Selasa, 7 Mei 2024 | 8:40am

Lorong sunyi jadi taman

LORONG belakang rumah yang biasanya sunyi dan jarang dipedulikan, apatah lagi kalau bau busuk dan semak hingga kawasan itu dikesampingkan meskipun lokasinya terletak di pinggir bandar.

Namun, berbeza lorong belakang dan tepi kediaman di Taman Perwira Setia Indah, Gombak, Selangor suasana begitu damai dan cantik apabila dipenuhi dengan pelbagai spesies tanaman membuatkan seakan-akan di dalam sebuah taman bunga dan kebun sayur berwarna-warni.

Mana tidaknya, penduduk di situ semuanya ringan tulang apabila mereka 'berkumpul' melakukan aktiviti berkebun, malah berkongsi juadah petang atau sekadar bersantai bagi menghayati kehijauan hasil usaha sepakat jiran yang dipanggil 'Garden 8'.

Lorong belakang rumah dihiasi dekorasi dan ditanam pelbagai tanaman. - NSTP/Shahril Badri Saali
Lorong belakang rumah dihiasi dekorasi dan ditanam pelbagai tanaman. - NSTP/Shahril Badri Saali

Aktiviti tanaman yang dimulakan oleh lapan pemilik rumah pada Oktober 2021, kini selepas tiga tahun, berubah landskap dan berkembang jauh sehingga 200 meter dengan setakat ini lebih 100 pemilik kediaman sudah mengambil bahagian.

Idea berkebun belakang rumah bermula ketika negara berjuang memerangi COVID-19 melalui pelbagai usaha termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan membuatkan Aida Haniza Adnan dan suami, Iqmal Fajri Danial, masing-masing berusia 55 tahun, mengisi masa terluang menanam sayur-sayuran.

Usaha bertani pasangan suami isteri itu bagaimanapun menarik minat tujuh jiran lain hingga mereka tidak 'lokek' berkongsi dana mengindahkan kawasan itu termasuk membina laluan pejalan kaki serta menambah pelbagai dekorasi menarik.

"Pelbagai jenis pokok bunga serta tanaman hiasan, sayur-sayuran dan herba diusahakan di sini sekali gus memberi kepelbagaian dan memanfaatkan sepenuhnya tanah terbiar.

"Dengan keluasan kebun komuniti sekarang ini, kalau berjalan dapat 2,000 langkah dan sekiranya membuat lima pusingan 'Garden 8' dapat 10,000 langkah.

Pelbagai spesies tanaman hiasai mewarnai lorong belakang di Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali
Pelbagai spesies tanaman hiasai mewarnai lorong belakang di Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali

"Berikutan tidak mahu ia menampakkan ini kebun, kami mendirikan pintu gerbang sebagai 'penyambut tetamu' selain melengkapkannya dengan penunjuk arah bandar utama dunia, stesen cuaca, 'orang-orang', pelan keselamatan kebakaran dan alat pemadam api di sini secara berperingkat," katanya yang memaklumkan sehingga kini terdapat lima fasa tanaman 'Garden 8'.

Ada 50 jenis tanaman

Lebih menarik pelbagai tanaman yang lengkap dengan papan tanda, menambahkan informasi mengenai nama tanaman yang mungkin jarang dilihat atau ditanam di kawasan bandar.

Katanya, terdapat lebih 50 jenis tanaman antaranya sawi, bayam, terung, bayam Brazil, kucai, salad, jambu batu, lengkuas, bendi, tomato, ketumbar Jawa, pokok air mata pengantin, peria, markisa, selasih serta kolam ikan membuatkan tidak perlu lagi ke kedai.

Turut disediakan kolam ikan menambah seri kediaman dan menceriakan suasana taman. - NSTP/Shahril Badri Saali
Turut disediakan kolam ikan menambah seri kediaman dan menceriakan suasana taman. - NSTP/Shahril Badri Saali

"Tanaman seperti pandan, limau kasturi, limau purut, daun kesom, serai, kunyit serta herba Inggeris seperti rosemary, pasli, basil yang kerap digunakan dalam masakan, boleh dipetik dari pintu dapur atau minta dari jiran.

"Kebun komuniti di sini mempraktikkan gaya hidup hijau dengan menggunakan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), kitar semula sisa dapur dan kebun untuk dijadikan baja kompos serta mengitar semula 3R (plastik, tin dan kertas)," katanya menunjukkan peralatan kebun di dalam stor penyimpanan.

Aida Haniza yang bersara tahun lalu, kini mempunyai lebih banyak masa terluang menanam tomoto, cili, peria, terung dan aktiviti taninya itu membantunya menjimatkan belanja dapur kerana semua di tanam sendiri.

Aida Haniza bersama taman tomato yang diusahakan di Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali
Aida Haniza bersama taman tomato yang diusahakan di Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali

"Dahulu memang saya sudah menanam tetapi ia tidak seragam apabila polibeg sayur-sayuran diletakkan di laman depan mencacatkan pemandangan pokok hiasan.

"Jadi apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lorong belakang yang sebelum ini terbiar dimanfaatkan untuk berkebun dan sangat memberi kepuasan apabila tanaman membuahkan hasil dan lebihannya dijual ketika sesi jualan Ahad setiap akhir bulan," katanya.

Tinggi semangat kejiranan

Katanya, semangat kejiranan mereka juga semakin bertambah hasil transformasi lorong belakang rumah membuatkan mereka saling menyokong perniagaan diusahakan yang sebelum ini tidak diketahui ekoran masing-masing tidak kenal rapat.

"Berikutan kebun komuniti kami ini 'menjadi', kami banyak menyertai pertandingan dan mendapat pengiktirafan daripada banyak agensi serta mendapat sokongan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) termasuk suntikan dana.

Iqmal Fajri (dua dari kanan) bersama penduduk yang mengusahakan Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali
Iqmal Fajri (dua dari kanan) bersama penduduk yang mengusahakan Garden 8. - NSTP/Shahril Badri Saali

"Kawasan perumahan dibina 1960-an yang mana lorong belakang tidak boleh dilalui kenderaan. Berikutan ini menonjolkan teknologi hijau kami pernah menerima geran kecil kecil teknologi berjumlah RM28,000 daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor serta beberapa kali menerima kunjungan Menteri Besar Selangor, tokoh politik dan lain-lain," katanya.

Erat silaturahim sesama jiran

Dalam pada itu, Iqmal Fajri yang juga Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Taman Perwira Setia Indah, berkata kawasan perumahannya itu pernah dikenali Batu 6 kerana terletak sejauh 6 batu dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Selain minatnya sendiri bertani, 'Garden 8' disifatkan sebagai projek komuniti yang merintis konsep hijau melalui aktiviti kelestarian tanaman selain mencetuskan silaturahim sesama jiran.

"Ia bukan saja menyuburkan minat berkebun, tetapi menjadikan aktiviti komuniti lebih menyeronokkan, kerana di ruang kecil bandar, kegiatan bercucuk tanam dapat disemarakkan.

Lorong belakang dan tepi kediaman di Taman Perwira Setia Indah, Gombak, Selangor suasana begitu damai dan cantik apabila dipenuhi dengan pelbagai spesies tanaman. - NSTP/Shahril Badri Saali
Lorong belakang dan tepi kediaman di Taman Perwira Setia Indah, Gombak, Selangor suasana begitu damai dan cantik apabila dipenuhi dengan pelbagai spesies tanaman. - NSTP/Shahril Badri Saali

"Kami juga menubuhkan koperasi untuk merancakkan lagi aktiviti kejiranan di sini dan mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu mengambil idea untuk memulakan kebun komuniti melalui 'Garden 8'," katanya.

Sementara penduduk, Ariffin Mamat, 66, berkata ukhuwah silaturahim dengan jiran tetangga semakin erat apabila masing-masing kerap bersua melalui aktiviti berkebun.

"Saya sebenarnya banyak mendapat idea untuk menanam ini hasil pengalaman jiran. Sebanyak mereka bukan saja menanam untuk makan sendiri tetapi hasilnya dapat dijual kepada kelompok jiran di sini.

"Seronok apabila dapat masak-masak, membeli produk tani dan ini menambahkan keharmonian hidup berjiran," katanya.

Berita Harian X