Khamis, 1 Februari 2024 | 11:46am
Tiang bendera diperbuat daripada buluh jadi elemen penting dalam permainan Chingay.- NSTP/Mikail Ong
Tiang bendera diperbuat daripada buluh jadi elemen penting dalam permainan Chingay.- NSTP/Mikail Ong

Buluh 'champion' Chingay bawa tuah

TIANG bendera perarakan Chingay yang menjadi elemen penting dalam permainan tradisional Cina itu, diperbuat daripada buluh lazimnya diperoleh daripada hutan sekitar Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah mampu bertahan empat hingga lima tahun sebelum berganti baharu.

Pengerusi Persatuan Chingay Malaysia Utara, Ang Joo Leng, berkata buluh digunakan kebanyakan pertubuhan Chingay pada ketika ini lima kali ganda lebih ringan berbanding buluh digunakan penggiat Chingay generasi terdahulu.

"Proses mencari buluh ini boleh tahan mencabar. Kami memerlukan buluh lurus dan cukup panjang. Jadi kalau tahu ada hutan yang ada pokok buluh kami akan pergi tengok.

"Selepas buluh ditebang, kami akan rendam dalam air laut selama beberapa hari sebelum ia dijemur sampai kering. Walaupun kami ada lebih 20 batang buluh, hanya empat digunakan dalam pertandingan dan persembahan.

"Kami ada sebatang buluh dinamakan 'Champion' berusia 20 tahun. Buluh itu amat disayangi dan dijaga dengan baik kerana kita sudah banyak kali menang setiap kali menggunakannya," katanya ditemui di Pesta Chingay Pulau Pinang diadakan di Padang Kota Lama, baru-baru ini.

Pesta bermula jam 7 malam dari Jalan Johor di Padang Brown menuju ke Jalan Dato' Keramat, Jalan Penang, Lebuh Chulia dan Jalan Masjid Kapitan Keling sebelum berakhir di Lebuh Light, kira-kira empat jam kemudian, meliputi jarak lebih 5 kilometer.

Permainan mendebarkan apabila peserta menyambut buluh pada dahi dan anggota badan lain.- NSTP/Mikail
Permainan mendebarkan apabila peserta menyambut buluh pada dahi dan anggota badan lain.- NSTP/Mikail

Semangat berpasukan

Joo Leng berkata, struktur tiang bendera meliputi ibu buluh dan sambungan buluh kedua boleh dibuka serta dipasang supaya boleh diangkut ke sana ke mari menggunakan lori dalam satu-satu acara perarakan.

Bahagian bawah buluh turut dilicinkan, dibalut tebal sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kecederaan mereka berada di posisi 'saver' atau penyambut tiang bendera.

"Jadi buluh tidak salah mendarat atau tersasar. Kalau buluh jatuh secara menegak atas tanah.

"Saya pernah dengar ada pemain Chingay yang kepala dan mulutnya luka hingga terpaksa berjahit jadi kita tidak mahu insiden sebegini berlaku kepada anggota kita," katanya.

Dia berada di posisi 'kicker' tugasnya menendang buluh untuk dihantar kepada 'saver'.

Joo Leng. - Foto ihsan pembaca
Joo Leng. - Foto ihsan pembaca

"Semua orang tidak sama tugas, macam main bola sepak, misalnya ada penjaga gol, pertahanan, penyerang dan pemain tengah. Jadi kerjasama berpasukan dan komunikasi amat penting.

"Kita kena beritahu kawan, mahu tendang arah mana, kuat atau perlahan masing-masing beri nasihat. Bagi saya, kalau kita hantar 15 dan dapat 'selamatkan' 10 itu sudah dikira cukup bagus," ujarnya.

Tiang buluh itu ketinggiannya ada mencapai 15 hingga 20 meter.

Berita Harian X