Sabtu, 3 Februari 2024 | 2:11pm
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi (tiga, kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo (dua, kiri) selepas merasmikan bakul siah gergasi di Melaka, semalam. - Foto BERNAMA
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi (tiga, kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo (dua, kiri) selepas merasmikan bakul siah gergasi di Melaka, semalam. - Foto BERNAMA

1,000 tanglung, replika naga dan sia gergasi hiasi Jonker Walk

MELAKA: Kira-kira 1,000 tanglung bersaiz besar serta pelbagai hiasan lampu, replika naga gergasi dan pintu gerbang menghiasi sekitar Jonker Walk di sini bertujuan memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, selain menarik lebih ramai pengunjung bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk Melaka, Datuk Gan Tian Loo, berkata hiasan mega itu membabitkan kos hampir RM2 juta yang disalurkan pelbagai penaja kepada destinasi wajib singgah pelancong ke Melaka itu, yang akan menjadi tuan rumah sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri, pada 22 Februari ini.

"Kita menyasarkan sebanyak sejuta pengunjung termasuk pelancong dari dalam dan luar negara ke Jonker Walk dalam tempoh 15 hari bermula 10 Februari ini sempena dengan Tahun Baharu Cina hingga sambutan Chap Goh Meh, pada 24 Februari.

"Sepanjang tempoh itu, pelbagai program kebudayaan dan kesenian diatur untuk dipersembahkan kepada orang ramai, sekali gus menarik kedatangan lebih ramai pengunjung," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jonker Walk, di sini hari ini.

Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, pasar malam Jonker Walk khas akan diadakan pada 22 Februari, iaitu pada Khamis berbanding operasi pada Jumaat hingga Ahad.

Bakul sia gergasi 4.57 meter di Jonker Walk

Katanya, bakul sia gergasi dengan ketinggian 4.57 meter dan lebar 2.44 meter akan ditempatkan bersebelahan pentas utama Jonker Walk sebagai satu daripada tarikan baharu kepada pengunjung bagi meraikan TMM 2024 dan sambutan tahun naga.

Beliau berkata, bakul sia gergasi berkenaan dibawa khas dari Yongchun, China bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia - China, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Bakul sia antara ikon kesenian tradisional yang sinonim dengan masyarakat Baba dan Nyonya khususnya di Melaka sejak beratus tahun dahulu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X