Rabu, 7 Februari 2024 | 7:35am
Guna khidmat malim gunung yang mahir menawan gunung, elak kejadian tidak diingini. - Foto hiasan
Guna khidmat malim gunung yang mahir menawan gunung, elak kejadian tidak diingini. - Foto hiasan

Buat persediaan rapi sebelum daki gunung, elak tragedi buruk

Panjat gunung bukan hanya didominasi golongan pencinta alam ataupun mereka yang profesional dalam bidang itu, tetapi ia juga sesuai untuk semua orang sebagai satu aktiviti sosial dan senaman.

Mendaki membantu membina otot dan tulang yang kuat serta sihat. Ia adalah senaman yang membantu membina jisim otot dalam meningkatkan keseimbangan dan mencegah osteoporosis atau tulang reput.

Kebanyakan daripada kita tidak tahu secara mendalam garis panduan mendaki kerana kita lebih terpengaruh dengan perasaan ingin mencuba.

Pemandangan cantik di puncak bukit atau gunung yang dikongsi di media sosial menarik kita untuk turut sama berada di destinasi itu tanpa memikirkan kemahiran asas sebelum memulakan pendakian.

Kebanyakan kita belum pernah mendaki mana-mana bukit sebelum ini. Ghairah dengan keindahan membuatkan kita lupa perihal keselamatan.

Dinasihatkan pendaki supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum membabitkan diri dalam aktiviti pendakian.

Pendaki perlu tahu tahap kesihatan mereka sebelum mendaki bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Jangan anggap mudah aktiviti mendaki kerana ia memerlukan stamina tinggi dan keadaan tubuh yang baik untuk membuatkan pendakian sempurna hingga ke puncak.

Pendaki profesional menyarankan untuk kita melakukan aktiviti olahraga contohnya joging terlebih dulu beberapa minggu sebelum mendaki.

Laluan pendakian yang sukar dan kandungan udara nipis akan menjadi halangan besar bagi yang baru mencuba.

Antara persediaan penting sebelum mendaki adalah kaji dan pelajari laluan serta lokasi gunung atau bukit ingin ditawan. Ini kerana setiap gunung mempunyai jalur pendakian berbeza.

Pentingnya untuk mendaki secara berkumpulan kerana kita akan diketuai oleh pakar.

Untuk mengelak kita cemas atau berisiko kemalangan jika berlaku keadaan tidak dijangka seperti laluan dihalang dengan pokok tumbang dan sebagainya, akan ada pakar untuk mencari jalan keluar.

Jika tidak mahu berada dalam kumpulan yang ramai, anda juga boleh daki berdua dengan 'malim gunung'.

Kepakaran dan kemahiran mereka yang sudah bertahun-tahun menawan gunung boleh kita pelajari.

Berita Harian X