Selasa, 2 April 2024 | 8:56am
Masjid Besar Wilayah Songkhla. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Masjid Besar Wilayah Songkhla. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Masjid 'orang Malaysia kahwin' jadi tarikan di Songkhla

Menjelang musim cuti panjang atau hujung minggu, tiga Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negara ini akan dibanjiri pelancong sama ada domestik atau antarabangsa.

Tidak lain tidak bukan, tujuannya untuk makan angin atau bercuti di Hatyai, bandar terbesar terletak di Wilayah Songkhla, di selatan Thailand dan bersempadan dengan Malaysia.

Walaupun tukaran mata wang agak tinggi iaitu 7.41 hingga 7.49 Baht, pengunjung seakan 'pejam mata' dan hanya memfokuskan destinasi menarik bakal dikunjungi serta menikmati aneka makanan yang lazat dan popular di negara menerima jolokan 'Syurga Makanan'.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Hatyai baru-baru ini. Perjalanan bermula dari ICQS Rantau Panjang pada jam 10 pagi agak lancar apabila urusan dokumentasi tidak memakan masa lama, sekitar 15 minit saja.

Selepas selesai menukar wang ringgit kepada baht di Sungai Golok, perjalanan diteruskan dengan menaiki van pelancong bersama 10 orang.

Pemandu pelancong kami, Tuan Mohd Nor Tuan Yahya, 59, memberikan penerangan destinasi akan dijejaki sebelum tiba ke destinasi pertama iaitu 'The Hornbill Statue' di Wilayah Narathiwat dan meluangkan masa seketika merakamkan foto kenangan.

Selepas kira-kira setengah jam, rombongan kami tiba di destinasi menjadi fenomena kebelakangan ini iaitu 'Summer Thon' dan iaitu lokasi menunggu kemunculan pesawat melintas rendah sambil menikmati makanan tempatan di kafe yang tersedia di lokasi.

Melawat Summer Thon di Hatyai satu trend iaitu menyaksikan fenomena ‘kapal terbang melintas di atas kepala. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Melawat Summer Thon di Hatyai satu trend iaitu menyaksikan fenomena ‘kapal terbang melintas di atas kepala. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Menurut Tuan Mohd Nor, melawat ke Summer Thon adalah satu trend iaitu semata-mata menyaksikan fenomena 'kapal terbang melintas atas kepala'.

Pakej disediakan ejen untuk tiga hari dua malam ke Hatyai adalah sekitar RM350 hingga RM650 seorang bergantung kepada pakej dipilih.

Rata-rata pelancong menggunakan khidmat ejen terutama untuk memburu lokasi makanan enak, menjejaki lokasi tumpuan ramai untuk merakam gambar kenangan selain ke premis membeli-belah.

Kembara ke Hatyai dianggap tidak lengkap jika tidak singgah ke Pantai Samila, Songkhla walau hanya untuk merakamkan gambar dengan patung Puteri Duyung Emas yang menjadi ikon wilayah itu.

Keunikan makanan di Songkhla adalah 'Khlong Hae Seafood Buffet Halal' ditawarkan dengan harga berpatutan iaitu 299 baht atau RM52.

Pengunjung menikmati Khlong Hae Seafood Buffet Halal dengan harga yang dikenakan agak berpatutan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pengunjung menikmati Khlong Hae Seafood Buffet Halal dengan harga yang dikenakan agak berpatutan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penerokaan ke bandaraya mempunyai bilangan penduduk melebihi 150,000 itu diteruskan keesokan harinya dengan aktiviti membeli-belah. Kami dibawa ke kedai menjual pelbagai barangan kulit dan cenderamata terkenal di Hatyai.

Rombongan kami kemudiannya dibawa ke The Proud Koh Yor, satu tarikan baharu dengan pakej kafe serta pemandangan dari tempat tinggi mempesona, dibuka sejak Mei lalu kepada pelancong.

Kami dibawa ke Masjid Besar Wilayah Songkhla yang juga dikenali sebagai Masjid Taj Mahal Thailand untuk menunaikan solat seterusnya merakamkan gambar.

The Proud Koh Yor, satu tarikan baharu dengan pakej kafe serta pemandangan dari tempat tinggi. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
The Proud Koh Yor, satu tarikan baharu dengan pakej kafe serta pemandangan dari tempat tinggi. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Selain terkenal dengan seni bina seakan-akan binaan Taj Mahal yang menjadi tanda cinta Shah Jahan terhadap Mumtaz Mahal,rumah ibadat itu juga terkenal sebagai lokasi pernikahan pasangan dari Malaysia. Masjid berkenaan turut menjadi pilihan pengarah filem dan pelakon terkenal untuk bernikah sebelum ini. Maka, ia menambah lagi tarikan orang Malaysia bernikah di masjid berkenaan.

Buka peluang perniagaan

Pelancongan di Hatyai yang juga bandar terbesar di Wilayah Songkhla, turut membuka peluang perniagaan kepada rakyat tempatannya sama ada peniaga, pengusaha premis pelancongan dan pemandu pelancong.

Tidak terkecuali bagi seorang mahasiswa Universiti Pattani, Hamdan Mohd Yamin, 25, yang sudah dua tahun menjadi pemandu van pelancong.

Bagi pemuda berasal dari Narathiwat itu, pekerjaan sambilan dilakukannya bukan sekadar untuk mencari imbuhan semata-mata tapi mencari pengalaman selain mempraktikkan kemahiran berbahasa Melayu seperti jurusan dipelajarinya.

"Jika tiada kelas, baru saya akan mengambil tugasan membawa pelancong dan biasanya ejen pelancongan akan menghubungi terlebih dahulu memberitahu mengenai sesuatu trip.

"Lazimnya setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad memang pelancong sangat ramai dan saya tiada masalah melakukan pekerjaan ini asalkan tidak mengganggu pengajian," katanya.

Tidak lengkap ke Hatyai jika tidak ke Hatyai Klong Hae, pasar terapung popular dengan deretan hampir 50 sampan sarat dengan jualan aneka makanan di pinggir Sungai Hatyai.

Kembara kemudian diteruskan ke Asean Night Bazar diikuti ke Dimsum Chabura. Secara keseluruhan, sebaik menjejakkan kaki ke bumi Hatyai, tanggapan mengenai keistimewaan bandar itu tidak dapat disangkal lagi.

Berita Harian X