Ahad, 3 March 2024 | 9:12am
Diabetes antara punca utama penyakit buah pinggang kronik. - Foto hiasan
Diabetes antara punca utama penyakit buah pinggang kronik. - Foto hiasan

Diabetes punca utama kegagalan buah pinggang

KEGAGALAN buah pinggang berfungsi dengan baik hingga menyebabkannya ia semakin kronik disifatkan antara penyakit pembunuh senyap yang paling ditakuti memandangkan ia tidak mempunyai sebarang simptom.

Lebih membimbangkan lagi, ia tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan pada diri sendiri yang boleh dikesan sehinggalah didiagnosis kronik apabila mengalami keadaan seperti sukar bernafas, letih melampau, muka pucat dan tidur yang tidak lena.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi MSU Medical Centre (MSUMC), Dr Ahmad Azhar Abdul Rahim, berkata penyakit buah pinggang kronik (CKD) ini tidak terjadi dengan sendirinya, sebalik diabetes dan darah tinggi dikaitkan menjadi penyumbang utama kepada masalah itu berlaku.

Katanya, diabetes dilihat menjadi antara punca utama kepada CKD, iaitu sebanyak 52 peratus manakala darah tinggi ialah 35 peratus, sekali gus menunjukkan kedua-dua penyakit ini adalah penyumbang tertinggi pesakit buah pinggang menjalani dialisis.

"Apa yang menambah kerisauan, penyakit diabetes dan darah tinggi ini juga tidak menunjukkan sebarang tanda kesakitan sehinggalah keadaan berubah menjadi kronik.

"Disebabkan itu, terdapat kajian yang menjangkakan kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia akan didiagnosis diabetes pada 2025.

"Selain itu, kebanyakan pesakit buah pinggang ini, apabila didiagnos sudah berada pada tahap tiga kerana bagi sesetengah orang, mereka akan mengalami simptom kaki bengkak atau sindrom nefrotik disebabkan tahap protein lebih tinggi dalam air kencing berbanding normal.

"Buah pinggang kita mempunyai 'penapis' paling nipis yang berfungsi untuk membuang racun saja, tetapi jika ada molekul protein di dalam air kencing, maka 'penapis' itu sudah bocor dan mereka lebih mudah mengalami masalah buah pinggang kekal," katanya.

Tengku Sarafudin Badlishah kiri) menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wiksa Virijo Vicheet pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) Ke - 33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Tengku Sarafudin Badlishah kiri) menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Wiksa Virijo Vicheet pada Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) Ke - 33 di Dewan Canselor MSU, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

Kerosakan buah pinggang lebih pantas

Jelasnya lagi, setiap manusia akan hilang fungsi buah pinggang setiap tahun dan mereka yang mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi ia akan menjadikan kerosakan buah pinggang itu berlaku lebih pantas.

"Bagaimanapun, terdapat juga punca lain yang menyebabkan CKD ini berlaku antaranya ialah kekerapan mengambil ubat tahan sakit (pain killer) atau ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDS).

"Kebiasaannya mereka yang mengambil ubat tahan sakit ialah orang yang mempunyai masalah gout, sakit tulang, manakala pesakit auto imun atau mereka yang mengalami batu karang dan prostat juga berisiko.

"Batu karang boleh merosakkan buah pinggang dalam tempoh yang lama, manakala prostat menjadikan kencing tidak lawas, selain mereka yang mengalami masalah kencing berdarah atau berbuih," katanya sambil menjelaskan pengeluaran air kencing yang normal mengikut kadar minum setiap orang.

Simptom kerosakan buah pinggang

Sementara itu, bagi mereka yang membuang air kecil lebih banyak daripada biasa, mereka juga perlu melakukan pemeriksaan kerana ia antara simptom kencing manis.

Justeru katanya, bagi mencegah kerosakan buah pinggang itu bertambah teruk atau memastikan buah pinggang dapat diselamatkan lagi, mereka boleh merawat penyakit utama yang dikaitkan dengan masalah CKD.

"Diabetes dan darah tinggi seharusnya dikawal dan doktor yakin dengan kawalan itu, ia akan membantu untuk memperbaiki fungsi buah pinggang mereka.

"Selain itu, kita akan menasihati pesakit untuk berhenti merokok, melakukan senaman 150 minit seminggu, kurangkan berat badan, kurangkan pengambilan garam kepada lima gram sehari atau satu sudu teh saja.

"Selain itu, kurangkan pengambilan protein dalam makanan kerana dikhuatiri buah pinggang akan 'bekerja' lebih keras," katanya.

Buat pemeriksaan awal

Pada masa sama, beliau berkata, penting untuk setiap orang melakukan pemeriksaan awal setahun sekali khususnya kepada pesakit kencing manis dan darah tinggi berikutan berisiko, mereka berusia 65 tahun ke atas, obesiti dan masalah kardiovaskular yang lain.

"Bahkan, kalau tiada masalah penyakit lain juga disarankan untuk membuat pemeriksaan kesihatan buah pinggang kerana jika dapat mengesan awal, ia boleh mengelak daripada menjadi kronik.

"Tetapi kesedaran orang ramai untuk melakukan pemeriksaan awal itu disifatkan amat kurang kerana tiada gejala kesakitan.

" Kita mahu, apabila pemeriksaan awal dijadikan rutin tahunan, angka bilangan pesakit dialisis dapat dikurangkan," katanya sambil menjelaskan terdapat kajian yang menjangkakan bilangan pesakit dialisis akan melebihi 100,000 orang pada 2040.

Elak rawatan tradisional

Pada masa sama, Dr Ahmad Azhar juga tidak menggalakkan pesakit buah pinggang untuk cuba mendapatkan rawatan tradisional berbentuk ubat-ubatan herba kerana tidak diketahui kandungannya.

Ini memandangkan, katanya ia boleh mengganggu fungsi buah pinggang itu dan keberkesanannya juga diragui.

INFO

Tanda awal masalah buah pinggang

* Letih tidak bertenaga

* Tidak fokus

* Sukar tidur

* Kencing tidak normal

* Kencing berdarah atau berbuih

* Bengkak sekeliling mata

* Kekejangan pada badan

Berita Harian X