Khamis, 21 March 2024 | 8:39am
Panorama indah melihat cahaya menyinari gua berusia 250 juta tahun. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli
Panorama indah melihat cahaya menyinari gua berusia 250 juta tahun. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli

Medan uji adrenalin di Gua Raja

'SELONGKAR' misteri Gunung Keriang, di Alor Setar, Kedah terbayang di fikiran penulis apabila berpeluang merasai pengalaman aktiviti takik turun atau 'abseiling' di Gua Raja, baru-baru ini.

Pengalaman 'tergantung' dan menuruni lubang Gua Raja pada ketinggian hampir 30 meter cukup mendebarkan, namun tiada yang lebih berharga apabila melihat keindahan batuan gua itu.

Walaupun ini kali kedua penulis meneroka Gua Raja hati tetap teruja mahu menikmati panorama mengasyikkan di situ.

Gua Raja antara kira-kira lima daripada lebih 20 gua terdapat di Gunung Keriang sudah diteroka menerusi aktiviti 'caving' seperti Gua Terus, Gua Pelamin dan Gua Seribu Bayur manakala bakinya tidak diketahui.

Justeru, pendakian kami bermula jam 9 pagi membabitkan 25 peserta mengambil masa hampir sejam dari kaki Gunung Keriang dengan menempuh laluan batu kapur kira-kira 20 minit lagi untuk sampai ke Gua Raja.

Jaluran pendakian dari puncak Gunung Keriang ke Gua Raja sedikit sukar berikutan permukaan batu tajam dan kasut bersesuaian serta sarung tangan perlu diutamakan.

Sebaik tiba di 'bumbung' gua, taklimat mengenai keselamatan sepanjang berada di lokasi berkenaan diberi oleh kru bertugas sebelum menuruni gua sedalam kira-kira 30 meter menggunakan kaedah takik turun.

Pelbagai gelagat peserta, ada membawa Jalur Gemilang dan Palestin tanda solidariti, malah ada yang menangis serta menggigil kerana ketika membayangkan ruang gelap di dalam gua.

Peserta menunggu giliran bagi menyertai aktiviti takik turun di Gua Raja. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli
Peserta menunggu giliran bagi menyertai aktiviti takik turun di Gua Raja. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli

Selesai memakai abah-abah dan topi keledar keselamatan, penulis sedikit gementar, namun tetap teruja.

Pemandangan sekitar amat indah terutama ketika melihat cahaya menyinari dalam gua berusia 250 juta tahun itu.

Ruang lantai gua pula dianggarkan seluas gelanggang tenis dengan dindingnya mempunyai rupa bentuk unik, selain stalagmit serta stalagtit kelihatan dipercayai terbentuk sejak ratusan tahun lalu

Gua itu sesuai dijadikan lokasi sukan lasak terutama usaha libat urus dilakukan bersama Persatuan Sukan Mendaki Kedah (HACCK) dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi menggazetkan gunung itu sebagai 'Geotapak Gunung Keriang, Pesona Mogot Kedah'.

Meneroka aktiviti lasak di Gua Raja

Menurut Naib Setiausaha Persatuan Sukan Mendaki Kedah (HACCK), Nabilah Hanim Abd Rahman, pelbagai usaha giat dijalankan untuk merancakkan produk pelancongan sukan menerusi aktiviti lasak seperti 'rock climbing', mendaki Gunung Keriang Via Feratta, Beranda Keriang, 'Lost World of Keriang', 'Abseiling Double Wall Keriang', Abseiling Lurah Puteri, meneroka Gua Terus dan Trans Gunung Keriang.

Selain taklimat, peserta diberi penekanan mengenai keselamatan ketika menyertai aktiviti takik turun pada ketinggian hampir 30 meter. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli
Selain taklimat, peserta diberi penekanan mengenai keselamatan ketika menyertai aktiviti takik turun pada ketinggian hampir 30 meter. - Foto BH/Zuhainy Zulkiffli

"Pada masa depan, kami merancang meneroka lebih banyak gua bagi menentukan pesona dalam mempelbagaikan lagi tarikan di gunung ini," katanya.

Mitos Gunung Keriang sering diceritakan secara lisan oleh penduduk tempatan mengenai makhluk sakti, Sang Kelembai yang menyumpah puteri raja menjadi batu lantaran cintanya ditolak.

Kewujudan gunung berasal dari sebuah kapal membawa rombongan pengantin diraja disumpah menjadi batu dan sehingga kini masih terdapat batu menyerupai pengantin di dalamnya.

Antara peninggalan lain ialah bentuk tali panjang dipercayai tali kapal dan serpihan pinggan, namun sejauh mana kebenaran cerita ini terus menjadi tanda tanya dan masih terpelihara.

Berita Harian X