omar Ahmad
Muta Harah menunjukkan spsies rumput laut, Enhalus acoroides, Setu yang terdapat di Beting Merambong. - NSTP/Omar Ahmad

"Ekosistem rumput laut ketika ini menghampiri keluasan semula jadi iaitu 26.3 hektar pada 2013 sebelum penambakan kawasan Forest City.

"Aktiviti pemonitoran dan penanaman semula rumput laut dilaksanakan sejak 2015 untuk membantu pertumbuhan rumput laut yang terkesan akibat penambakan, dan agar ia mencapai keluasan asal ataupun melebihi," katanya kajian ini dijalankan bersama dengan pasukan penyelidik lain di UPM.

Selain 12 spesies rumput laut, pelbagai jenis siput dan kerangan juga boleh dilihat, begitu juga pelbagai spesis timun laut, tapak sulaiman, ikan serta kuda laut berbintik boleh ditemui di hamparan rumput ini.

Rumput laut jaga alam sekitar

Muta Harah yang juga Ketua Projek Program Penanaman dan Pemulihan Rumput Laut di Beting Merambong berkata, rumput laut juga memainkan peranan dalam mengawal selia persekitaran lautan.

"Hasil kajian juga mendapati hamparan rumput laut di Beting Merambong ini menjadi kawasan sumber makanan utama bagi dugong, hasil penemuan kesan ragutan mamalia itu.

"Rumput laut adalah satu-satunya makanan bagi Dugong, dia memilih untuk dia tidak makan jenis rumput laut yang besar seperti Enhalus acoroides atau Setu sebab nanti mulut dia luka.

"Dugong akan makan rumput kecil seperti Halophila ovalis, Halophila major, Halophila spinulosa dan Thalassia hemprichii, itu nama sainstifik rumput laut, tetapi nama kampung orang panggil rumput dugong.

"Dugong kebiasaannya datang ke kawasan rumput laut waktu air pasang. Semasa air pasang kawasan ini sepanjang 8 hingga 10 jam dugong akan mengembara beratus kilometer untuk cari makan, dan akan singgah makan di kawasan ini.

Menyentuh proses pemuliharaan ekosistem rumput laut di Beting Merambong, Muta Harah mendedahkan kesan pembangunan beting ini terpisah kepada dua bahagian pada 2015.

Namun hasil usaha menerusi projek penanaman dan pemulihan rumput laut, serta kepatuhan pihak Forest City yang mengambil tindakan pantas.

"Beting Merambong kini tumbuh dengan subur dan kembali luas. Proses penanaman dan pemulihan ini dilakukan secara berfasa bermula tahun 2016, 2017, 2018, 2019 dan berterusan sehingga tahun 2023.

"Proses ini akan diteruskan hingga di masa akan datang untuk memantau pemuliharaan ekosistem rumput laut tersebut.

"Antara usaha yang dilakukan pemaju itu ialah memasang tabir kelodak dua lapis, memantau kualiti air setiap bulan dan menanam semula rumput laut di kawasan yang tidak ditumbuhi.

"Kewujudan kawasan pembangunan hartanah Forest City dan juga beting Merambong membuktikan pembangunan infrastruktur moden dan kelestarian alam sekitar dapat bergerak secara seiring dengan menitikberatkan pemuliharaan alam sekitar dan pemonitoran pertumbuhan rumput laut.

Berita Harian X