Ahad, 4 Februari 2024 | 10:05am

Lebih 1,000 barang antik tersimpan ibarat menjaga 'nyawa' sendiri

MEMILIKI koleksi barangan lama atau antik menjadi kegilaan bagi sesetengah orang sehingga ada sanggup berbelanja besar bagi mengumpulkannya terutama yang jarang dan sudah tidak ditemui lagi.

Bagaimanapun, tidak semua sanggup dan mampu mengeluarkan duit bagi membeli barang antik diingini.

Bagi pengumpul barang antik, Abdullah Mohamad dari Titi, Jelebu, Negeri Sembilan, kerana hobi mendalam berkaitannya membuatkannya, setakat ini sudah menyimpan lebih 1,000 koleksi pelbagai barangan lama sejak berusia 15 tahun.

Kebanyakan item itu mempunyai kisah dan cerita tersendiri yang disimpan kemas ibarat menjaga nyawa sendiri.

Semua 1,000 jenis barangan antik itu di tempatkan dalam sebuah bilik seperti buku, majalah, kaset, katrij, radio, mesin taip, pemain piring hitam dan surat cinta.

Selain barangan sendiri, ada yang dibeli dan diperoleh secara percuma daripada rakannya kerana tahu minatnya mengumpul koleksi antik.

"Setiap barang ada kisahnya seperti kaset Battle Of The Band, saya beli guna duit sendiri, sebab itu kaset ini tersimpan dalam keadaan baik.

"Ketika itu banyak kumpulan rock muncul seperti Search, Wing, May dan Lefthanded dan kaset berharga RM8.90 yang saya dibeli menggunakan duit hasil kerja sambilan di sebuah ladang tebu pada 1987. Ada lebih 200 kaset dalam simpanan.

"Saya juga menyimpan pemain piring hitam keluaran 1940-an, iaitu pemberian arwah datuk. Ia masih berfungsi dan unik kerana menggunakan piring hitam batu yang lebih tebal daripada piring hitam biasa.

"Hanya ada dua lagu pada piring hitam batu, untuk mendengar perlu memutar pemain piring hitam disebabkan ia tidak menggunakan tenaga elektrik. Jika . suaranya semakin lemah, kita putar lagi," katanya ditemui di rumahnya di Jelebu.

Telefon lama antara barangan lama yang penuh nostalgia.- NTSP/Abnor Hamizam Abd Manap
Telefon lama antara barangan lama yang penuh nostalgia.- NTSP/Abnor Hamizam Abd Manap

Antara lebih 1,000 koleksi barangan lama yang disimpan dengan baik oleh Abdullah di rumahnya di Titi, Jelebu. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Antara lebih 1,000 koleksi barangan lama yang disimpan dengan baik oleh Abdullah di rumahnya di Titi, Jelebu. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Setiap barang ada cerita tersendiri

Abdullah berkata, ketika banjir besar melanda Jelebu, pada Disember 202, banyak barang hanyut yang dianggap antik seperti mesin pencetak tulisan pada cek dan telefon lama sekali gus mempunyai kisah mengenai kejadian banjir itu.

"Saya jumpa barang itu di tepi Sungai Jelebu, kemudian dibawa pulang untuk dibersihkan.

"Begitu juga kisah di sebalik sebuah mesin taip keluaran 1980-an, ia kepunyaan ayah saya digunakan untuk mengambil upah menaip surat orang ramai.

"Ayah beri mesin taip itu disebabkan ia tidak digunakan lagi selepas ledakan teknologi termasuk penggunaan komputer mula menjadi pilihan.

"Tapi mesin taip saya simpan kerana mempunyai nostalgia dan ia masih lagi berfungsi," katanya.

Kasut sekolah, kasut rock

Kasut sekolah dipakai ketika belajar di Tingkatan Lima turut disimpan elok, difahamkan kasut jenama Aliph itu sudah tiada dalam pasaran.

"Kasut buatan tangan ketika zaman kegemilangan rock dibeli pada 1991, berharga RM180 menjadi koleksi peribadi berharga buat saya," katanya.

Antara koleksi novel lama yang turut disimpan. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Antara koleksi novel lama yang turut disimpan. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Selain itu novel, majalah dan beberapa buku lama seperti Hikayat Hang Tuah milik arwah datuk dan ayah juga disimpan kerana bahan bacaan itu sukar ditemui lagi sekarang.

Koleksi lain, buku Panduan Pengenalan Poskod Kebangsaan ketika negara mula menggunakan sistem poskod bagi setiap negeri di seluruh negara, iaitu penghujung 80-an.

Isteri sokong kumpul barangan lama

Hobinya turut disokong isterinya, Roslaily Omar, 48, malah barangan itu menjadi tempat rujukan anak-anaknya bertanya disebabkan tidak terdapat pada zaman ini.

"Saya yakin, koleksi itu jika dijual mungkin mencecah ribuan ringgit. Jika ada berminat saya belum sedia menjualnya," katanya.

Kasut sekolah dipakai ketika belajar di Tingkatan Lima masih disimpan rapi oleh Abdullah, kini jenamanya sudah berkubur. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Kasut sekolah dipakai ketika belajar di Tingkatan Lima masih disimpan rapi oleh Abdullah, kini jenamanya sudah berkubur. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap
Berita Harian X