Isnin, 18 March 2024 | 8:49am
Orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa di padang MBK1, Kuantan setiap kalau Ramadan. - NSTP/Asrol Awang
Orang ramai tidak melepaskan peluang berbuka puasa di padang MBK1, Kuantan setiap kalau Ramadan. - NSTP/Asrol Awang

Santai iftar umpama berkelah

BAGAIKAN pesta. Duduk bersila secara santai dengan aneka juadah memenuhi ruang tikar mengkuang dibentang di kawasan padang untuk berbuka puasa, sambil melihat panorama indah matahari terbenam.

Boleh dikatakan sinonim apabila Ramadan itu lazim dilihat sama ada warga kota mahupun masyarakat di seluruh negara memilih lokasi tumpuan berbuka puasa dengan berkelah bersama keluarga, anak-anak, rakan serta kenalan.

Umpamanya, mengapa program berbuka puasa beramai-ramai seperti IFTAR@Kuala Lumpur (IFTAR@KL) di Jalan Raja, Dataran Merdeka bagi mengimarahkan, memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadat dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan.

Tahun ini, program IFTAR@ KL 2024 terus dianjurkan kali ke-12 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bermula sejak 2012, dengan menyasarkan seramai 35,000 pengunjung menyertai berbanding 2023, iaitu seramai 30,875 orang.

Program IFTAR@ KL 2024, kali ini akan diadakan pada 23 hingga 24 Mac ini; 30 hingga 31 Mac ini dan 6 hingga 7 April depan, dengan menyediakan pelbagai pengisian program terutamanya majlis berbuka puasa.

Pastinya warga kota seronok berbuka puasa beramai-ramai di atas jalan raya dan padang di Dataran Merdeka sambil menikmati pemandangan menarik Bangunan Sultan Abdul Samad. Selain berbuka puasa, turut disediakan program Tadarus Al Quran, persembahan kerohanian, tazkirah dan banyak lagi.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris, menariknya program itu mampu memupuk perpaduan, kerohanian umat Islam dalam menghayati bulan yang suci ini, selain merapatkan dan mengeratkan silaturahim antara kaum menerusi program serta aktiviti kerohanian.

"Menerusi penganjuran itu memperlihatkan kepada dunia luar bahawa masyarakat di Malaysia harmoni, makmur dan sejahtera.

Warga kota berbuka puasa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP
Warga kota berbuka puasa di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. - Foto fail NSTP

IFTAR@ KL acara tahunan sejak 12 tahun lalu bagi mengimarahkan Ramadan. - Foto fail NSTP
IFTAR@ KL acara tahunan sejak 12 tahun lalu bagi mengimarahkan Ramadan. - Foto fail NSTP

"Selain dapat menyemarakkan kebudayaan dan Kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa menerusi pelancongan budaya," katanya.

Jelasnya, program itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Islamic Tourism Centre dan Persatuan Seni Budaya Putra.

3 lokasi iftar di Kota Bharu

Malah, situasi sama juga dapat dirasai di Kelantan, dengan setiap kali menjelang kali Ramadan, tiga lokasi popular di negeri itu sering menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa.

Tiga lokasi berkenaan adalah tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, perkarangan Masjid Muhammadi dan Madinah Ramadan.

Bagi lokasi di tepi Sungai Kelantan, orang ramai akan membeli makanan terlebih dahulu sebelum berkelah di lokasi berkenaan sambil menikmati panorama Sungai Kelantan pada waktu senja.

Masjid Muhammadi Kota Bharu menjadi lokasi tumpuan untuk orang ramai berbuka puasa. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Masjid Muhammadi Kota Bharu menjadi lokasi tumpuan untuk orang ramai berbuka puasa. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Warga Kota Bharu mengambil kesempatan Ramadan dengan membawa bekalan yang dimasak sendiri untuk juadah berbuka puasa. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Warga Kota Bharu mengambil kesempatan Ramadan dengan membawa bekalan yang dimasak sendiri untuk juadah berbuka puasa. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Saban tahun terutama menjelang Aidilfitri, hampir 1,000 orang sehari akan membanjiri kawasan itu termasuk ada penduduk dari Terengganu sanggup datang semata-mata mahu merasai kenangan berbuka beramai-ramai di tepi Sungai Kelantan.

Selain itu, Masjid Muhammadi, Kota Bharu juga menjadi tumpuan orang ramai dan setiap hari pihak masjid akan menyediakan makanan dan minuman percuma kepada orang ramai yang berbuka di masjid terbabit.

Tinjauan di masjid berkenaan mendapati, perkarangan masjid penuh dengan pengunjung seawal jam 6 petang dan suasana berbuka begitu meriah sekali.

Jolokan Madinah Ramadan

Pada masa sama, Madinah Ramadan juga tarikan utama di Kelantan untuk berbuka selain bertarawih kerana ramai beranggapan suasananya yang unik seolah-olah berada di Makkah.

Malah, Madinah Ramadan juga hanya dibuka sepanjang Ramadan dan makanan berbuka disediakan secara percuma untuk orang ramai yang berkunjung.

Lokasi di tepi Sungai Kelantan jadi ‘port’ sesuai warga Kota Bharu berbuka puasa sambil melihat panorama Sungai Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Lokasi di tepi Sungai Kelantan jadi ‘port’ sesuai warga Kota Bharu berbuka puasa sambil melihat panorama Sungai Kelantan. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Menurut pengunjung, Ali Mohd Satar, sehingga kini dia sudah merasai berbuka di ketiga-tiga lokasi berkenaan dan setiap pengalaman dan suasana yang berbeza.

"Memandangkan ketiga-tiga tempat ini tular, saya sempat membawa keluarga merasai ketiga-tiga lokasi pada tahun lalu. Cuma Ramadan kali ini saya baru pergi berbuka di Masjid Muhammadi," katanya.

Padang MBK 1 dibanjiri warga Kuantan berbuka puasa

Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, menjadi ‘port’ paling strategik di Kuantan berbuka puasa. - NSTP/Asrol Awang
Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, menjadi ‘port’ paling strategik di Kuantan berbuka puasa. - NSTP/Asrol Awang

Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, menjadi 'port' paling strategik di Kuantan, Pahang, khususnya masyarakat Islam berbuka puasa beramai-ramai di sini, sejak 1 Ramadan lalu.

Lazimnya, lebih 5,000 orang berada di sekitar padang berbuka pada Isnin hingga Khamis manakala jumlahnya lebih sekali ganda pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sehingga 12,000 orang.

Mereka datang membawa tikar serta makanan dan minuman sama ada dibeli di bazar Ramadan atau di bawa dari rumah.

Padang MBK 1 terletak di hadapan Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu memudahkan masyarakat Islam menunaikan solat Maghrib selepas iftar.

Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sebelum berbuka di padang MBK1. - NSTP/Asrol Awang
Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan sebelum berbuka di padang MBK1. - NSTP/Asrol Awang

Bersebelahan padang MBK 1, ada Bazar Ramadan Mahkota Square memudahkan pengunjung membeli juadah berbuka.

Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah turut serta

Tidak ketinggalan keberangkatan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda turut sama berbuka pada setiap Ramadan memberikan aura tersendiri.

Kehadiran baginda berdua menambah lagi seri dan tarikan hingga menjadikan padang MBK 1 sebagai lokasi wajib untuk berbuka puasa pada setiap kali Ramadan.

Kebiasaannya Jumaat, Sabtu dan Ahad menjadi pilihan ramai termasuk dari Terengganu, khususnya Kemaman datang ke sini.

Sheikh Mahyudin Sheikh Johari
Sheikh Mahyudin Sheikh Johari

Bagi Sheikh Mahyudin Sheikh Johari, 35, dari Jaya Gading, di sini, Ramadan ini kali kedua dia bersama isteri dan dua anak datang berbuka.

"Keseronokannya dapat berbuka di kawasan padang dan dikelilingi orang ramai yang turut sama berbuka bersama keluarga dan rakan serta menceriakan anak-anak.

"Selepas berbuka, kami ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib," katanya.

Nur Zulaikha Shaari, 24 dari Bukit Sagu, berkata keistimewaan di padang MBK 1 juga mereka boleh membeli juadah di bazar Ramadan terletak bersebelahan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata sekitar padang MBK 1 itu, boleh memuatkan kira-kira 12,000 orang berbuka puasa pada satu masa.

"Bagi memastikan kebersihan di padang, sebanyak 50 tong sampah disediakan iaitu masing-masing 30 buah untuk 240 liter setiap tong dan 20 buah untuk 120 liter setiap tong.

"Ini supaya pengunjung dapat menjaga kebersihan dan membuang sampah atau sisa makanan dan minuman disediakan," katanya.

Selain padang MBK 1, kawasan tumpuan warga Kuantan berbuka puasa ialah di Serambi Teruntum, pantai Teluk Cempedak dan Sepat serta sekitar Menara Kuantan 188.

Dataran Medan Bandar di Alor Setar 'port' tumpuan

Orang ramai berbuka puasa sambil beriadah bersama keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. - Foto fail BERNAMA
Orang ramai berbuka puasa sambil beriadah bersama keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. - Foto fail BERNAMA

Kemeriahan Ramadan tambah mengujakan bagi warga di Alor Setar apabila ramai berbuka puasa bersama keluarga atau rakan di kawasan Dataran Medan Bandar atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan dengan nama Dataran Masjid Zahir.

Terletak di tengah pusat bandaraya, lokasi Dataran Medan Bandar sememangnya menjadi tumpuan kepada orang ramai terutama yang tinggal di kawasan berdekatan untuk berkumpul sambil melakukan aktiviti riadah atau merakam momen berlatar belakang Masjid Zahir.

Tarikan utama pengunjung ke Dataran Medan Bandar sudah semestinya keindahan reka bentuk Masjid Zahir yang dibina pada 1912 terutama ketika waktu senja apabila sinaran lampu hiasan mula menyimbah kubah utama masjid berkenaan.

Melihat panorama menara Alor Setar

Orang ramai yang berbuka puasa di Dataran Medan Bandar juga tidak perlu terkejar untuk menunaikan solat kerana pintu masuk ke Masjid Zahir hanya terletak kurang 50 meter dengan ia dilengkapi kemudahan awam yang lengkap.

Usai mendirikan solat, pengunjung boleh memilih kembali bersantai di Dataran Medan Bandar atau menuju pula ke Pekan Rabu yang terletak kira-kira 200 meter bagi membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri seperti baju Melayu, baju kurung serta kain samping.

Bagi yang mahu mencuba kelainan, Dataran Bunga Raya, Menara Alor Setar boleh menjadi lokasi pilihan berbuka puasa sambil menikmati panorama menara yang disirami cahaya pelbagai warna menarik.

Terletak di seberang pusat membeli belah utama di bandaraya ini, Dataran Bunga Raya mampu menjadi pilihan kepada orang ramai yang mahu menikmati udara segar selepas berbelanja.

Berita Harian X