Khamis, 22 Februari 2024 | 9:58am
Kampung Kuala Sat menyimpan khazanah alam sangat tinggi nilainya wajar dikekalkan untuk generasi akan datang. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Kampung Kuala Sat menyimpan khazanah alam sangat tinggi nilainya wajar dikekalkan untuk generasi akan datang. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

Kampung Kuala Sat menyimpan khazanah alam

EKOPELANCONGAN berasaskan komuniti menjadikan destinasi terbaik bagi aktiviti riadah bersama keluarga atau berkumpulan sambil menikmati suasana tenang, meneroka keindahan alam semula jadi dan hutan hujan tropika di negara ini.

Antara destinasi menarik dikunjungi adalah ke Kampung Kuala Sat, iaitu kedudukannya sebahagian terletak di Taman Negara, Pahang di Kuala Tahan menjanjikan pemandangan menghijau hutan hujan tropika berusia lebih 130 tahun dengan alunan bunyi alam yang mengasyikkan.

Perjalanan dari bandar Jerantut ke Kampung Kuala Sat sejauh 113 kilometer (km) mengambil masa kira-kira dua jam di mana kita disajikan dengan pemandangan pepohon kelapa sawit di kiri dan kanan jalan raya, hutan belukar dan jaluran Sungai Tembeling boleh dilihat dari jalan dilalui.

Pengunjung ke Jerantut dan tiba ke sini akan disambut dengan 'pantai' Sungai Tembeling yang panjang serta pasir bersih dipanggil 'Long Beach'.

Dari 'Long Beach', pengunjung dibawa ke Perkampungan Orang Asli, Kampung Bengoi dengan menaiki bot kira-kira 20 minit ke Sungai Sat.

Kampung tradisi Melayu dilihat masih mengekalkan keindahan panorama semula jadi sehingga kerap menjadi tumpuan pencinta alam termasuk pelancong asing merasai pelbagai aktiviti kehidupan di desa.

Menurut Penduduk Kampung Kuala Sat, Suhaidi Erwan Zainuddin, 37, pengunjung akan diberi penerangan budaya kehidupan dan adat resam Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Bengoi.

"Pengunjung boleh menggunakan sumpit dengan menembak sasaran disediakan serta cara menghidupkan api tanpa menggunakan mancis.

"Dalam tempoh 25 minit, yang menaiki bot boleh mudik ke hulu sungai, iaitu ke Kem Betong," katanya.

Di Kem Batong, lebih mengujakan pengunjung dapat merasai kesejukan mandi di Sungai Sat dan mengagau siput sedut di situ.

Mengagau siput sedut antara aktiviti menarik pengunjung di Kampung Kuala Sat. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Mengagau siput sedut antara aktiviti menarik pengunjung di Kampung Kuala Sat. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

"Untuk menjamu selera, masakan sayur pucuk paku goreng, gulai masam tempoyak ikan patin, masak ikan sungai belada dan siput sedut gulai rong untuk sajian tengah hari pasti digemari ramai.

"Selepas makan tengah hari, cuba pula cabaran keberanian duduk di tiub tayar lori untuk 'water tubing' membawa pengunjung mengikut arus selama kira-kira 45 minit dari sungai ke hilir Sungai Sat," katanya..

Di Kuala Sungai Sat jangan lepas peluang 'bermesra ' dengan memberi ikan makan di Santuari Ikan Komuniti.

Bagi pengunjung dari Temerloh, Nur Azdila Rodzuan, 35, sudah lama dia merancang ke Kampung Kuala Sat selepas mendapatkan maklumat daripada rakan yang pernah ke sini.

"Saya teruja selepas melihat gambar rakan yang datang ke sini. Pemandangan cantik, damai dan mempesonakan lebih jelas dapat dilihat ketika menaiki bot sehingga ke Kem Betong," katanya.

Tubuh hanyut dalam tiub lori

Merasai kesejukan mandi di Sungai Sat, selain melakukan aktiviti ‘tubing’ dengan tiub lori. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Merasai kesejukan mandi di Sungai Sat, selain melakukan aktiviti ‘tubing’ dengan tiub lori. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

Jururawat dari Selangor yang datang bersama beberapa rakannya, Normeen Ali, pula berkata pengalamannya mengunjung lokasi itu mendapati Kampung Kuala Sat menyimpan khazanah alam yang sangat tinggi nilainya yang wajar dikekalkan untuk generasi akan datang.

"Saya berkesempatan mencuba pelbagai aktiviti di sini. Memang macam-macam ketika fikir kalaulah tenggelam apa akan jadi ketika tubuh dihanyutkan di dalam tiub lori.

"Namun, itulah pengalaman berbeza. Mujur ditemani mereka yang 'pakar' selok-belok sungai di kampung ini yang sentiasa menjaga dan mengawasi ahli kumpulan kami.

"Di sini boleh menilai tahap diri kita sama ada berani berdepan cabaran dan mampu mengendalikan diri ketika arus deras," katanya.

Menyusuri Sungai Tembeling sambil melihat keindahan alam menghijau. - NSTP/Amir Hamzah Nordin
Menyusuri Sungai Tembeling sambil melihat keindahan alam menghijau. - NSTP/Amir Hamzah Nordin

Bagi pengunjung dari Klang, Mohd Fadhil Zahrin, 50, kagum melihat komuniti Kampung Sat bekerjasama sebagai pengendali dan pengusaha pelancongan yang berjaya menarik ramai datang sini sekali gus dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk dengan membuka perniagaan seperti kedai makan dan inap desa.

Jadi pemandu pelancong dan pengusaha bot turut menerima tempiasnya.

"Saya dimaklumkan, kerjasama Koperasi Usahawan Pelancongan Lembah Tembeling Jerantut Berhad (Komuniti) bergabung dengan Persatuan Gabungan Perkhidmatan Taman Negara merealisasikan sebagai pemain utama industri pelancongan tempatan.

"Alam semula jadi di sini sangat cantik dan perlu giat dipromosikan kepada pelancong dalam dan luar negara kerana mempunyai keunikan tersendiri," katanya.

Berita Harian X