Sabtu, 13 April 2024 | 10:40am
Kerabu sarang ialah kombinasi rumpai laut yang digaul bersama isi ikan rebus, kelapa parut yang disangai serta dicampur dengan sambal tumis dan dilengkapi dengan perahan jus limau nipis. - Foto fail NSTP
Kerabu sarang ialah kombinasi rumpai laut yang digaul bersama isi ikan rebus, kelapa parut yang disangai serta dicampur dengan sambal tumis dan dilengkapi dengan perahan jus limau nipis. - Foto fail NSTP

Kerabu sarang: Sajian rumpai laut makanan tradisi masyarakat di Kelantan

GUA MUSANG: Jika rumpai laut "latok" menjadi makanan tradisi masyarakat di Sabah, di Kelantan pula terkenal dengan rumpai laut yang dipanggil "sarang".

Pengusaha makanan berasaskan rumpai laut, Nisah Jaafaar, 66, berkata kerabu sarang atau "sare", menurut dialek tempatan, adalah juadah yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di negeri ini ketika Ramadan.

Katanya, kerabu itu menjadi kegemaran ramai yang lazimnya akan menjadi pelengkap hidangan ketika berbuka puasa.

"Kerabu sarang ialah kombinasi rumpai laut yang digaul bersama isi ikan rebus, kelapa parut yang disangai serta dicampur dengan sambal tumis dan dilengkapi dengan perahan jus limau nipis.

"Teksturnya yang rangup membuatkan kerabu sarang ini enak dimakan begitu sahaja seumpama kita memakan salad sayur-sayuran atau boleh dimakan bersama nasi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, warga emas itu berkata, proses pembersihan rumpai laut ini memerlukan tempoh yang panjang dan penyediaannya juga agak rumit.

"Saya mengulangi proses basuh dan bilas sarang ini sekurang-kurangnya lima kali untuk menghilangkan bau dan kotoran yang melekat.

"Selepas itu, sarang perlu direndam selama lima jam untuk menjadikannya kembang dan lembut untuk dimakan, malah santan juga perlu ditumis bersama bahan seperti bawang, halia, lengkuas dan lada," katanya.

Nisah berkata, dia mendapat permintaan yang amat tinggi daripada masyarakat setempat bermula permulaan Ramadan lalu dan sudah memproses lebih 30 kilogram (kg) sarang sehingga kini.

"Hari biasa pun kita buat untuk jualan tetapi tidak banyak hanya menggunakan 500 gram sarang. Tetapi untuk Ramadan biasanya permintaan meningkat berlipat ganda dan untuk tahun ini saya memproses 2 kg sarang setiap hari," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X