Isnin, 5 Februari 2024 | 9:07am
Aksi mendebarkan Nur Ain ketika meluncur ombak di Pulau Kapas, Terengganu. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang Surf Community & Makcik Gemuk Boat Services.
Aksi mendebarkan Nur Ain ketika meluncur ombak di Pulau Kapas, Terengganu. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang Surf Community & Makcik Gemuk Boat Services.

5 srikandi penjinak ombak, nampak 'kejantanan' tak dihirau

TIDAK kisah kulit hitam legam atau nampak 'kejantanan' sekali pun, trend penyertaan golongan hawa dalam sukan luncur ombak di negara ini dilihat semakin mendapat perhatian.

Ramai terjebak sukan ekstrem itu sekali gus menolak 'dakyah' segelintir wanita cuma cerewet hal kecantikan seperti tahu menjaga keterampilan dan kulit mulus saja.

Ombak ganas bergulung-gulung kemudian meninggi hingga mencecah tujuh meter, bagi mereka mampu dijinak dengan cekap dan pantas, manakala papan luncur terus melekat di kaki sambil badan dihayun mengikut rentak ombak dan berdiri meluncur dengan kemas.

Samudera terbentang luas menambah panorama mendamaikan bagaikan syurga bagi peluncur ombak ini.

Malah, saat tiba-tiba ombak datang dan semakin membesar dan tinggi membelah lautan, bukanlah ketakutan terpapar di raut muka, tetapi ia menerbitkan keseronokan serta ketenangan tatkala berjaya 'seiringan' meluncur bersama.

Gulungan ombak ada kalanya tenang dan bertukar ganas disifatkan sang peluncur air sebagai kawan.

Jadi tiba Monsun Timur Laut, pada Oktober dan awal Mac walaupun amaran laut bergelora, dilarang mandi di pesisir pantai, itulah bulan paling ditunggu-tunggu peluncur kerana dapat 'bergaul mesra' dengan alam semula jadi.

Lantas, mereka buang jauh-jauh fikiran konservatif, pesimistik mahupun skeptikal dengan kemampuan berkecimpung dalam sukan luncur ombak dilihat terlalu bahaya.

Kaki terbelit hampir lemas dilambung ombak

Peluncur ombak, Nur Hawani Norrizan, 43, setiba musim monsun sudah bersiap sedia untuk berkelana ke Cherating, Kuantan, Pahang kerana ombak laut di situ disifatkan sangat sesuai dan memberi kepuasan tatkala meluncur.

Setiap tahun tanpa gagal beliau menjadi pengunjung tetap Pantai Cherating bagi melepaskan kerinduan bermain ombak.

Nur Hawani paling menggemari Cherating kerana disifatkan sangat sesuai dan beri kepuasan ketika aktiviti meluncur ombak. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services
Nur Hawani paling menggemari Cherating kerana disifatkan sangat sesuai dan beri kepuasan ketika aktiviti meluncur ombak. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services

"Ada orang takut, tapi jika pandai mengimbangkan badan berada di dalam laut, tidak panik dan pandai berenang, semua lancar.

"Lakukan teknik tepat ketika berada di dalam gulungan ombak, anda akan rasa kepuasan dan dapat melepaskan tekanan walaupun tangan penat mengayuh di dalam air.

"Peluncur perlu bijak mencari ombak, tunggu sehingga ia tiba dan tepat pada masanya, dia perlu berdiri dalam tempoh tertentu berdasarkan ombak itu," katanya sudah hampir 20 tahun sertai sukan lasak ini.

Nur Hawani pernah hampir lemas apabila tali pengikat kali di papan peluncur terputus. - Foto ihsan Aria
Nur Hawani pernah hampir lemas apabila tali pengikat kali di papan peluncur terputus. - Foto ihsan Aria

Ibu kepada seorang cahaya mata dan pemilik syarikat produksi ini berkata, perkara paling ditakuti peluncur ialah tali mengikat antara kaki dan papan peluncur terputus dan boleh menyebabkan lemas jika tidak pandai mengawal diri.

"Saya pernah berhadapan situasi itu ketika meluncur di Bali, Indonesia yang ombak terlalu ganas berbanding di Malaysia.

"Ketika itu, saya lihat ombaknya tidak besar, tetapi bila menghampiri, ia semakin besar dan kaki saya terbelit apabila tali itu terputus dan hampir lemas. Itulah pengalaman tidak dapat saya lupakan.

"Meluncur di Malaysia tak kekok, tapi di luar negara terlalu ramai pelancong dan jadi tidak selesa untuk beraksi dengan tenang," katanya sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Cherating bersama keluarganya sepanjang monsun.

Ramai peluncur suka ombak di Cherating kerana boleh meluncur 15 hingga 20 saat memandangkan lautnya panjang, selain pantainya tidak berbahaya dengan batu-batu besar.

"Tidak kira peluncur menggunakan papan peluncur pendek atau panjang, ombaknya memang sesuai dan kos mengembara tidak terlalu banyak.

"Selain Cherating, lokasi lain seperti Pulau Tioman dan Teluk Cempedak di Pahang, Pulau Kapas dan Pantai Batu Buruk di Terengganu; Desaru di Johor dan Kudat serta Karambunai di Sabah.

"Ikut pilihan dan bajet untuk setiap peluncur dan di lokasi ada juga ombak," katanya sering menjadikan ramalan kaji cuaca untuk mencari ombak yang sesuai.

Kos sukan meluncur tidak mahal hanya, papan peluncur dan aksesori keselamatan lain, tetapi mesti berkemahiran meluncur, selain perlu mengikuti kelas di sekolah meluncur ini.

"Dulu tak ramai tahu dan berminat, kini komunitinya semakin membesar, ada masuk pertandingan serta bukan sekadar hobi, sebaliknya berada di tahap lebih tinggi," katanya.

Wakil Sukan SEA, berhijab bukan halangan

Aksi Mona yang bertanding dalam kategori Terbuka Wanita pada Kejohanan Luncur Ombak COMPLOT 2.0 di Pantai Batu Burok, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Aksi Mona yang bertanding dalam kategori Terbuka Wanita pada Kejohanan Luncur Ombak COMPLOT 2.0 di Pantai Batu Burok, Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Bagi Mona Rashidah Abdul Rashid, 39, minat sukan lasak ini sejak 2010 dan sebati dengan dirinya.

Beliau juga peluncur ombak profesional dan pernah mewakili negara dalam kejohanan Sukan SEA, imej bertudung dibawanya menjadikan sukan itu boleh disesuaikan dengan keadaan setempat.

Berkongsi pengalaman sepanjang 15 tahun, imej sebagai peluncur ombak berhijab ketika menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa tidak pernah dicemuh orang luar.

Bahkan, mereka sentiasa menyokong dan masing-masing berkongsi satu minat sama.

"Alhamdulillah, buka sahaja dalam komuniti peluncur ombak sentiasa memberi sokongan malahan keluarga saya, suami pun menyokong penuh pembabitan dalam sukan ini.

Mona ketika mewakili Malaysia untuk Sukan SEA bagi kategori sukan meluncur.
Mona ketika mewakili Malaysia untuk Sukan SEA bagi kategori sukan meluncur.

"Saya bertudung dan cuma beriadah. Bila orang tua lihat apa saya buat, ia nampak satu sukan sihat dan tiada halangan bagi saya.

"Sewaktu kejohanan luncur ombak di Filipina misalnya, mereka dekat sana memang langsung tak kisah pasal imej kita kerana yang paling mustahak ada minat mendalam kita terhadap sukan atau apa yang kita lakukan.

"Bertudung atau tidak, beza latar belakang tidak menghalang bersorak dan menyokong kita. Sokongan ini kita perlukan," kata pengajar luncur ombak di Kuantan, Pahang.

Cherating sesuai aktiviti meluncur ombak

Nur Ain ada sekolah meluncur di Cherating. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services
Nur Ain ada sekolah meluncur di Cherating. - Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services

Bagi Nur Ain Mat Isa, 34, bermula hanya mengenal peralatan meluncur, kini sudah lebih 10 tahun aktif dalam sukan ini.

Bermula apabila ramai peluncur datang ke kedai tempatnya bekerja dan membeli peralatan, secara tidak langsung timbul minat.

"Saya tidak pernah tahu di negara kita banyak lokasi sukan luncur air. Ingatkan hanya ada di luar negara seperti Indonesia dan Australia.

"Pengalaman pertama saya meluncur di Cherating, awalnya agak sukar berdiri di atas papan luncur kerana kita bermain dengan ombak.

"Saya tidak pernah putus asa kerana sekali anda cuba, pengalaman berada di atas ombak itu tidak dapat diungkap dengan kata-kata," katanya kini membuka sekolah meluncur di Cherating setiap kali musim monsun tiba.

Selepas yakin meluncur, beliau menyertai beberapa pertandingan peringkat tempatan untuk meningkat keyakinan dan mempromosikan sukan lasak ini.

Nur Ain mendapat tempat ketiga bagi dalam pertandingan meluncur ombak diadakan di Pulau Tioman, tahun lalu.
Nur Ain mendapat tempat ketiga bagi dalam pertandingan meluncur ombak diadakan di Pulau Tioman, tahun lalu.

"Berada di atas ombak hanya 15 minit, tetapi yang bimbang bagi setiap peluncur ialah apabila tali mengikat kaki dan papan luncur terputus dan lebih teruk lagi mereka panik hingga boleh mengakibatkan lemas ketika di dalam laut.

"Papan luncur ibarat pelampung kepada peluncur dan jika terjatuh akan berpaut pada papan itu. Jika mengikut garis panduan diajar, tidak akan dapat musibah," katanya sentiasa teruja tatkala musim monsun tiba.

Monsun bulan wujudkan kegembiraan dan melepaskan tekanan kepada setiap peluncur.

"Sukan ini bermusim, kini ia semakin dikenali apabila terdapat ramai penyertaan daripada orang luar di dalam sekolah luncur saya.

"Untuk yang baru berjinak, ombak di Cherating sangat sesuai kerana ombaknya panjang dan konsisten. Ombak seperti di Pulau Kapas panjang dan besar, terpulang cara mereka beraksi,"katanya.

Usia 8 tahun sudah meluncur ombak

Bagi Qadeja Munirah Musadiq, 23, beliau bernasib baik kerana di keliling ahli keluarga turut bermain luncur ombak.

Katanya, usia 8 tahun sudah terjebak sukan luncur ombak, dibesarkan di bandar pesisir pantai Cherating banyak mempengaruhi minatnya dalam sukan ekstrem itu.

Qadeja (dua dari kanan) menjuarai kategori Women Longboard Kejora Surfing Cup di Pantai Tanjung Balau, Johor. - Foto ihsan Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services
Qadeja (dua dari kanan) menjuarai kategori Women Longboard Kejora Surfing Cup di Pantai Tanjung Balau, Johor. - Foto ihsan Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services

Cherating sering kali menjadi destinasi komuniti peluncur ombak luar dan dalam negara khususnya ketika musim timur laut bermula Oktober hingga Mac turut mendorongnya serius dalam sukan itu.

"Pada usia 11 dan 12 tahun saya sudah serius dalam dunia luncur ombak dengan menyertai beberapa pertandingan.

"Bagi saya sukan luncur ombak memang 'sesuatu' kerana saya rasa seperti dekat dengan alam semula jadi kerana laut, ombak menjadi gelanggang kita untuk bermain.

"Ia sukan berbahaya. Saya pernah mengalami kecederaan, tapi tak kisah. Sukan ini boleh membentuk peribadi sebagai insan berani menempuhi cabaran dan risiko.

"Tambahan, sukan ini juga membuat saya sendiri secara peribadi seperti 'connected' dengan alam sehingga saya terasa dididik untuk menjaga alam sekitar daripada pencemaran, " katanya.

Sentiasa ketagih meluncur ombak

Meskipun sibuk bekerja dalam dunia korporat, Emalina Aimi Edris, 37, tetap meluangkan masa meluncur ombak kerana sudah jadi darah dagingnya.

Emalina ketika bertanding di kategori Longboard wanita di Phuket Surf Contest, Kata Beach, Thailand.
Emalina ketika bertanding di kategori Longboard wanita di Phuket Surf Contest, Kata Beach, Thailand.

Tidak peduli keterikan pancaran matahari dan ancaman ombak ganas, beliau berkata matlamat yang sentiasa berada dalam benak hatinya hanya mahu 'wipe out' atau ditimpa ombak sewaktu sedang meluncur.

Pernah satu masa, kata wanita dari Sabah itu giginya pernah patah selepas dihempas ombak sewaktu meluncur ombak, namun ia langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus melakukan sukan itu.

- Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services
- Foto ihsan Abdul Aziz Yusof, Marang SURF Community & Makcik Gemuk Boat Services

"Antara semua sukan yang pernah saya main, saya fikir sukan luncur ombak adalah satu kepuasan, membuatkan saya rasa ketagih.

"Detiknya bila kita dapat meluncur banyak kali atas ombak, itu satu pencapaian, " katanya yang mendedahkan paras ombak di pantai Cherating pernah mencecah ketinggian sekitar dua hingga tiga meter.

Berita Harian X