Selasa, 30 April 2024 | 10:53am

Hiasan dalaman guna kayu terbuang dari tanah perkuburan

Barang lama yang sudah rosak dan buruk tiada siapa mahu memandangnya, apatah lagi disimpan untuk dijadikan hiasan.

Namun, bagi mereka yang tahu menilai estetika di sebalik barangan itu pasti boleh digunakan dan diletakkan pada sudut istimewa kerana keunikannya.

Tidak hairan, di kala kaki melangkah ke kediaman pempengaruh, Norpadilah Afandi terletak di Kampung Temeris, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, mata terpana dek kekaguman pelbagai dekorasi dalaman rumah itu lain daripada yang lain yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk dari tanah perkuburan, tempat pembuangan sampah, kayu dihanyutkan banjir dan sebagainya.

Apatah tidaknya, hampir 90 peratus peralatan seperti perabot dan aksesori hiasan dalam rumah itu menggunakan barang terpakai yang dibuat sendiri (DIY) oleh Norpadilah.

Itu baru di rumah Norpadilah, mata sudah terpaku melihat pelbagai perabot dan aksesori daripada barangan kitar semula.

Norpadilah (kiri) dan Rafidah ketika melakukan kerja pertukangan di bengkel berhampiran rumah yang menggunakan barangan lama dan terpakai. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Norpadilah (kiri) dan Rafidah ketika melakukan kerja pertukangan di bengkel berhampiran rumah yang menggunakan barangan lama dan terpakai. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Menjenguk ke rumah kakaknya, Rafidah yang hanya terletak bersebelahan pemandangan disajikan pula dengan keunikan hiasan dinding juga dibuat sendiri olehnya persis miliki minat sama dengan Norpadilah yang tidak kekok bertukang dan menggunakan peralatan mesin untuk memotong, membentuk atau mereka hiasan dan sebagainya.

Kayu hanyut dan barang terbuang antara barangan digunakan dua beradik yang mempunyai minat sama menghiasi rumah masing-masing sehingga menjadi tumpuan orang ramai.

Kayu terbuang yang kelihatan begitu unik diubahsuai menjadi hiasan dinding. - Foto/Ihsan Norpadilah
Kayu terbuang yang kelihatan begitu unik diubahsuai menjadi hiasan dinding. - Foto/Ihsan Norpadilah

Apa tidaknya pengunjung yang datang bukan sahaja dari negara ini sebaliknya ada yang sanggup terbang dari Brunei dan Singapura semata-mata mahu melihat hiasan rumah Norpadilah, 42, dan kakaknya Rafidah, 46.

Ibarat sehati sejiwa, kedua-dua beradik ini gigih menghias rumah masing-masing mengikut cita rasa sendiri, namun konsep yang berbeza.

Norpadilah lebih gemar menggunakan barang terpakai manakala Rafidah menterjemahkan dekorasi menggunakan kayu hanyut untuk dijadikan bingkai ranting, perabot, selain membuat pokok duit dan kebaya perca.

 Rafidah (kiri) bersama Norpadilah menunjukkan tulisan jawi tulisan tangan arwah bapa yang dibingkaikan menggunakan kayu reban ayam. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Rafidah (kiri) bersama Norpadilah menunjukkan tulisan jawi tulisan tangan arwah bapa yang dibingkaikan menggunakan kayu reban ayam. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Hasil kreativiti Rafidah menyusun duit siling menjadi pokok yang ditempah pelanggannya.
Hasil kreativiti Rafidah menyusun duit siling menjadi pokok yang ditempah pelanggannya.

Semuanya berkonsepkan DIY

Norpadilah gemar membuat sendiri pelbagai jenis barang menerusi kaedah DIY dan tidak hairan jika dilihat hampir setiap sudut di dalam rumahnya di Kampung Temeris itu banyak menggunakan barang terpakai dibuat sendiri seperti kerusi, meja, almari dan sofa.

Jadi tidak hairanlah jumpa sahaja kayu lama seperti pintu, spring kereta, drum meja, barangan bundle, tikar mengkuang dan sebagainya digunakan untuk rekaan hiasan dalamnya.

Itu tidak termasuk barangan lain yang menjadi fungsi untuk menyimpan, menggantung barangan lain, sama ada ia kecil atau besar, semua dihasilkan Norpadilah.

Antara kayu lama yang dikumpul dari pelbagai lokasi untuk diubahsuai menjadi perabot unik.- Foto/Ihsan Norpadilah
Antara kayu lama yang dikumpul dari pelbagai lokasi untuk diubahsuai menjadi perabot unik.- Foto/Ihsan Norpadilah

Ketika ditemui, Norpadilah berkata dia mengambil masa lima tahun bagi memenuhi setiap sudut di dalam rumahnya dengan barangan terpakai yang dibuatnya sendiri dan adakala dibantu suaminya.

Barangan terpakai 'laku keras'

Katanya, apa sahaja barang yang ditemui dan boleh dipakai semula akan dibawa pulang sebelum diubah suai mengikut cita rasa dan kreativitinya.

"Kita perlu kreatif dalam menghasilkan sesuatu barangan, kaedah 'try and error' banyak digunakan dalam penghasilan sesuatu barang dan ia tidak merugikan apatah lagi ada barang terpakai yang dicipta semula turut mendapat permintaan dan 'laku keras' sekiranya dijual.

Sebuah bilik dijadikan sebagai bilik eksperimen Norpadilah bersama pengikut media sosialnya yang memberi idea bagi menghias bilik berkenaan.- NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap
Sebuah bilik dijadikan sebagai bilik eksperimen Norpadilah bersama pengikut media sosialnya yang memberi idea bagi menghias bilik berkenaan.- NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap

"Jika pergi berjalan atau ke mana sahaja sekiranya terjumpa barang yang dibuang tetapi boleh digunakan saya akan bawa pulang dan berdasarkan idea, kita perlu kreatif menghasilkan produk yang diberi nafas baharu," katanya yang memulakan idea aktiviti itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), fasa COVID-19 lalu.

Cari kayu di tanah perkuburan

Menggunakan ranting kayu untuk hiasan dalam memberikan impak berbeza kepada ruang di dalam rumah.
Menggunakan ranting kayu untuk hiasan dalam memberikan impak berbeza kepada ruang di dalam rumah.

Norpadilah mengakui banyak juga kayu lama pelbagai jenis diperoleh dari kawasan pembuangan sampah haram digunakan semula untuk menghasilkan perabot DIY.

"Selain itu, ada juga kayu-kayu lama ini saya dapatkan dari beberapa kawasan dalam tanah perkuburan di sekitar Jempol. Tidak perlu dibazirkan begitu, saya juga ubahsuai sebagai hiasan dalam unik.

Dalam pada itu, katanya papan yang digunakan membuat reban ayam oleh arwah ibunya antara yang mempunyai nilai sentimental dan dia mengubahnya menjadi tempat meletak sebuah mesin jahit lama.

"Reban itu dibina arwah ibunya ketika dia masih remaja dan selepas ketiadaannya empat tahun lalu, kayu reban yang masih elok diambil dan ia menjadi nostalgia paling berharga buat diri sendiri

Bekas kakitangan kerajaan dan kini suri rumah itu juga mempamerkan bakat dalam dekorasi rumah menerusi platform media sosial dan berjaya menarik minat orang ramai untuk datang melawat rumahnya.

Ujarnya, sebuah bilik yang dijadikan untuk dia membuat bahan kandungan bagi platform media sosialnya seperti TikTok dijadikan sebagai uji kajinya membabit dia dan pengikutnya yang beratus ribu.

Katanya, bilik itu bermula daripada kosong atau tiada apa-apa di dalamnya, namun dia menghias atau mengubahnya atas permintaan pengikut yang mahu saya melakukan hiasan atas permintaan mereka.

"Hasil tukangan pertama saya adalah meja kopi berbentuk peti yang dibuat untuk tempoh dua minggu. Awalnya saya cuma gunakan tukul besi dan gergaji, sebelum suami beri sokongan dan membeli mesin dan barangan lama.

"Saya berpuas hati apabila dapat melengkapkan keseluruhan rumah hasil kerja tukang sendiri. Malah suami dan anak-anak tidak pernah merungut disebabkan dekorasi dalaman rumah semuanya menggunakan barang kitar semula.

"Saya mengambil masa seminggu untuk melakukan kerja bertukang bagi menyiapkan perabot seperti kerusi atau almari, manakala untuk aksesori macam tempat gantung kunci atau barang kecil mampu saya selesaikan antara satu hingga tiga hari," katanya.

Rafidah menunjukkan kebaya perca yang dibingkaikan hasil kreativitinya. - NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap
Rafidah menunjukkan kebaya perca yang dibingkaikan hasil kreativitinya. - NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap

Sentuhan kebaya perca

Bagi Rafidah sentuhan kreatif tangannya menerusi kebaya perca, bingkai ranting dan pokok duit menjadikan hasil tangannya itu turut mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

Seperti adiknya, semua yang dilakukan bermula secara serius apabila terpaksa 'berkurung' di rumah gara -gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan negara pada Mac 2020.

"Sebelum itu, saya sudah mula membuat kerja menghias rumah melalui konsep seni dinding ini tetapi tidak serius, hanya sekadar suka-suka sahaja, namun apabila ia mendapat tempahan sebaik dikongsi di media sosial, ia menjadi serius.

"Kebaya perca dan pokok duit antara yang paling banyak ditempah manakala hasil pertukangan berasaskan kayu selain bingkai ranting turut dibuat pelbagai arca yang kebanyakan digunakan untuk kegunaan sendiri bagi menghias rumah.

Katanya, pengalaman sebagai tukang jahit banyak membantu menyiapkan hasil kerja kebaya perca yang menerima tempahan daripada orang kenamaan atau VIP antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Disebabkan rumahnya bersebelahan dengan rumah adiknya, ada kala mereka berdua berkongsi idea bagi menghasilkan sesuatu barangan.

Norpadilah tidak kekok melakuakan kerja pertukangan yang lazim dilakukan lelaki di bengkel berhampiran rumahnya. Norpadilah ketika melakukan kerja pertukangan kayu dibengkel berhampiran rumahnya. - NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap.
Norpadilah tidak kekok melakuakan kerja pertukangan yang lazim dilakukan lelaki di bengkel berhampiran rumahnya. Norpadilah ketika melakukan kerja pertukangan kayu dibengkel berhampiran rumahnya. - NSTP/Abnor Hamizan Abd Manap.

"Jika paras air sungai di belakang rumah naik, biasanya saya dibantu suami mencari kayu hanyut dan sekiranya kayu itu berat, ia akan dipikul oleh suami untuk dibawa pulang. Malah, suami turut mempunyai kemahiran membuat perabot.

"Bagi kami dua beradik yang mempunyai cita rasa sama, setiap barang dihasilkan pasti ada cerita sendiri seperti kebaya perca yang kali pertama dibuat, tetapi tidak menjadi tetap disimpan sebagai kenangan dan seperti adik, barangan dihasilkan menggunakan kaedah 'try and error' selain menonton di internet," katanya.

Hakikatnya, bagi sesiapa yang melihat hasil dekorasi dan kerja tangan Norpadilah dan Rafidah pasti teruja dan mungkin boleh menjadi inspirasi melakukan perkara sama yang ternyata mampu menjimatkan belanja. Bak kata Norpadilah 'Jom Kita DIY'.

Antara kayu lama yang dikumpul dari pelbagai lokasi untuk diubahsuai menjadi perabot unik.- Foto/Ihsan Norpadilah
Antara kayu lama yang dikumpul dari pelbagai lokasi untuk diubahsuai menjadi perabot unik.- Foto/Ihsan Norpadilah
Berita Harian X